Ku Biarkan Pena Menulis.....

Ingat! Dan beringat...

Assalamualaikum 

Hari ini 22 Mei 2026, berlatar-belakangkan lagu "Utada Hikaru: Cinta Pertama", aku salin balik buah fikiran aku bertarikh 4 Mei 2026 dari Facebook ke sini untuk ingatan.

~.~.~.~.~.~

Parti Politik

1. Parti politik wujud sebagai wadah penyatuan sekelompok manusia yang ideologinya sama.

2. Ada parti politik, ideologinya ialah Nasionalis, ada yang Islamis, ada yang Sosialis, ada yang Liberal dan pelbagai jenis lagi ideologi.

3. Walaupun pelbagai ideologi, pelbagai parti ini boleh juga duduk bersama kerana ada common ground. Juga mereka berada pada “kutub” yang sama (contoh: membela nusa bangsa masing-masing).

4. Contohnya, parti Perikatan dan parti Barisan Nasional (pra-2018 lah ya) yang common ground dia ialah kontrak sosial. Pelbagai parti seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain bernaung di bawah satu organisasi yang kuat, strukturnya teratur dan selalunya, semua ahli parti akan akur dan patuh pada keputusan parti.

5. Apabila parti gabungan yang kuat ini menang pilihan raya secara seluruhnya dengan majoriti yang besar, mereka boleh memerintah dengan efektif dan sebarang percanggahan biasanya tidak lama dan tidak sangat didedah kepada masyarakat awam.

6. Ada satu lagi jenis gabungan parti yang ideologinya agak bercampur dan pelbagai. Contohnya, kita pernah melihat Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (serta Pakatan Harapan) sebagai sebuah gabungan yang bercampur ideologinya (Islamis x Liberal x Sosialis x Nasionalis x dll.).

7. Gabungan dengan ideologi yang agak bercampur dan seringkali berada di “wavelength” berbeza ini lebih ketara jurang perbezaannya. Ini terbukti apabila gabungan seperti ini tidak bertahan lama dan terbubar atau terjadinya kejadian “keluar gabungan” setelah perbezaan prinsip yang menjadi pegangan parti berbeza dengan keputusan pemimpin gabungan.

8. Gabungan longgar ini selalunya diadakan untuk menghadapi “common enemy” atau kita katakan satu tujuan yang sama demi kepentingan umum yang lebih besar. Contohnya gabungan Pakatan Harapan pada tahun 2018.

9. Namun kini wujud satu lagi jenis gabungan yang memeningkan. Gabungan ini tidak wujud sebagai satu entiti politik tapi lebih kepada apa yang dikenal sebagai “kerajaan perpaduan”.

10. Apabila tiada satu parti (baca: gabungan parti atau parti gabungan) pun yang memenangi majoriti dalam pilihan raya, maka untuk membentuk kerajaan, parti-parti ini perlu bergabung.

11. Di sini kita acap kali melihat bahawa ideologi telah menjadi perkara kedua kerana “yang lebih penting ialah untuk menubuhkan kerajaan”. Setuju? 

12. Walaupun semasa kempen pilihan raya, kedua-dua pihak pakat mengata satu sama lain, memburukkan pihak lawan dan menawarkan tawaran berbeza serta memainkan sentimen berbeza, tetapi selepas pilihan raya, semua itu tiada makna lagi apabila bergabung menjadi kerajaan.

13. Caci maki bertukar menjadi gelak tawa, muka yang bengis dan berkobar-kobar menjadi senyum mesra dan manja bila bersama dalam satu kerajaan.

14. “Don’t get me wrong” — memang patut pun mereka berbaik walaupun berlainan ideologi, sebab dan jadi rakan sekerja dan bersama-sama membangunkan negara. Ini kita sebagai rakyat perlu sokong.

15. CUMA, bila nak pilihan raya dah mula dengar ada pihak yang sepatutnya bersama dalam Kerajaan dah nak buat persediaan untuk hadapi pilihan raya secara solo…kenapa ya?

16. Sepatutnya bila dah bersama dalam kerajaan, carilah common ground untuk terus bersama, ikhlas dalam membangunkan negara. Janganlah “marriage of convenience” itu menjadi ideologi yang berterusan.

17. Pendapat sayalah, parti-parti dalam gabungan kerajaan sekarang ni patut dah mula usaha untuk tubuh parti besar yang terus bergerak ke hadapan dengan matlamat dan ideologi bersama. Andai mereka masuk bertanding pilihan raya dan melawan sesama sendiri, sudah tentulah undi akan berpecah.

18. Dan hampir pasti lagi, tiada parti memperoleh majoriti yang “solid” dan kerajaan campuran ini akan terjadi lagi. Ini tiada masalah di sisi undang-undang — benar.

19. Tapi rakyat akan terasa dipermain sekali lagi. Mereka undi A sebab tak suka B dan begitu juga sebaliknya. Bila keputusan diumumkan, nak jadi kerajaan A dan B bergabung. Rakyat akan melihat ini sebagai satu hipokrasi yang berulang-ulang.

20. Oleh itu, tolonglah semua parti yang nak bertanding nanti, kalau rasa gabungan kita sekarang dah baik, teruskan di peringkat akar umbi dan masuk pilihan raya bersama-sama dengan common ground yang boleh diterima rakyat.

21. Jangan cakap, “cinta itu buta”.

~.~.~.~.~.~

Bukan niat bermain politik kerana hal itu telah lama ku tinggalkan. Ini pandangan jujur aku sebagai warganegara Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Aku tanya pendapat AI Gemini tentang buah fikiran aku tu. Dia setuju some part, tapi some part lagi dia cakap politik ni kena pragmatik, terutama sekali part nak gabung terus tu. Gemini kata "biarlah mereka bertunang lama-lama dulu, sebelum kahwin.."

Ye lah tu Gemini!

Wassalam

Hari 332/2022 - PRU-15 Malaysia: Yang terjadi, benar telah terjadi

Assalamualaikum 

Semua orang tahu apa telah terjadi pada Pilihanraya Umum Malaysia kali ke-15 yang telah diadakan pada 19 November 2022 yang lepas. Aku mudahkan seperti berikut, berdasarkan pemerhatian aku sendiri:

1. Undi 18 dan pengundi muda yang hadir dengannya banyak mempengaruhi keputusan luar jangka.

Tangkap layar dari laman myundi pada 28/11/2022


2. Antaranya, kejatuhan 'Giants' dan 'Legends' di arena politik tanah air, sekadar memetik beberapa nama : Tun M, Mukhriz, Azmin, Ku Nan, Nurul Izzah, KJ, Saifuddin Nasution, Tok Met, Zuraida, Maszlee, Ku Li dan lain-lain lagi.





