Ku Biarkan Pena Menulis.....

Hari 31/2020 - The Return of PPSMI

Assalamualaikum

Hari ini terdengar berita yang Tun Dr Mahathir selaku pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa PPSMI (Program Pengajian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) bakal diperkenalkan semula.

Dulu blog ini pernah menukil pandangan bagi isu yang sama...  Lebih kurang 10 tahun lalu pada 2009.

Cuplikannya seperti berikut:


Untuk PPSMI 2.0 ini, pandangan saya lebih kurang sama tapi lebih memilih jalan pertengahan.

Usia mendewasakan dan pengalaman mengajar kita. Dalam kehidupan ada hitam, putih dan kelabu. Begitu juga dalam setiap isu.

Wassalam

Hari 2/2020 - LETAK!

Assalamualaikum

Baru hari kedua di tahun 2020 ini. Menteri Pendidikan, Dr Maszlee umum letak jawatan.


Entah apa dan mengapa. Nampak seperti tergesa-gesa. Rakyat banyak gundah gulana. Dulu diejek, diperli dihina. Kini diangkat laksana juara. Rupanya permata di antara banyaknya kaca.

Banyak spekulasi. Dalam sidang media, Dr Maszlee memaklumkan bahawa peletakan jawatan ini telah mendapat perkenan Tun Mahathir dan atas nasihat beliau jua, Dr Maszlee "memulangkan" jawatan ini kepada Tun M [link].
























Ya, imbas kembali pada tahun 2018. Sememangnya Tun Mahathir yang sepatutnya memegang portfolio Menteri Pendidikan, kerana senarai kabinet telah dirangka sebegitu. Walaubagaimanapun, pada ketika itu, berdasarkan perjanjian Pakatan Harapan, mereka telah memutuskan bahawa mana-mana Perdana Menteri tidak seharusnya memegang portfolio kementerian-kementerian demi tujuan menguatkan integriti dan tadbir urus.

Tapi, bagi aku, Dr Maszlee ini orangnya bagus. Mungkin di awal-awal dahulu ada sedikit kontroversi tapi mengakhiri 20 bulan ini, beliau telah menjadi lebih bagus dengan dasar-dasar yang dikeluarkan.



Spekulasi sebab letak jawatan? Banyak tekanan luar katanya... Ada orang kata sebab isu Jawi.. ada orang kata sebab dia dikenali sebagai "Islamis", jadi orang bukan Islam di dalam dan di luar kerajaan tak suka kerana dikatakan dia bawak nilai Islam dalam sistem pendidikan (orang liberal pun pasti tak suka!)... ada cakap sebab dia dah tamatkan kaedah kontrak pembekalan Internet sepusat oleh satu-satu syarikat bagi semua sekolah dan diganti dengan kaedah open provider bagi setiap sekolah--kroni-moni!.

Macam-macam lagi lah spekulasi. Sebab sebenar hanya Allah, Dr Maszlee dan Tun Mahathir sahaja yang tahu.

Jika ditanya pada aku, aku katakan, "Ah.. rugi sekali!". Menteri yang bijak dan mempunyai banyak idea, telah meletak jawatan tatkala ramai mula menyukainya.

Entah-lah! Are we truly moving forward or backwards?

Wassalam

Hari 1/2020 - Fikir

Assalamualaikum

Hari ini telah masuk tahun 2020. Ya, tahun yang sentiasa ditunggu-tunggu dan menjadi bualan rakyat Malaysia sekian lama.

Kenapa?

Bagi generasi muda (yang betul-betul muda) mungkin tidak mengetahui bahawa lebih kurang 30 tahun dulu, Kerajaan telah menyasarkan tahun 2020 sebagai tahun di mana Malaysia telah mencapai status negara maju, setanding dengan negara-negara lain.

Idea dan lontaran Perdana Menteri Keempat ketika itu, nampaknya tidak kesampaian dan disahkan oleh Perdana Menteri Ketujuh, bahawa negara ini perlu masa lebih kurang 10 tahun lagi iaitu pada tahun 2030 untuk benar-benar mencapai status negara maju.

