Ku Biarkan Pena Menulis.....

Hari 332/2022 - PRU-15 Malaysia: Yang terjadi, benar telah terjadi

Assalamualaikum 

Semua orang tahu apa telah terjadi pada Pilihanraya Umum Malaysia kali ke-15 yang telah diadakan pada 19 November 2022 yang lepas. Aku mudahkan seperti berikut, berdasarkan pemerhatian aku sendiri:

1. Undi 18 dan pengundi muda yang hadir dengannya banyak mempengaruhi keputusan luar jangka.

Tangkap layar dari laman myundi pada 28/11/2022


2. Antaranya, kejatuhan 'Giants' dan 'Legends' di arena politik tanah air, sekadar memetik beberapa nama : Tun M, Mukhriz, Azmin, Ku Nan, Nurul Izzah, KJ, Saifuddin Nasution, Tok Met, Zuraida, Maszlee, Ku Li dan lain-lain lagi.





"Giants" parti Pejuang yang kalah. Sumber: https://www.myundi.com.my 


3. Hatta, para pendukung NGO dan artis-artis yang cuba diketengahkan oleh parti politik seperti Ahmad Idham, Lando Zawawi, Eizlan Yusof, Rani Kulop, Jurey Rosli juga kalah di tempat masing-masing.

Eizlan Yusof, Ahmad Idham, Lando Zawawi. Sumber gambar : https://ohmymedia.cc/eizlan-yusof-ahmad-idham-lando-zawawi-antara-selebriti-bakal-rebut-jawatan-wakil-rakyat/ 

4. Ada dua polariti ekstrem mendominasi, satu ialah ultra-islamik-nasionalis (PN) dan satu lagi ialah liberal-demokratik (PH). PN dengan 73 kerusi, PH dengan 82 kerusi. Ini menunjukkan setidak-tidaknya, di Semenanjung, telah terjadi dua pola pemikiran yang tidak bersatu hati. BN yang lebih moderat-nasionalis-progresif juga hanya berjaya memperoleh 30 kerusi sahaja. Itupun, di kerusi-kerusi UMNO yang mendapat majoriti daripada 30 kerusi itu.

Polariti pilihan pengundi pada PRU-15 berdasarkan geografi. Sumber: https://pru.astroawani.com/

5. BN masih mendapat undi yang banyak di setiap kerusi ditandingi selepas PN atau PH. Ini menunjukkan, walaupun terpalit dengan sentimen kleptokrasi, rasuah dan sebagainya, masih ramai pengundi setia BN yang mengundi BN.

6. PH pula terlihat kian selesa dengan kerusi-kerusi yang telah dimenangi. Walaupun begitu, mereka juga menghadapi tentangan sengit, terutamanya daripada PN. PH mendominasi sebilangan besar kerusi di bandar-bandar di mana rakyatnya adalah lebih majmuk dan mempunyai toleransi yang lebih besar di antara ras dan agama berbanding di kawasan pedalaman. Dasar liberal yang di bawah oleh DAP serta ideologi terbuka PKR sudah tentu menarik para pengundi bukan Melayu. Manakala dasar wasatiy dan terbuka oleh AMANAH sudah pasti dapat menarik para pengundi Melayu Islam yang profesional serta progresif di kawasan bandar.

7. PN menunjukkan peningkatan paling ketara. Banyak kerusi dimenangi PAS (40 kerusi) dan Bersatu (33 kerusi). Ini berbeza sekali semasa PAS bertanding sendirian pada PRU-14 dan juga Bersatu semasa berada dalam PH pada 2018. Kemenangan PN ini menterjemahkan hasrat orang-orang Melayu-Bumiputera (di kawasan mereka ialah majoriti) yang memilih mungkin berdasarkan sentimen ras dan agama. Di kawasan majoriti Melayu ini, di mana pergaulan antara ras adalah terhad, tidak kira sama ada mereka ialah peniaga, pekerja biasa atau profesional yang progresif, calon-calon yang memihak kepada Bumiputera dan Orang Islam tetap menjadi pilihan.