"Giants" parti Pejuang yang kalah. Sumber: https://www.myundi.com.my 


3. Hatta, para pendukung NGO dan artis-artis yang cuba diketengahkan oleh parti politik seperti Ahmad Idham, Lando Zawawi, Eizlan Yusof, Rani Kulop, Jurey Rosli juga kalah di tempat masing-masing.

Eizlan Yusof, Ahmad Idham, Lando Zawawi. Sumber gambar : https://ohmymedia.cc/eizlan-yusof-ahmad-idham-lando-zawawi-antara-selebriti-bakal-rebut-jawatan-wakil-rakyat/ 

4. Ada dua polariti ekstrem mendominasi, satu ialah ultra-islamik-nasionalis (PN) dan satu lagi ialah liberal-demokratik (PH). PN dengan 73 kerusi, PH dengan 82 kerusi. Ini menunjukkan setidak-tidaknya, di Semenanjung, telah terjadi dua pola pemikiran yang tidak bersatu hati. BN yang lebih moderat-nasionalis-progresif juga hanya berjaya memperoleh 30 kerusi sahaja. Itupun, di kerusi-kerusi UMNO yang mendapat majoriti daripada 30 kerusi itu.

Polariti pilihan pengundi pada PRU-15 berdasarkan geografi. Sumber: https://pru.astroawani.com/

5. BN masih mendapat undi yang banyak di setiap kerusi ditandingi selepas PN atau PH. Ini menunjukkan, walaupun terpalit dengan sentimen kleptokrasi, rasuah dan sebagainya, masih ramai pengundi setia BN yang mengundi BN.

6. PH pula terlihat kian selesa dengan kerusi-kerusi yang telah dimenangi. Walaupun begitu, mereka juga menghadapi tentangan sengit, terutamanya daripada PN. PH mendominasi sebilangan besar kerusi di bandar-bandar di mana rakyatnya adalah lebih majmuk dan mempunyai toleransi yang lebih besar di antara ras dan agama berbanding di kawasan pedalaman. Dasar liberal yang di bawah oleh DAP serta ideologi terbuka PKR sudah tentu menarik para pengundi bukan Melayu. Manakala dasar wasatiy dan terbuka oleh AMANAH sudah pasti dapat menarik para pengundi Melayu Islam yang profesional serta progresif di kawasan bandar.

7. PN menunjukkan peningkatan paling ketara. Banyak kerusi dimenangi PAS (40 kerusi) dan Bersatu (33 kerusi). Ini berbeza sekali semasa PAS bertanding sendirian pada PRU-14 dan juga Bersatu semasa berada dalam PH pada 2018. Kemenangan PN ini menterjemahkan hasrat orang-orang Melayu-Bumiputera (di kawasan mereka ialah majoriti) yang memilih mungkin berdasarkan sentimen ras dan agama. Di kawasan majoriti Melayu ini, di mana pergaulan antara ras adalah terhad, tidak kira sama ada mereka ialah peniaga, pekerja biasa atau profesional yang progresif, calon-calon yang memihak kepada Bumiputera dan Orang Islam tetap menjadi pilihan.

8. Dalam kesemua parti politik bertanding, Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi parti PEJUANG adalah "the big loser" dalam PRU-15 ini. Lebih kurang 120 kerusi ia bertanding, tidak satu pun dimenangi malah banyak yang hilang deposit. Ternyata, isu-isu integriti dan melawan mereka yang korup tidak dapat menambat hati pengundi, apatah lagi para pengundi muda yang tidak memahami isu-isu yang diperjuangkan. Sebagai parti baharu, Pejuang juga sebenarnya hanya diminati oleh mereka yang memahami isu "kenapa tidak boleh undi BN, PN dan PH" dengan jelas sahaja. Walhal, kebanyakan pengundi telah dimomok isu bahawa Tun M kaya akibat salah guna kuasa dan kejatuhan PH pada 2020 disebabkan beliau. Antara lain jentera yang tidak mantap serta kegagalan untuk bekerjasama dengan PH atau PN menyebabkan mereka tidak diundi. Sudah tentu pengundi lebih gemar mengundi PN atau PH malah BN yang lebih lama bertapak. Orang-orang muda juga diajak untuk menolak Pejuang atas alasan Tun M perlu berehat dari arena politik.

Semua calon parti "Pa" ini kalah dalam PRU-15. Sumber gambar: https://ecentral.my/parti-pejuang/


9. "Pakatan Sulit" antara "Murid" dan "Cikgu" memang benar terjadi. Perkara ini dinafikan oleh si murid, tapi akhirnya terzahir jua. Aku tak nak ulas panjang bab ni, sebab masing-masing boleh tahu dan boleh Google sendiri. Cuma terkilan, dalam kedua-dua pihak dok hentam satu sama lain sampai sanggup umum "No sipolan, No sipolan 2, No parti politik sekian", akhirnya bersatu jua dalam masa tak sampai 3 hari lepas pilihan raya. Rakyat terasa diperbodohkan atas perkara ini. Prinsip perjuangan yang dilaungkan rupanya boleh dicampak kelaut begitu sahaja. Sepatutnya diumumkan sedari awal perancangan ini supaya lebih adil kepada pengundi. Apa salahnya?

Cikgu on call dengan anak murid. Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: https://www.dreamstime.com/hispanic-girl-school-student-hold-phone-learn-online-video-calling-math-teacher-hispanic-teen-girl-school-pupil-college-student-image183806938

10. Anwar Ibrahim menjadi PM ke-10. Sekalung tahniah diucapkan. Tidak pernah aku bayangkan ia akan terjadi (sebenarnya dah bayangkan masa 2020 bila sepatutnya Tun M bagi kepada beliau, tapi langkah Sheraton merencatkan perancangan Tun M). Sebagai rakyat, kita harus hormat akan keputusan SPB YDPA selepas Anwar mendapat sokongan ahli parlimen yang mencukupi (seperti di dakwa oleh Zahid Hamidi bagi mewakili BN. Malah GPS juga memberi sokongan kepada beliau setelah sebelumnya memberi sokongan kepada Muhyiddin Yasin). Aku harap beliau diberi peluang untuk menunjukkan apa yang beliau boleh buat untuk Malaysia dan jangan ada terjadi lagi ketidakstabilan politik sehingga PRU ke-16 pada 5 tahun mendatang. 