Ironinya, PM-4 dan PM-7 adalah sosok tubuh yang sama.

Di antara mengapa negara ini hold backed daripada menjadi negara maju ialah kerana instability yang berlaku akibat daripada krisis ekonomi dunia pada 1997-1998 serta krisis politik dalaman negara ini sendiri. Krisis ekonomi tersebut telah merencatkan pembangunan ke arah negara maju negara ini dan banyak projek-projek pembangunan infrastruktur moden terpaksa dihentikan atau ditangguh dalam satu masa yang lama.

Pada masa yang sama, krisis politik tanah air ketika itu menjadi meruncing dengan perpecahan bangsa Melayu, seterusnya menggugat perpaduan antara kaum. Ini sedikit sebanyak menjadikan komuniti yang dominan dengan perniagaan dan para pelabur memperlahankan pelaburan mereka di negara ini akibat daripada kekacauan yang timbul serta prestasi mata wang negara yang merudum ketika itu.

Sejak dari saat dan ketika itu, aku rasakan (secara peribadi), negara ini belum mencapai kestabilan seperti mana sepatutnya. Dalam erti kata, stabil dari segi ekonomi dan perpaduan antara kaum. Kemenangan besar BN pada tahun 2004 dianggap sebagai reconcilation rakyat untuk hidup bersatu semula di bawah satu kepimpinan rupa-rupanya hanya suatu smokescreen yang kini menjadi barah mulai tahun-tahun 2006 dan ke atas, di mana kemuncaknya adalah pada tahun 2008.

Apa boleh buat, aku ditakdirkan merasa fasa-fasa kritikal dalam perjalanan menuju 2020 ini dalam fasa di mana aku sendiri perlu struggle memikirkan masa depan sendiri, iaitu mencari hala tuju haluan hidup, dari segi pelajaran dan pekerjaan.

Kini, hampir 22 tahun berlalu selepas 1998, aku masih rasa negara ini masih belum di jalan yang sepatutnya kita lalui. Ekstremisme telah meracun pemikiran kita sedangkan kita sepatutnya memilih jalan pertengahan yang sederhana.

Apatah lagi, pada waktu ini pula, mereka yang senasib denganku, yang hidupnya selalu di zaman peralihan, daripada dunia analog ke dunia digital kepada dunia IOT dan entah ke dunia mana lagi, mungkin sedang menghadapi cabaran dalam membangun keluarga dan membesarkan anak-anak. Walaupun dirasakan mempunyai sumber pendapatan yang stabil, tetapi kadang terasa masih ada kekurangan yang perlu ditampung.

Apakah nilai-nilai yang pernah kami lalui dulu telah hilang? Apakah disebabkan zaman komunikasi sosial media menyebabkan manusia mendapat information overload dan mengakibatkan minda mereka fatigue hingga tidak lagi boleh mencapai nilai-nilai yang baik yang sepatutnya mereka amalkan, apa yang telah mereka belajar terdahulu? Adakah kita sudah ketagihan dan tenggelam dalam fantasi sosial media?

Adakah kebersosialan alam maya ini menyebabkan anak-anak kita terabai? Bagaimana pula dengan keadaan dunia sekarang ini di mana, kedua-dua ibu bapa bekerja dan anaknya terpaksa membesar dengan "kasih sayang" yang dibeli di pusat-pusat asuhan dan tadika? Masih adakah lagi tumpuan ibu kepada anaknya untuk mengajar cara-cara hidup...? akhlak....? agama...? Atau adakah semuanya hanya boleh dibeli dengan wang ringgit daripada pihak ketiga.

Ah! Ah! Ah!

Sungguh aku pening dan pitam berfikir akan hal ini semua. Tapi aku tak boleh berhenti berfikir. Kalau aku berhenti berfikir, siapa nak tanggung nasib anakku bila beliau meningkat dewasa nanti?

Wassalam