8. Dalam kesemua parti politik bertanding, Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi parti PEJUANG adalah "the big loser" dalam PRU-15 ini. Lebih kurang 120 kerusi ia bertanding, tidak satu pun dimenangi malah banyak yang hilang deposit. Ternyata, isu-isu integriti dan melawan mereka yang korup tidak dapat menambat hati pengundi, apatah lagi para pengundi muda yang tidak memahami isu-isu yang diperjuangkan. Sebagai parti baharu, Pejuang juga sebenarnya hanya diminati oleh mereka yang memahami isu "kenapa tidak boleh undi BN, PN dan PH" dengan jelas sahaja. Walhal, kebanyakan pengundi telah dimomok isu bahawa Tun M kaya akibat salah guna kuasa dan kejatuhan PH pada 2020 disebabkan beliau. Antara lain jentera yang tidak mantap serta kegagalan untuk bekerjasama dengan PH atau PN menyebabkan mereka tidak diundi. Sudah tentu pengundi lebih gemar mengundi PN atau PH malah BN yang lebih lama bertapak. Orang-orang muda juga diajak untuk menolak Pejuang atas alasan Tun M perlu berehat dari arena politik.

Semua calon parti "Pa" ini kalah dalam PRU-15. Sumber gambar: https://ecentral.my/parti-pejuang/


9. "Pakatan Sulit" antara "Murid" dan "Cikgu" memang benar terjadi. Perkara ini dinafikan oleh si murid, tapi akhirnya terzahir jua. Aku tak nak ulas panjang bab ni, sebab masing-masing boleh tahu dan boleh Google sendiri. Cuma terkilan, dalam kedua-dua pihak dok hentam satu sama lain sampai sanggup umum "No sipolan, No sipolan 2, No parti politik sekian", akhirnya bersatu jua dalam masa tak sampai 3 hari lepas pilihan raya. Rakyat terasa diperbodohkan atas perkara ini. Prinsip perjuangan yang dilaungkan rupanya boleh dicampak kelaut begitu sahaja. Sepatutnya diumumkan sedari awal perancangan ini supaya lebih adil kepada pengundi. Apa salahnya?

Cikgu on call dengan anak murid. Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: https://www.dreamstime.com/hispanic-girl-school-student-hold-phone-learn-online-video-calling-math-teacher-hispanic-teen-girl-school-pupil-college-student-image183806938

10. Anwar Ibrahim menjadi PM ke-10. Sekalung tahniah diucapkan. Tidak pernah aku bayangkan ia akan terjadi (sebenarnya dah bayangkan masa 2020 bila sepatutnya Tun M bagi kepada beliau, tapi langkah Sheraton merencatkan perancangan Tun M). Sebagai rakyat, kita harus hormat akan keputusan SPB YDPA selepas Anwar mendapat sokongan ahli parlimen yang mencukupi (seperti di dakwa oleh Zahid Hamidi bagi mewakili BN. Malah GPS juga memberi sokongan kepada beliau setelah sebelumnya memberi sokongan kepada Muhyiddin Yasin). Aku harap beliau diberi peluang untuk menunjukkan apa yang beliau boleh buat untuk Malaysia dan jangan ada terjadi lagi ketidakstabilan politik sehingga PRU ke-16 pada 5 tahun mendatang. 





Kita beri peluang kepada PM ke-10 kita yang baharu ini. Gambar sumber: Link



Itu saja coretan aku kali ini. Sekadar mencatit sejarah dari pandangan diri ini jua.

Wassalam

Hari 271 / 2022 - Kerana Percayakan Siti

Assalamualaikum 

Gegar Vaganza musim 2022 kembali lagi. Boleh aku katakan, aku minat program ini sebab para peserta akan diberi tugasan untuk menyanyikan lagu-lagu lama yang pernah popular pada satu ketika dulu.



Antara lagu yang aku minat dan ada pada musim kali ini ialah lagu Exist, "Kerana Percayakan Siti". Lagu ini diberikan kepada Asheed Def-Gab-C dan beliau membawanya dengan sungguh baik sekali.

Mendengar sekali arrangement yang dibuat, teringat lagu-lagu rock J-Pop zaman 2000-2005. Terasa ada vibe yang sama. Mungkin juga ada vibe "School of Rock" sebab gaya Asheed dah macam Jack Black dah aku tengok! Hahaha....

Dah pasti kita semua ramai kenal orang yang namanya ada "Siti". Aku pun sama, sejak dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, sampai ke tempat kerja pun ada je siti-siti. Persoalannya, adakah Siti-Siti ini boleh dipercayai? Hahaha!