Kita beri peluang kepada PM ke-10 kita yang baharu ini. Gambar sumber: Link



Itu saja coretan aku kali ini. Sekadar mencatit sejarah dari pandangan diri ini jua.

Wassalam

Hari 66 / 2022 - AGENDA POLITIK vs AGENDA KERAJAAN

Assalamualaikum,

Lama benar tak update blog ni. Dah dekat setahun. Seperti biasa, blog ni kena update tiap-tiap tahun sebab dah set KPI sejak tahun 2018 iaitu, 2 kali posting setahun. Jadi setelah dikira-kira statistiknya, berikut merupakan pencapaian pengemaskinian blog ini ikut KPI tersebut:
  • 2018, 2 post (100%)
  • 2019, 11 post (550%) - LOL 😄
  • 2020, 3 post (150%)
  • 2021, 2 post (100%)
Jadi tahun ini, insya Allah akan kita cuba dapatkan 100% tersebut. Hahaha!

Ok, hari ini, di tahun 2022 ni, nak tulis sikit lah berkenaan agenda -- agenda politik vs agenda kerajaan. Sebelum kita mula, bagus kita tengok apakah maksud agenda :

agenda

 noun
agen·​da | \ É™-ˈjen-dÉ™  \

Definition of agenda

1: a list or outline of things to be considered or doneagendas of faculty meetings
2: an underlying often ideological plan or programa political agenda
Sumber: “Agenda.” Merriam-Webster.com Dictionary, Merriam-Webster, https://www.merriam-webster.com/dictionary/agenda. Accessed 7 Mar. 2022.

Dalam erti kata mudah, agenda ialah satu perancangan apa yang akan dilakukan. Malah, ia juga mempunyai konotasi sebagai "matlamat" dari sesuatu perkara atau rancangan (seperti agenda tersembunyi).

Inipun agenda jugak.
Photo by cottonbro from Pexels

Selalunya, agenda politik akan dipandang skeptis oleh mereka yang sentiasa skeptis terhadap politikus. Manakala, bagi agenda kerajaan, selalu jua dipandang sebagai "projek" yang boleh membantu rakyat dan dalam pada masa yang sama, bagi ahli perniagaan, pembekal dan kontraktor, sebagai punca fulusss dan masyukkk.

Bagi rakyat pula, agenda politik selalunya tidak mereka nampak jelas dan agenda kerajaan pula bagi mereka, hanyalah satu lagi janji atau manfaat yang kerajaan harus tunaikan apabila telah dirancang dan dicanang.

Kalau nak cerita soal agenda politik ini, panjang perbahasannya. Cukuplah kita lihat outcome-nya dalam 2-3 tahun ini. Berapa banyak Perdana Menteri telah kita ada sejak PRU 2018? 3 orang! ya.. Dalam tempoh kita mula-mula mencapai Kemerdekaan dahulu, tempoh nak mencapai 3 Perdana Menteri (1957 - 1976) ialah selama 19 tahun. Malah dari Perdana Menteri ke-empat hingga ke-enam (lagi 3 orang Perdana Menteri) memakan masa sehingga 28 tahun!

Semuanya kerana apa? Kerana agenda politik.

Akibat tidak puas hati dan tidak dapat menerima kekalahan, maka satu agenda politik digerakkan. Tujuannya ialah untuk kembali berkuasa. Akibatnya, ada pihak termakan hasutan, termakan budi dan menjadi pengkhianat. Ada pula pihak yang lain, mengetepikan prinsip sekian lama, dan sanggup bekerjasama dengan mereka yang terpalit isu integriti dan disabitkan di mahkamah kerana agenda politik untuk "berasa" kerusi-kerusi menteri.

Akibatnya, 2 orang Perdana Menteri telah dijatuhkan, bukan melalui PRU, tetapi melalui perpindahan sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini baru di peringkat pusat. Di peringkat negeri? Bukan satu negeri, 3-4 negeri bertukar kerajaan akibat agenda politik. 

Agenda politik ini pula menyebabkan fitnah tak tentu fasal di sana sini. Orang-orang yang mereka sasarkan ialah orang-orang lama yang mudah dimainkan sentimen. Apatah lagi dicampur aduk dengan pengaruh-pengaruh ugama dan bangsa, maka makin mudah lah pemikiran mereka dipesongkan dan dimanipulasikan.

Hasilnya? Yang buat salah pun dianggap suci dan dilupakan. Disabit di mahkamah pun tidak malu, walhal sabitan bukan sahaja di negara kita, malah di negara luar juga dibicarakan. Malah disanjung dan dialu-alukan oleh anak muda dengan panggilan "Malu apa bosshhkuu".

Ya, ini lah akibat agenda politik, buat salah pun tak payah malu.

Apa pula agenda kerajaan? Agenda kerajaan ni banyak bentuk. Antara agenda yang kita boleh cerita di sini ialah agenda kerajaan memerangi COVID-19. Contohnya, pemberian vaksin dos 1, dos 2, dos booster 1, dos booster 2, sampai dos booster nth, pemberian vaksin untuk kanak-kanak (PICKids), Kawalan Pergerakan, Penggunaan MySejahtera dan lain-lain lagi usaha kerajaan yang berkaitan dengan menangani COVID-19.

Satu lagi contoh agenda kerajaan ialah apa yang dilakukan oleh Presiden Vladimir "Brasikowaz Sinyom, Ilikipaidiede, Uraa! Uraaa~~~" Putin yang telah menyerang Ukraine. Setelah melihat kepada alasan penyerangan tersebut, agendanya ialah untuk menekan NATO supaya tidak menerima Ukraine masuk ke dalam NATO, kerana Rusia bimbang, kemasukan Ukraine ke dalam NATO akan mengancam kedaulatan negaranya. Masakan tidak, dengan masuknya Ukraine ke dalam NATO, aset-aset ketenteraan NATO boleh diletakkan di Ukraine dan ini akan menyebabkan buffer zone di antara NATO dan Rusia mengecil.

Young Putin and Younger Mahathir in 2003 @ Putrajaya.
Source: Kremlin.ru

Bagi Rusia, ini menyebabkan ancaman semerta kepada negara mereka jika tidak dihalang. Oleh sebab itu, penyerangan terhadap Ukraine merupakan satu agenda kerajaan yang tidak dielak lagi setelah NATO dan Ukraine buat endah tak endah terhadap amaran Rusia.

Manakala di China pula, agenda mereka yang terbaharu ialah bagaimana nak menjamin Keselamatan Makanan - Food Security, terhadap 1.4 billion (seribu empat ratus juta) rakyatnya setelah wabak COVID-19 yang bermula di Wuhan. Yang mereka risaukan ialah kadar import makanan ke negara mereka meningkat dengan banyak sekali. Oleh itu, satu agenda 5 tahun telah diwujudkan dengan tujuan untuk mencapai agenda ini. Antara rancangan yang diwujudkan ialah pengenalan ladang-ladang dan kebun berteknologi tinggi yang boleh bertahan dalam sebarang cuaca termasuk kemarau berpanjangan.

Antara lain usaha China dalam memastikan agenda ini dicapai:
  • Laksanakan "sistem yang paling ketat" untuk melindungi tanah ladang, menyokong pengeluaran tanaman di tanah terbiar, memastikan jumlah keluasan stabil dan meningkatkan hasil seunit kawasan

  • Menaikkan harga pembelian minimum untuk gandum dan beras, sambil memperhalusi dasar mengenai pengurangan untuk pengeluar jagung dan kacang soya

  • Meningkatkan keluasan tanah untuk penanaman jagung, memastikan pengeluaran kacang soya stabil, menyokong pengeluaran kanola, kacang tanah dan tanaman minyak lain, dan memastikan jumlah tanah yang dikhaskan untuk menanam tanaman kapas dan gula kekal stabil

  • Teruskan meningkatkan pemulihan pengeluaran khinzir, di samping meningkatkan pengeluaran daging lembu dan kambing

  • Mempelbagaikan import produk pertanian utama, mempercepatkan pembangunan perniagaan pertanian multinasional dan membangunkan rantaian bekalan luar negara untuk bijirin dan produk lain

  • Memastikan keselamatan mutlak bekalan makanan ruji dan asas sara diri dalam bijirin
Food Security - Adakah kita bersedia?
Source: Pexels

Inilah "Agenda 1.4 Billion" China yang kini sedang giat dijalankan sehingga tahun 2025. Sumber: https://www.bloombergquint.com/global-economics/china-unveils-roadmap-to-ensure-food-for-1-4-billion-people 

Di Malaysia, agenda terbaru Kerajaan ialah "Keluarga Malaysia". Di sini, kita melihat satu slogan baharu telah diwujudkan, seolah-olahnya, setiap Perdana Menteri perlu membawa slogan agenda kerajaan yang tersendiri. 

Kalau Tun Mahathir dulu, agendanya ialah Wawasan 2020, Tun Abdullah Badawi - Pembangunan Modal Insan, Dato' Sri Najib - 1 Malaysia, Tun Mahathir 2nd Term - Wawasan Kemakmuran Bersama, Tan Sri Muhyiddin - PRIHATIN, PEMERKASA, PEMULIH (dan semua yang ada 'P' termasuk PKP dan PKPP), kini tibalah masanya untuk Keluarga Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri.

Namun, apa yang penting bagi kesemua slogan ini ialah agendanya. Setakat mana agendanya jelas dan setakat manakah yang telah dicapai. Secara jujurnya, apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri yang kerap, kesemua slogan-slogan ini akan ditukar dengan kerap juga dan akibatnya akan kerap menyusahkan sedikit sebanyak jentera kerajaan yang akan melaksanakan agenda-agendanya. Alhasil, kebanyakan program-program yang dirancang sebelumnya, terpaksa "diubah sedikit" dengan memasukkan elemen-elemen baharu dan membuang elemen-elemen lama yang tidak relevan di pandangan pentadbiran yang baharu.

Kadangkala, slogan-slogan ini tidak jelas. Bila tidak jelas, sukar hendak tentukan apakah sebenarnya hasil yang boleh dijadikan kayu ukur pencapaiannya. Berbanding agenda yang kita petik dari Rusia dan China, agenda tersebut dengan terang dan jelas untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan makanan. Ini mudah difahami oleh rakyat dan sudah pasti oleh jentera kerajaan. Dari sini, kita boleh katakan, fancy words memang sedap didengar tetapi jika ia kabur, tidak jelas dan tidak boleh dikecapi, rakyat akan sukar menerima dan akhirnya, kerajaan tidak akan mendapat sokongan.

Kecuali dengan kehadiran, "cash is king", of course.

Dap ermhh bau duit....
Photo by Karolina Grabowska from Pexels

Tapi model "duit ialah raja" ini akan menimbulkan satu masalah besar di suatu hari nanti. Ia seolah-olah memupuk masyarakat yang resiprokal di mana apabila dibiasakan akan menyebabkan budaya korupsi itu tidak dapat dibendung. Apabila sokongan politik hanya dilihat sebagai satu cara untuk mendapatkan keuntungan dari segi kewangan semata-mata, akhirnya akan merosakkan minda masyarakat. Siapa bagi duit lebih, yang itulah kami sokong, walaupun dia penyamun, pencilok dan pencuri di dalam ini negeri.

Bencana keruntuhan moral akan berlaku dan berakar umbi di mana rakyat akan menjadi materialistik semata-mata.

Tidaklah salah bantuan yang kerajaan berikan, tetapi hendaklah dalam bentuk yang lebih berdaya saing dan bukannya dalm bentuk tunai yang jelas nampak unsur rasuah di situ. Pada satu masa dahulu, kita mempunyai satu agenda untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan pasaran pekerjaan yang dibuka oleh para pelabur. Agendanya ialah memberikan peluang pekerjaan atau melatih para tenaga kerja mahir dengan harapan mereka akan menjadi tenaga kerja profesional dengan upah yang berpatutan. Malah negara kita juga berusaha menghasilkan usahawan dengan memberi bantuan permulaan perniagaan, latihan kemahiran bagi usahawan, pinjaman mudah dan sebagainya.

Tapi kini, semua itu seolah-olah hilang kerana hilangnya pelabur beralih ke negara lain yang politiknya lebih stabil dan pasaran tenaga kerja yang lebih murah. Antara lain, faktornya ialah kerana mereka tidak mahu melabur di negara yang pemimpinnya dianggap korup. Malah pertukaran kerajaan dengan kerap dalam satu penggal, juga dianggap ketidakstabilan dan menghalang daripada pelaburan. 