Bagi aku, ada seorang yang termasuk kategori di atas, yang aku percaya, memberikan semangat kepada aku dalam menempuhi hidup terutamanya semasa menginjak meninggalkan alam remaja memasuki awal dewasa. Tapi ironinya, seperti lirik lagu ini, apa yang aku harapkan ianya tak terjadi.

Bagi aku, it is a learning process. Tuhan menguji kita dengan apa yang kita suka dan dengan apa yang kita tak suka. Kedua-duanya ialah ujian. Kini, walaupun tanpa "Siti" tersebut, aku kekal bahagia dengan kehadiran "Cahaya" dalam hidupku. Rupanya, Dia nak berikan aku "Cahaya" yang menjadi suri peneman kalbu, bukan seorang "Siti".


Wassalam

Hari 255 / 2022 - Idea yang kamu belum mahu nyatakan sendiri, simpankan sendiri dengan baik-baik, jangan dikongsi dengan makhluk yang tidak wajar....

Assalamualaikum 

Ini suatu peringatan buat semua yang membaca. Jika anda ada buah fikiran yang baik dan hebat, jangan kongsi dengan orang lain, sehinggalah kamu yakin dan dengan kehendak kamu sendiri, ingin mengetengahkan idea tersebut.

Alkisahnya di dalam dunia ini, ada satu jenis makluk di kalangan makhluk bernama insan yang suka mendengar idea orang lain, lalu menggunakan idea tersebut untuk diketengahkan kepada khalayak yang layak diperdengarkan idea tersebut.

Jika si makhluk ini menyebut bahawa ini ialah idea asal dirimu, maka mungkin lah kamu boleh menerimanya. Tetapi makluk ini adakala mengangkat idea tersebut seolah-olah ia lah yang memikirkan di atas batu jemalanya sendiri akan idea tersebut.

Maka berbondong-bondonglah pujian, kata-kata manis dan ta'asub melampau akan diterima oleh makhluk tadi di atas idea kamu yang ia ketengahkan seolah ideanya sendiri. Kamu pula akan disalah erti malah tidak dipandang seolah-olah kamu tiada keberhasilan membuat sebarang pekerjaan mahupun buah fikiran yang mampu memajukan organisasi.

Jadi sebab itu, ideamu yang mahal itu, jika boleh, lontarkan sendiri di khalayak yang layak, bukan di hadapan makhluk-makhluk sejenis ini.

Aku hanya menasihati diriku sendiri dan kamu yang membaca. Bukan hendak mengajar kamu kedekut dalam berkongsi ilmu, cuma berhati-hati dengan apa yang kamu ingin kongsikan.

Wassalam

Minyak "Sapi"



Hari 105/2022 - NOTA RAMADHAN : Jangan Bersumpah Dengan Nama Allah Sesuka Hati

Assalamualaikum 


2:224
وَلَا تَجْعَلُوا۟ ٱللَّهَ عُرْضَةًۭ لِّأَيْمَـٰنِكُمْ أَن تَبَرُّوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَتُصْلِحُوا۟ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ ٢٢٤

Do not use Allah’s Name in your oaths as an excuse for not doing good, not guarding against evil, or not making peace between people. And Allah is All-Hearing, All-Knowing.
— Dr. Mustafa Khattab, the Clear Quran

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
— Abdullah Muhammad Basmeih
Al-Baqarah, ayat 224

Banyak orang bersumpah macam-macam. Tapi yang bahaya bila sumpah dengan menyebut nama Allah untuk taknak buat benda kebaikan. Contoh sumpah, "Demi Allah aku takkan pergi berjemaah di masjid selagi mana ajk-ajk fulan, fulanah ini masih berkhidmat di masjid ini..." walhal perkara pergi ke masjid tersebut adalah perkara baik dan petunjuk taqwa.

Berhati-hati dengan sumpah. Tak perlu sumpah dalam hal-hal begini.

Wassalam

Hari 104/2022 - Nota Ramadhan : Allah Beri Ujian Sebelum Masuk Syurga

Assalamualaikum 


Surah Al-Baqarah, ayat 104

😟😌

Wassalam

Hari 66 / 2022 - AGENDA POLITIK vs AGENDA KERAJAAN

Assalamualaikum,

Lama benar tak update blog ni. Dah dekat setahun. Seperti biasa, blog ni kena update tiap-tiap tahun sebab dah set KPI sejak tahun 2018 iaitu, 2 kali posting setahun. Jadi setelah dikira-kira statistiknya, berikut merupakan pencapaian pengemaskinian blog ini ikut KPI tersebut:
  • 2018, 2 post (100%)
  • 2019, 11 post (550%) - LOL 😄
  • 2020, 3 post (150%)
  • 2021, 2 post (100%)
Jadi tahun ini, insya Allah akan kita cuba dapatkan 100% tersebut. Hahaha!