Apa pun, sebagai yang hanya menyuarakan pendapat, kita faham dan maklum, mengendalikan sesebuah negara bukanlah tugas yang mudah. Dari itu, kita berbalik semula kepada agenda-agenda yang kita bincangkan di awal tadi. Apakah yang menjadi lebih utama bagi para pemimpin kita? Agenda politik? Agenda kerajaan? Agenda negara? atau Agenda peribadi?

Ayam makan dedak... Termenung dia kalau dedak tak ada!
Photo by Alexandr Podvalny from Pexels

Apa pun agenda yang bermain di fikiran para pemimpin kita, kita haraplah supaya agenda rakyat tidak mereka lupakan. Mungkin boleh mulakan dengan agenda "harga ayam" yang kini naik mencanak akibat tak cukup bekalan ayam yang diakibatkan dengan tak cukup bekalan dedak.............

Wassalam...

Hari 228 / 2021 - Orang tua tu dah habaq.... dah lama dah...

Assalamualaikum 

Berita hari ini:

PM 8 (Mahiadin Md Yasin) letak jawatan
16 Ogos 2021, PM ke-8 dilaporkan meletak jawatan - Berita oleh BH Online.



"Orang tua" tu dah habaq lama dah... jangan.. jangan.. dia dah tanya dah hampa... betui ka nak buat macam tu, tapi hampa kata hampa tera boleh bagi setel puak-puak tu... Tengok last skali puak-puak tu jugak pekena hampa.

Puak-puak tu bukan semua problem, ada yang baguih... tapi yang problem ni masih kuat, masih ada pengaruh, masih boleh buat "move".... Last skali kita rugi, depa senang hati...

Tak apalah, saya putarkan sebuah lagu menghilang hiba, mengubat luka agar terhapus duka. Masa masih ada.



Rindu-rindu aduh! sayang merindu
Jauh-jauh orang sudah menjauh 
Kasih-kasih aduh! sayang berkasih
Bukan-bukan hamba orang terpilih 
Kiri duri kanan pun berduri
Arah mana ke mana
Hendak hamba melangkah 
Nasib diri begini nasib diri
Rela hamba terima
Walaupun jiwa parah


Wassalam


Hari 193 / 2021 - KUARANTIN, COVID 19, POLITIK

COVID-19.. Pakai mask pls.... Photo by cottonbro from Pexels
COVID-19.. Kena pakai mask! 
Photo by cottonbro from Pexels

Assalamualaikum 

Lama jugak tak kemaskini blog ini. Hampir setahun jugak rasanya. Seolah-olah blog ni kena kuarantin COVID-19, setahun!

Tapi zaman sekarang ada lagi kah yang nak baca corat-coret blog orang biasa macam saya ni? Mungkin tak ada, mungkin untuk kenangan sendiri di hari tua. Tak apalah, yang penting blog ini masih bertahan walaupun postingnya hanya setahun sekali... he he he... 😂😂😂

Setahun lepas COVID-19 baru nak naik, tetapi Tun Mahathir pulak turun dari jawatan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 akibat penarikan sokongan parti beliau ketika itu, BERSATU, daripada kerajaan Pakatan Harapan. TS Mahiaddin Yassin naik menjadi Perdana Menteri dengan sokongan ahli parlimen UMNO dan PAS serta parti-parti lain termasuk BN dan Parti-Parti dari Sabah dan Sarawak.

Kini, COVID-19 masih belum selesai sepenuhnya walaupun pada bulan Julai 2020 telah menunjukkan penurunan kes harian sehingga 1 angka. Pada ketika itu, semua orang telah gembira dan aktiviti kehidupan harian dapat dijalankan dengan sepaling hampir aktiviti biasa.

Tetapi ada satu kejadian yang telah menyebabkan kes COVID-19 mendadak naik. Pilihan raya DUN Sabah yang diadakan pada bulan September 2020 telah menyebabkan penularan COVID-19 di Sabah dan juga di Semenanjung akibat daripada mereka yang pulang daripada berkempen di Sabah dan tidak dikenakan tindakan kuarantin 14 hari. Perlu dinukilkan di sini, pilihan raya ini diadakan kerana DUN Sabah telah dibubarkan oleh YDP Negeri Sabah kerana YAB KM Sabah ketika itu telah hilang majoriti dan beliau telah meminta pembubaran DUN Sabah supaya pilihan raya dapat diadakan semula.

Ceritanya, UMNO Sabah mahu merampas Sabah daripada Warisan kerana signal yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat pada bulan Mac. Walaupun dikatakan YAB PM ada "menawarkan" kerjasama dengan Kerajaan Sabah sedia ada, tetapi sambutannya agak kurang memuaskan. Jadi gerakan inilah yang menyebabkan perubahan sokongan kepada KM Sabah yang akhirnya menyebabkan pembubaran DUN Sabah dan seterusnya PRN Sabah yang menyebabkan sehingga ke hari ini sengsara satu Malaysia.

Jadi, ceritanya, politik, politik politik.

Awal tahun 2021, kerajaan umum pula darurat sampai bulan Ogos 2021. Sebabnya? Yang rasmi sebab nak mudahkan pentadbiran untuk lawan COVID-19. Yang tak rasmi ikut cakap-cakap politik ialah sebab ada 2 ahli parlimen UMNO tarik sokongan dari Kerajaan sedia ada menyebabkan kerajaan hilang majoriti di Parlimen. Dengan pelaksanaan darurat, maka parlimen pun digantung. Ini cakap-cakap orang lah.

Julai 2021, UMNO yang dulu beri sokongan kepada TSMY, telah tarik balik sokongan tersebut. Walaupun DS Ismail Sabri telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, UMNO tetap dengan keputusan untuk tarik balik sokongan mereka. Cumanya, dengar khabar, tak semua ahli Parlimen UMNO nak tarik sokongan tu, terutama mereka yang berjawatan dalam Kerajaan. Wallahualam. Yang pasti tarik ialah yang mengumumkan, iaitu DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan mungkin juga DS Najib. Yang lain-lain tak tahulah selain Menteri dan Timbalan Menteri UMNO.

Jadi sekarang dalam UMNO ada 2 faction yang jelas. Yang sokong Perikatan Nasional dan yang nak keluar dari Perikatan Nasional. Apakah hala tuju sebenar UMNO?

Bagi saya yang bukan ahli UMNO ini berpendapat, UMNO sebenarnya nak peluang untuk menerajui Kerajaan semula. Memang sifat semula jadi UMNO ialah mereka ditubuhkan untuk memimpin dengan perkenan dari Istana dan juga dipercayai boleh memerintah dari British. Jadi, jatidiri dan DNA UMNO ialah memimpin dan bukan dipimpin. Sebab itu bila parti lain memerintah dan UMNO di bawahnya, ia menjadi tidak selesa. Jadi, perlu dilakukan sesuatu supaya ia dapat memimpin semula.

Ini hanya pandangan saya sahaja.

Selain daripada UMNO, kini terdapat beberapa lagi parti Melayu Islam yang saya ketahui - PAS, BERSATU, PUTRA dan yang terbaharu pimpinan Tun Mahathir, PEJUANG. Selain itu, parti-parti lain lebih bersifat multi-rasial seperti contoh PKR dan MUDA (masih belum lulus ROS setakat tulisan ini ditulis). Malah DAP pun kini nampak semakin multi-rasial dan cuba lari dari imej chauvinisme Cina walaupun mereka mendakwa parti mereka adalah sedari mula lagi multi-rasial.

Bagi saya, politik itu mesti berlandaskan kebenaran. Tak kira lah apa pun permainan atau strateginya, ia mesti ditunjangi kebenaran. Orang-orang politik harus belajar untuk jujur dengan rakyat. Jangan mempermainkan rakyat dengan perkara-perkara yang tidak benar dan khayalan semata. Tolong fokus untuk selesaikan masalah Rakyat. Masalah yang dihadapi kini ialah COVID-19, masalah ekonomi dan pendapatan rakyat yang berkurang atau hilang sama sekali. Jadi tolong fokus untuk selesaikan isu ini.

Old is Gold. 

Apa kata kalau sekali sekali duduk lah semeja wahai parti-parti politik yang ada di Malaysia ini, tubuhkan satu mekanisme kerajaan perpaduan yang bekerja ke arah penyelesaian COVID-19 dan masalah yang dihadapi oleh negara. Seperti pandangan "the old man" tersebut mengenai Majlis Pemulihan Negara yang mengambil model ala MAGERAN satu ketika dahulu, tidaklah suatu idea yang buruk sama sekali. Aspek pelaksanaannya boleh digubal supaya keputusan sesuatu perkara boleh dilaksanakan secara demokrasi di parlimen yang tidak digantung seperti MAGERAN dulu. Yang penting, semua pihak dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk menyelesaikan masalah. Sekejap sahaja, sehingga COVID-19 dapat dibasmi atau dikurangkan seminimum mungkin dan ekonomi kembali pulih ke arah peningkatan. 

Selepas itu, buatlah PRU apa pun, berpolitiklah mencari kuasa.

Itu sajalah nak coret. Nanti masa dah tua-tua nanti, boleh la baca untuk kenangan diri sendiri.

Wassalam

Gempar! Ahli Parlimen Pas Berjoget di Parlimen??

Salam,

Mana mau cari? Rare ni..
Hanya boleh dapat di
http://zamkata.blogspot.com/
Tajuk aje tu... Hehehe.. 

Sebenarnya ia merujuk kepada cerita ini :

HOBI WAKIL RAKYAT PAS BERJOGET

Ini adalah secebis kisah 'Z-Fail' yang dibawakan khas daripada seorang bekas menteri kabinet pada zaman Pak Lah. Beliau pernah ditertawakan oleh sesetengah pihak kerana dikatakan tidak mampu menjawab soalan dengan baik apabila diajukan oleh pihak stesen tv asing yang berbahasa Inggeris.

Tetapi berapa ramai yang boleh menulis seperti beliau? Saya mula membaca tulisan beliau mengenai Dr Mahathir (Mahathir Di Sebalik tabir) semasa di bangku sekolah lagi. Kemudian saya turut membaca tulisan beliau yang sekali sekala ada (sebab gua beli paper pun sekali sekala jugak.. haha) dalam artikel di dalam Utusan Malaysia. Buku "Hari Itu Sudah Berlalu" juga saya beli, tapi jujurnya belum lagi habis dibaca.

Saya dapati gaya penulisan beliau amat menarik kerana ada sahaja benda baru yang kita akan ketahui. Setiap kali beliau menulis, seolah-olah ada kejutan menanti.

Saya suka penulisan yang semacam ini.

Tengok warna kulit dia kadang2 teringat kat bapak aku.. hahaha...
Sudah tentulah pengalaman beliau selama bertahun-tahun bergelumang di dengan dunia kewartawanan dan politik Malaysia mempunyai nilai tersendiri bagi peminat-peminat politik dan kisah-kisah nostalgia seperti saya. Suka juga mendengar komentar 'orang lama' mcm beliau dalam isu-isu semasa terutama sekali yang melibatkan politik. Mesti ada yang panas, pedih dan terasa hati.

http://zamkata.blogspot.com - Pi la tengok Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin) punya blog!

Wassalam..

p/s : Teringat kisah blog, 'goblog!' He he he...


Keep Calm And......

Assalamualaikum

What "The Majority" does every flippin' time. Keep doing it guys :) It is the right choice, Insya Allah.
Wassalamualaikum

p/s: You can use the poster above freely..

Satu Hari Menjelang BERSIH 3.0

Assalamualaikum,

Pesanan ringkas penaja :

Duduk di rumah jaga anak ke, baca buku ke, bersihkan rumah ke lagi baik... Pergi kuliah ke, ceramah ke... ok jugak....

Sila baca :

BERSIH 3.0 : Himpunan sia-sia?


Vox Populi : http://www.youtube.com/user/Reezal1000/videos

Sekian,

Wassalamualaikum...

BERSIH 3.0 : Himpunan sia-sia?

Assalamualaikum,

Lagi 2 hari (28 April 2012), pihak BERSIH akan mengadakan himpinan "BERSIH 3.0 : Duduk Bantah". Pihak bersih sekali lagi menuntut 8 perkara seperti mana yang dinyatakan di dalam laman web http://bersih.org

PENDIRIAN SAYA BERKENAAN BERSIH 3.0 : SIA-SIA!
Kenapa saya berpendirian demikian? Sila tonton video di bawah :