Ok, hari ini, di tahun 2022 ni, nak tulis sikit lah berkenaan agenda -- agenda politik vs agenda kerajaan. Sebelum kita mula, bagus kita tengok apakah maksud agenda :

agenda

 noun
agen·​da | \ ə-ˈjen-də  \

Definition of agenda

1a list or outline of things to be considered or doneagendas of faculty meetings
2an underlying often ideological plan or programa political agenda
Sumber: “Agenda.” Merriam-Webster.com Dictionary, Merriam-Webster, https://www.merriam-webster.com/dictionary/agenda. Accessed 7 Mar. 2022.

Dalam erti kata mudah, agenda ialah satu perancangan apa yang akan dilakukan. Malah, ia juga mempunyai konotasi sebagai "matlamat" dari sesuatu perkara atau rancangan (seperti agenda tersembunyi).

Inipun agenda jugak.
Photo by cottonbro from Pexels

Selalunya, agenda politik akan dipandang skeptis oleh mereka yang sentiasa skeptis terhadap politikus. Manakala, bagi agenda kerajaan, selalu jua dipandang sebagai "projek" yang boleh membantu rakyat dan dalam pada masa yang sama, bagi ahli perniagaan, pembekal dan kontraktor, sebagai punca fulusss dan masyukkk.

Bagi rakyat pula, agenda politik selalunya tidak mereka nampak jelas dan agenda kerajaan pula bagi mereka, hanyalah satu lagi janji atau manfaat yang kerajaan harus tunaikan apabila telah dirancang dan dicanang.

Kalau nak cerita soal agenda politik ini, panjang perbahasannya. Cukuplah kita lihat outcome-nya dalam 2-3 tahun ini. Berapa banyak Perdana Menteri telah kita ada sejak PRU 2018? 3 orang! ya.. Dalam tempoh kita mula-mula mencapai Kemerdekaan dahulu, tempoh nak mencapai 3 Perdana Menteri (1957 - 1976) ialah selama 19 tahun. Malah dari Perdana Menteri ke-empat hingga ke-enam (lagi 3 orang Perdana Menteri) memakan masa sehingga 28 tahun!

Semuanya kerana apa? Kerana agenda politik.

Akibat tidak puas hati dan tidak dapat menerima kekalahan, maka satu agenda politik digerakkan. Tujuannya ialah untuk kembali berkuasa. Akibatnya, ada pihak termakan hasutan, termakan budi dan menjadi pengkhianat. Ada pula pihak yang lain, mengetepikan prinsip sekian lama, dan sanggup bekerjasama dengan mereka yang terpalit isu integriti dan disabitkan di mahkamah kerana agenda politik untuk "berasa" kerusi-kerusi menteri.

Akibatnya, 2 orang Perdana Menteri telah dijatuhkan, bukan melalui PRU, tetapi melalui perpindahan sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini baru di peringkat pusat. Di peringkat negeri? Bukan satu negeri, 3-4 negeri bertukar kerajaan akibat agenda politik. 

Agenda politik ini pula menyebabkan fitnah tak tentu fasal di sana sini. Orang-orang yang mereka sasarkan ialah orang-orang lama yang mudah dimainkan sentimen. Apatah lagi dicampur aduk dengan pengaruh-pengaruh ugama dan bangsa, maka makin mudah lah pemikiran mereka dipesongkan dan dimanipulasikan.

Hasilnya? Yang buat salah pun dianggap suci dan dilupakan. Disabit di mahkamah pun tidak malu, walhal sabitan bukan sahaja di negara kita, malah di negara luar juga dibicarakan. Malah disanjung dan dialu-alukan oleh anak muda dengan panggilan "Malu apa bosshhkuu".

Ya, ini lah akibat agenda politik, buat salah pun tak payah malu.