Ya, saya katakan sia-sia kerana hampir kesemua tuntuan BERSIH telah pun diberi perhatian dan di ambil maklum oleh "Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya" atau saya ringkaskan sebagai PSC-ER (Parliament Select Comitee-Electoral Reforms). Jadi siapakah PSC-ER?
Dewan Rakyat pada 3 Oktober 2011 telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia. Jawatankuasa ini adalah berkuat kuasa selama enam bulan dari tarikh penubuhannya. Tanggungjawab, peranan dan tugas Jawatankuasa ini adalah mengkaji perkara perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil. Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah akan menyiapkan dan membentangkan laporan itu serta syor-syor yang berkaitan untuk diserahkan kepada Majlis untuk dipersetujukan atau mengikut apa cara yang diperintahkan oleh Majlis. -- http://www.parlimen.gov.my/pages.php?view=153&uweb=dr
Bukan itu sahaja, malah pihak-pihak lain termasuk NGO-NGO atau badan-badan politik boleh memberikan memorandum mereka atau syor mereka kepada PSC-ER seperti mana tertulis :
Jawatankuasa Pilihan Khas ini ingin mempelawa wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan / persatuan-persatuan yang berdaftar dan individu untuk mengemukakan cadangan-cadangan atau syor-syor mengenai proses pilihan raya di Malaysia.
Selain itu, PSC-ER ini dilihat sebagai sebuah jawatankuasa yang telus dan amat terbuka. Buktinya, kesemua laporan jawatankuasa, syor-syor jawatankuasa mahupun NGO serta minit-minit mesyuarat berkaitan boleh di baca di laman web Parlimen berikut : http://www.parlimen.gov.my/pages.php?view=153&uweb=dr (Anda boleh download 'mirror' laman tersebut dalam bentuk 7zip di sini : http://www.4shared.com/archive/EatVUYbx/PSC-ER_My_2011-2012.html)

Selain itu, komposisi Jawatankuasa ini turut mengandungi wakil-wakil parti politik samada daripada Barisan Nasional ataupun pakatan pembangkang yang turut mewakili kaum-kaum di Malaysia termasuk wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak. Jadi boleh kita katakan, PSC-ER mempunyai kredibiliti yang kuat sekiranya laporan mereka diambil kira. Seperti mana kata Y.B. P. Kamalanathan, pihak SPR perlu diberi peluang bagi mengambil tindakan ke atas syor-syor PSC-ER serta diberi ruang dan masa secukupnya kerana ada syor-syor berkenaan boleh dilakukan serta merta dan ada yang mengambil masa kerana terikat dengan batasan undang-undang mahupun logistik.

Saya ringkaskan kembali tuntutan BERSIH dan statusnya selepas diteliti PSC-ER :
1. Penggunaan Dakwat Kekal  - TERIMA
2. Akses Media Yang Bebas Dan Adil - TERIMA
3. Kukuhkan Institusi Awam (SPR) - TERIMA
4. Bersihkan Senarai Daftar Pengundi - TERIMA
5. Reformasi Undi Pos - TERIMA
6. Hentikan Rasuah Politik - TERIMA
7. Hentikan Politik Kotor - TERIMA
8. Memanjangkan Tempoh Berkempen (Cadangan Bersih : Minimum 21 hari, PSC-ER Syor Minimum 10 hari )
Jadi saya katakan sekali lagi, BERSIH 3.0 sebenarnya TIDAK PERLU. Jangan buang masa anda pada 28 April 2012 ini. Melainkan ada 'maksud' lain pada perhimpunan tersebut. Berhati-hatilah...

Wassalam...


Cara mudah hapuskan pinjaman PTPTN....

Assalamualaikum,

Kecoh seminggu dua ni pasal nak memansuhkan PTPTN. Bagi sesetengah pihak PTPTN ini dilihat sebagai salah satu perkara yang cekik darah dan amat zalim. Sehinggakan, pada hari ini (14 April 2012), suatu perhimpunan telah diadakan bagi mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN.


Sesungguhnya saya tidak mahu mengulas panjang kebiadapan si Syiah Khalid Ismath di dalam video di atas kerana sudah terang jelas lagi bersuluh, mentaliti sesat yang cuba ditonjolkannya.

Updated Malam 15 April 2012 : Kata Tun Mahathir,  
‎"Biarlah, mereka (negara-negara luar) kaya, mereka boleh bagi (pendidikan) secara percuma...Kita boleh mansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), tapi orang yang minta mansuh sahaja terlibat. "Orang yang tidak minta PTPTN dimansuhkan, kita boleh bagi.." 
Ouch!! Hehehe... Tun M with his usual sarcasm style....
Updated Pagi 15 April 2012 : Pendapat orang ramai berkenaan tuntutan pemansuhan PTPTN. Sila tonton video di bawah :

Yang ingin diulas, adalah perkara pokok : PTPTN.

PTPTN seperti mana sedia maklum adalah badan yang memberikan bantuan pelajaran dalam bentuk pinjaman kepada para mahasiswa di IPTA dan IPTS. Bantuan yang diberikan selalunya terdapat beberapa kategori dan jenis. Seingat saya, ada yang mendapat pinjaman penuh (yuran akademik dan sara hidup) dan ada juga yang mendapat pinjaman bagi yuran akademik sahaja. Ini bermakna, bagi yang mendapat pinjaman yang merangkumi sara hidup, mereka bukan sahaja menerima duit untuk menanggung kos pembelajaran sahaja, malah kos sara hidup mereka termasuk makan, minum, pakaian, kelengkapan pembelajaran seperti barangan komputer dan sebagainya juga diberikan bantuan di dalam bentuk pinjaman.

Terbaru, saya terdengar bahawa PTPTN mencadangkan supaya elaun sara hidup yang diberikan selama ini kepada peminjam tidak lagi diberikan. Adakah ini yang membuatkan para mahasiswa melenting?

Saya beranggapan, PTPTN mula 'merajuk' setelah ramai mahasiswa yang tidak mahu menunaikan janji di dalam kontrak pinjaman PTPTN mereka sendiri. Memang kita akui, PTPTN mempunyai kelemahan, terutama di dalam mekanisme pembayaran balik. Dikatakan PTPTN mengenakan 'caj perkhidmatan' yang tinggi sebagai ganti kepada 'bunga' seperti mana pinjaman-pinjaman yang dibuat di bank-bank komersial. Bagi sesetengah pihak, inilah perbuatan paling menindas PTPTN, yakni mengenakan riba.

Saya setuju dengan pendapat ini. PTPTN tidak seharusnya mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan berulang serta berkadaran dengan baki bayaran balik pinjaman. Sepatutnya, PTPTN boleh mengenakan 'caj  perkhidmatan' yang tetap bagi setiap tahun yang tinggal bagi peminjam yang ingin membayar balik wang pinjaman. Bagi saya, cara ini lebih adil dan baik kerana sudah semestinya di pihak PTPTN sendiri memerlukan pendapatan daripada caj perkhidmatan ini supaya dapat menanggung kos operasinya.

Dan saya rasakan dengan pengenalan sistem ujrah 1% oleh ptptn ini sebenarnya sudah boleh menyelesaikan masalah hukum 'riba' seperti yang dibangkitkan. Tetapi sekiranya anda google berkenaan  ujrah ini pula, ramai juga yang tidak setuju sebab katanya caj 1% tu dah 'fixed' dan lebih suka kepada pengiraan 3% daripada baki akhir... katanya yang 3% tu lagi bagus kepada peminjam, tapi soal riba entah ke mana... macam-macam....

Jadi, kita boleh andaikan dengan terbitnya sistem ujrah ini, sepatutnya tiada lagi isu riba'. Tetapi ada yang mempertikaikan sebagai contoh, katanya pinjaman pelajaran hanya RM 48,000, tapi kena bayar balik RM 61,000. Bagi beliau ini  tidak adil dan tidak Islamik lagi riba. Tetapi kita harus ingat, caj perkhidmatan yang diperkenalkan oleh PTPTN itu tidak ada bezanya jua dengan segala macam pinjaman kewangan atau pembiayaan dari bank-bank yang patuh syariah. Sebagai contoh, pembelian kenderaan melalui pembiayaan kewangan oleh bank yang patuh syariah juga tidak akan meminta bayaran balik sama dengan harga asal kenderaan. Sebuah proton Saga yang berharga RM 38,000 akhirnya akan dibayar  balik sehingga RM 50,000 kepada bank yang 'patuh syariah' berkenaan, berdasarkan jumlah pembiayaan dan tempoh bayaran balik. Jadi mengapakah tiada demo untuk menentang bank-bank tersebut?

Bagi mereka yang ingin menghapuskan PTPTN ini, pelajaran sepatutnya diberikan percuma oleh kerajaan. Saya katakan, Kerajaan telah pun banyak menanggung kos pembelajaran di IPTA-IPTA awam. Saya jangkakan, yuran tahunan di IPTA tidaklah seperti kos pembelajaran di IPTS. Sebagai bekas pelajar IPTS, saya tahu berapa banyak yang perlu dibayar setiap semester berbanding rakan-rakan di IPTA dan adakalanya mencecah lebih daripada 5 kali ganda. Jadi, kos pinjaman yang banyak ini sebenarnya boleh dikatakan adalah bagi mereka yang menuntut di IPTS.

Sekiranya dimansuhkan PTPTN, siapa pula yang akan membantu mahasiswa yang melanjutkan pelajaran mereka di IPTS? Kerajaan boleh membina IPTA-IPTA tetapi setiap sesuatu itu mesti ada hadnya. Tidak semua perbelanjaan kerajaan hanya boleh ditumpukan ke dalam bidang pengajian tinggi semata. Bagaimana pula halnya nanti, jika sekiranya semua orang diberikan peluang belajar di IPTA tanpa sebarang yuran dan tiada lagi IPTS yang wujud, adakah kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan di bidang lain seperti pendidikan rendah, kesihatan, pertanian, pembangunan infrastruktur dan lain-lain?

Jadi, bagi saya sebenarnya tiada isu sangat dengan PTPTN ini. Hanya menjadi hangat kerana ada ahli politik yang berani menjanjikan bulan dan bintang dengan menyatakan sesuatu yang tidak realistik mengikut keadaan sosio-politik negara ini. Seandainya betul-betul ingin memberi pendidikan percuma di peringkat tertinggi, kerajaan perlu mencari dana lain. Dan sekirnya negara barat seperti Norway di ambil contoh, maka mereka mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan. Persoalannya, adakah rakyat negara ini bersedia membayar cukai yang lebih tinggi untuk memberi peluang kepada semua orang yang kita belum tentu tahu serius untuk belajar, untuk diberi pelajaran secara percuma??

Inilah yang harus mahasiswa fahami. Bukan main ikut-ikutan semata-mata. PTPTN ada ruang penambahbaikannya. Penghapusannya membawa bencana. Kasihanilah mereka yang benar-benar ingin belajar. Sekiranya mereka diberikan pinjaman, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab dan lebih serius untuk belajar. Ini kerana mereka tahu, apa yang mereka dapat bukanlah hak mereka 100%, tetapi cuma pinjaman sementara atas ehsan PTPTN supaya mereka dapat belajar dan berjaya. Hanya dengan rasa seperti ini kita dapat mengelakkan mahasiswa yang bongkak lagi tidak bersyukur dan tidak berterima kasih. 

Sebenarnya, jikalau mahasiswa benar-benar serius belajar, mereka tidak perlu pun risau akan bayaran  balik PTPTN. Sekiranya mereka mendapat CGPA 3.75 ke atas (first class degree), mereka layak untuk dikecualikan bayaran balik kepada PTPTN. Inilah sebenarnya cara 'mudah' untuk 'menghapuskan' pinjaman PTPTN.  Anda belajar rajin-rajin, dapat keputusan cemerlang dan dikecualikan daripada bayaran balik. Bukan dengan berdemonstrasi dengan menunjukkan kebiadaban dan akhlak yang buruk. 

Orang suruh belajar, dia pergi berdemo.. macam mana nak dapat convert pinjaman ke biasiswa!!

Yang dah kerja tu, bayarlah PTPTN sampai habis. Jangan ditangguhkan atau menunggu penghapusan PTPTN pulak. Kasihanilah adik-adik anda yang hendak baru belajar. Sekiranya PTPTN hanya mencatat kerugian akibat hutang yang tertangguh dan sengaja tidak dibayar, tidak mustahil, suatu hari nanti tiada lagi bantuan sara hidup diberikan, walaupun kepada pelajar yang benar-benar susah dan miskin. Anda bertanggungjawab. Anda pinjam, anda bayar. Anda sudah berjanji dan berikrar, bermula dari saat anda membuat permohonan untuk PTPTN dan menandatangani perjanjian. Jangan asyik salahkan kerajaan semata-mata!!

Akhir sekali, buat renungan semua

Siapa yang rajin, dialah untung...
"Jika perhati bangsa dagang ... Kapak beliung ditangan memegang"
Anda lihat apa yang saya lihat? Anda nampak apa yang saya nampak? Anda faham apa yang saya faham? Anda ambil iktibar dengan apa yang saya ambil iktibar? Fikir-fikirkan..

Wassalamualaikum..

PS : Bersyukur kepada Allah dan beterima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan pelajaran dahulu dan dikecualikan bayaran balik sebanyak 75%.......