Apa pula agenda kerajaan? Agenda kerajaan ni banyak bentuk. Antara agenda yang kita boleh cerita di sini ialah agenda kerajaan memerangi COVID-19. Contohnya, pemberian vaksin dos 1, dos 2, dos booster 1, dos booster 2, sampai dos booster nth, pemberian vaksin untuk kanak-kanak (PICKids), Kawalan Pergerakan, Penggunaan MySejahtera dan lain-lain lagi usaha kerajaan yang berkaitan dengan menangani COVID-19.

Satu lagi contoh agenda kerajaan ialah apa yang dilakukan oleh Presiden Vladimir "Brasikowaz Sinyom, Ilikipaidiede, Uraa! Uraaa~~~" Putin yang telah menyerang Ukraine. Setelah melihat kepada alasan penyerangan tersebut, agendanya ialah untuk menekan NATO supaya tidak menerima Ukraine masuk ke dalam NATO, kerana Rusia bimbang, kemasukan Ukraine ke dalam NATO akan mengancam kedaulatan negaranya. Masakan tidak, dengan masuknya Ukraine ke dalam NATO, aset-aset ketenteraan NATO boleh diletakkan di Ukraine dan ini akan menyebabkan buffer zone di antara NATO dan Rusia mengecil.

Young Putin and Younger Mahathir in 2003 @ Putrajaya.
Source: Kremlin.ru

Bagi Rusia, ini menyebabkan ancaman semerta kepada negara mereka jika tidak dihalang. Oleh sebab itu, penyerangan terhadap Ukraine merupakan satu agenda kerajaan yang tidak dielak lagi setelah NATO dan Ukraine buat endah tak endah terhadap amaran Rusia.

Manakala di China pula, agenda mereka yang terbaharu ialah bagaimana nak menjamin Keselamatan Makanan - Food Security, terhadap 1.4 billion (seribu empat ratus juta) rakyatnya setelah wabak COVID-19 yang bermula di Wuhan. Yang mereka risaukan ialah kadar import makanan ke negara mereka meningkat dengan banyak sekali. Oleh itu, satu agenda 5 tahun telah diwujudkan dengan tujuan untuk mencapai agenda ini. Antara rancangan yang diwujudkan ialah pengenalan ladang-ladang dan kebun berteknologi tinggi yang boleh bertahan dalam sebarang cuaca termasuk kemarau berpanjangan.

Antara lain usaha China dalam memastikan agenda ini dicapai:
  • Laksanakan "sistem yang paling ketat" untuk melindungi tanah ladang, menyokong pengeluaran tanaman di tanah terbiar, memastikan jumlah keluasan stabil dan meningkatkan hasil seunit kawasan

  • Menaikkan harga pembelian minimum untuk gandum dan beras, sambil memperhalusi dasar mengenai pengurangan untuk pengeluar jagung dan kacang soya

  • Meningkatkan keluasan tanah untuk penanaman jagung, memastikan pengeluaran kacang soya stabil, menyokong pengeluaran kanola, kacang tanah dan tanaman minyak lain, dan memastikan jumlah tanah yang dikhaskan untuk menanam tanaman kapas dan gula kekal stabil

  • Teruskan meningkatkan pemulihan pengeluaran khinzir, di samping meningkatkan pengeluaran daging lembu dan kambing

  • Mempelbagaikan import produk pertanian utama, mempercepatkan pembangunan perniagaan pertanian multinasional dan membangunkan rantaian bekalan luar negara untuk bijirin dan produk lain

  • Memastikan keselamatan mutlak bekalan makanan ruji dan asas sara diri dalam bijirin
Food Security - Adakah kita bersedia?
Source: Pexels

Inilah "Agenda 1.4 Billion" China yang kini sedang giat dijalankan sehingga tahun 2025. Sumber: https://www.bloombergquint.com/global-economics/china-unveils-roadmap-to-ensure-food-for-1-4-billion-people 

Di Malaysia, agenda terbaru Kerajaan ialah "Keluarga Malaysia". Di sini, kita melihat satu slogan baharu telah diwujudkan, seolah-olahnya, setiap Perdana Menteri perlu membawa slogan agenda kerajaan yang tersendiri. 

Kalau Tun Mahathir dulu, agendanya ialah Wawasan 2020, Tun Abdullah Badawi - Pembangunan Modal Insan, Dato' Sri Najib - 1 Malaysia, Tun Mahathir 2nd Term - Wawasan Kemakmuran Bersama, Tan Sri Muhyiddin - PRIHATIN, PEMERKASA, PEMULIH (dan semua yang ada 'P' termasuk PKP dan PKPP), kini tibalah masanya untuk Keluarga Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri.

Namun, apa yang penting bagi kesemua slogan ini ialah agendanya. Setakat mana agendanya jelas dan setakat manakah yang telah dicapai. Secara jujurnya, apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri yang kerap, kesemua slogan-slogan ini akan ditukar dengan kerap juga dan akibatnya akan kerap menyusahkan sedikit sebanyak jentera kerajaan yang akan melaksanakan agenda-agendanya. Alhasil, kebanyakan program-program yang dirancang sebelumnya, terpaksa "diubah sedikit" dengan memasukkan elemen-elemen baharu dan membuang elemen-elemen lama yang tidak relevan di pandangan pentadbiran yang baharu.

Kadangkala, slogan-slogan ini tidak jelas. Bila tidak jelas, sukar hendak tentukan apakah sebenarnya hasil yang boleh dijadikan kayu ukur pencapaiannya. Berbanding agenda yang kita petik dari Rusia dan China, agenda tersebut dengan terang dan jelas untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan makanan. Ini mudah difahami oleh rakyat dan sudah pasti oleh jentera kerajaan. Dari sini, kita boleh katakan, fancy words memang sedap didengar tetapi jika ia kabur, tidak jelas dan tidak boleh dikecapi, rakyat akan sukar menerima dan akhirnya, kerajaan tidak akan mendapat sokongan.

Kecuali dengan kehadiran, "cash is king", of course.

Dap ermhh bau duit....
Photo by Karolina Grabowska from Pexels

Tapi model "duit ialah raja" ini akan menimbulkan satu masalah besar di suatu hari nanti. Ia seolah-olah memupuk masyarakat yang resiprokal di mana apabila dibiasakan akan menyebabkan budaya korupsi itu tidak dapat dibendung. Apabila sokongan politik hanya dilihat sebagai satu cara untuk mendapatkan keuntungan dari segi kewangan semata-mata, akhirnya akan merosakkan minda masyarakat. Siapa bagi duit lebih, yang itulah kami sokong, walaupun dia penyamun, pencilok dan pencuri di dalam ini negeri.

Bencana keruntuhan moral akan berlaku dan berakar umbi di mana rakyat akan menjadi materialistik semata-mata.

Tidaklah salah bantuan yang kerajaan berikan, tetapi hendaklah dalam bentuk yang lebih berdaya saing dan bukannya dalm bentuk tunai yang jelas nampak unsur rasuah di situ. Pada satu masa dahulu, kita mempunyai satu agenda untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan pasaran pekerjaan yang dibuka oleh para pelabur. Agendanya ialah memberikan peluang pekerjaan atau melatih para tenaga kerja mahir dengan harapan mereka akan menjadi tenaga kerja profesional dengan upah yang berpatutan. Malah negara kita juga berusaha menghasilkan usahawan dengan memberi bantuan permulaan perniagaan, latihan kemahiran bagi usahawan, pinjaman mudah dan sebagainya.

Tapi kini, semua itu seolah-olah hilang kerana hilangnya pelabur beralih ke negara lain yang politiknya lebih stabil dan pasaran tenaga kerja yang lebih murah. Antara lain, faktornya ialah kerana mereka tidak mahu melabur di negara yang pemimpinnya dianggap korup. Malah pertukaran kerajaan dengan kerap dalam satu penggal, juga dianggap ketidakstabilan dan menghalang daripada pelaburan. 

Apa pun, sebagai yang hanya menyuarakan pendapat, kita faham dan maklum, mengendalikan sesebuah negara bukanlah tugas yang mudah. Dari itu, kita berbalik semula kepada agenda-agenda yang kita bincangkan di awal tadi. Apakah yang menjadi lebih utama bagi para pemimpin kita? Agenda politik? Agenda kerajaan? Agenda negara? atau Agenda peribadi?

Ayam makan dedak... Termenung dia kalau dedak tak ada!
Photo by Alexandr Podvalny from Pexels

Apa pun agenda yang bermain di fikiran para pemimpin kita, kita haraplah supaya agenda rakyat tidak mereka lupakan. Mungkin boleh mulakan dengan agenda "harga ayam" yang kini naik mencanak akibat tak cukup bekalan ayam yang diakibatkan dengan tak cukup bekalan dedak.............

Wassalam...