Skip to main content

Hari 66 / 2022 - AGENDA POLITIK vs AGENDA KERAJAAN

Assalamualaikum,

Lama benar tak update blog ni. Dah dekat setahun. Seperti biasa, blog ni kena update tiap-tiap tahun sebab dah set KPI sejak tahun 2018 iaitu, 2 kali posting setahun. Jadi setelah dikira-kira statistiknya, berikut merupakan pencapaian pengemaskinian blog ini ikut KPI tersebut:
  • 2018, 2 post (100%)
  • 2019, 11 post (550%) - LOL 😄
  • 2020, 3 post (150%)
  • 2021, 2 post (100%)
Jadi tahun ini, insya Allah akan kita cuba dapatkan 100% tersebut. Hahaha!

Ok, hari ini, di tahun 2022 ni, nak tulis sikit lah berkenaan agenda -- agenda politik vs agenda kerajaan. Sebelum kita mula, bagus kita tengok apakah maksud agenda :

agenda

 noun
agen·​da | \ É™-ˈjen-dÉ™  \

Definition of agenda

1a list or outline of things to be considered or doneagendas of faculty meetings
2an underlying often ideological plan or programa political agenda
Sumber: “Agenda.” Merriam-Webster.com Dictionary, Merriam-Webster, https://www.merriam-webster.com/dictionary/agenda. Accessed 7 Mar. 2022.

Dalam erti kata mudah, agenda ialah satu perancangan apa yang akan dilakukan. Malah, ia juga mempunyai konotasi sebagai "matlamat" dari sesuatu perkara atau rancangan (seperti agenda tersembunyi).

Inipun agenda jugak.
Photo by cottonbro from Pexels

Selalunya, agenda politik akan dipandang skeptis oleh mereka yang sentiasa skeptis terhadap politikus. Manakala, bagi agenda kerajaan, selalu jua dipandang sebagai "projek" yang boleh membantu rakyat dan dalam pada masa yang sama, bagi ahli perniagaan, pembekal dan kontraktor, sebagai punca fulusss dan masyukkk.

Bagi rakyat pula, agenda politik selalunya tidak mereka nampak jelas dan agenda kerajaan pula bagi mereka, hanyalah satu lagi janji atau manfaat yang kerajaan harus tunaikan apabila telah dirancang dan dicanang.

Kalau nak cerita soal agenda politik ini, panjang perbahasannya. Cukuplah kita lihat outcome-nya dalam 2-3 tahun ini. Berapa banyak Perdana Menteri telah kita ada sejak PRU 2018? 3 orang! ya.. Dalam tempoh kita mula-mula mencapai Kemerdekaan dahulu, tempoh nak mencapai 3 Perdana Menteri (1957 - 1976) ialah selama 19 tahun. Malah dari Perdana Menteri ke-empat hingga ke-enam (lagi 3 orang Perdana Menteri) memakan masa sehingga 28 tahun!

Semuanya kerana apa? Kerana agenda politik.

Akibat tidak puas hati dan tidak dapat menerima kekalahan, maka satu agenda politik digerakkan. Tujuannya ialah untuk kembali berkuasa. Akibatnya, ada pihak termakan hasutan, termakan budi dan menjadi pengkhianat. Ada pula pihak yang lain, mengetepikan prinsip sekian lama, dan sanggup bekerjasama dengan mereka yang terpalit isu integriti dan disabitkan di mahkamah kerana agenda politik untuk "berasa" kerusi-kerusi menteri.

Akibatnya, 2 orang Perdana Menteri telah dijatuhkan, bukan melalui PRU, tetapi melalui perpindahan sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini baru di peringkat pusat. Di peringkat negeri? Bukan satu negeri, 3-4 negeri bertukar kerajaan akibat agenda politik. 

Agenda politik ini pula menyebabkan fitnah tak tentu fasal di sana sini. Orang-orang yang mereka sasarkan ialah orang-orang lama yang mudah dimainkan sentimen. Apatah lagi dicampur aduk dengan pengaruh-pengaruh ugama dan bangsa, maka makin mudah lah pemikiran mereka dipesongkan dan dimanipulasikan.

Hasilnya? Yang buat salah pun dianggap suci dan dilupakan. Disabit di mahkamah pun tidak malu, walhal sabitan bukan sahaja di negara kita, malah di negara luar juga dibicarakan. Malah disanjung dan dialu-alukan oleh anak muda dengan panggilan "Malu apa bosshhkuu".

Ya, ini lah akibat agenda politik, buat salah pun tak payah malu.

Apa pula agenda kerajaan? Agenda kerajaan ni banyak bentuk. Antara agenda yang kita boleh cerita di sini ialah agenda kerajaan memerangi COVID-19. Contohnya, pemberian vaksin dos 1, dos 2, dos booster 1, dos booster 2, sampai dos booster nth, pemberian vaksin untuk kanak-kanak (PICKids), Kawalan Pergerakan, Penggunaan MySejahtera dan lain-lain lagi usaha kerajaan yang berkaitan dengan menangani COVID-19.

Satu lagi contoh agenda kerajaan ialah apa yang dilakukan oleh Presiden Vladimir "Brasikowaz Sinyom, Ilikipaidiede, Uraa! Uraaa~~~" Putin yang telah menyerang Ukraine. Setelah melihat kepada alasan penyerangan tersebut, agendanya ialah untuk menekan NATO supaya tidak menerima Ukraine masuk ke dalam NATO, kerana Rusia bimbang, kemasukan Ukraine ke dalam NATO akan mengancam kedaulatan negaranya. Masakan tidak, dengan masuknya Ukraine ke dalam NATO, aset-aset ketenteraan NATO boleh diletakkan di Ukraine dan ini akan menyebabkan buffer zone di antara NATO dan Rusia mengecil.

Young Putin and Younger Mahathir in 2003 @ Putrajaya.
Source: Kremlin.ru

Bagi Rusia, ini menyebabkan ancaman semerta kepada negara mereka jika tidak dihalang. Oleh sebab itu, penyerangan terhadap Ukraine merupakan satu agenda kerajaan yang tidak dielak lagi setelah NATO dan Ukraine buat endah tak endah terhadap amaran Rusia.

Manakala di China pula, agenda mereka yang terbaharu ialah bagaimana nak menjamin Keselamatan Makanan - Food Security, terhadap 1.4 billion (seribu empat ratus juta) rakyatnya setelah wabak COVID-19 yang bermula di Wuhan. Yang mereka risaukan ialah kadar import makanan ke negara mereka meningkat dengan banyak sekali. Oleh itu, satu agenda 5 tahun telah diwujudkan dengan tujuan untuk mencapai agenda ini. Antara rancangan yang diwujudkan ialah pengenalan ladang-ladang dan kebun berteknologi tinggi yang boleh bertahan dalam sebarang cuaca termasuk kemarau berpanjangan.

Antara lain usaha China dalam memastikan agenda ini dicapai:
  • Laksanakan "sistem yang paling ketat" untuk melindungi tanah ladang, menyokong pengeluaran tanaman di tanah terbiar, memastikan jumlah keluasan stabil dan meningkatkan hasil seunit kawasan

  • Menaikkan harga pembelian minimum untuk gandum dan beras, sambil memperhalusi dasar mengenai pengurangan untuk pengeluar jagung dan kacang soya

  • Meningkatkan keluasan tanah untuk penanaman jagung, memastikan pengeluaran kacang soya stabil, menyokong pengeluaran kanola, kacang tanah dan tanaman minyak lain, dan memastikan jumlah tanah yang dikhaskan untuk menanam tanaman kapas dan gula kekal stabil

  • Teruskan meningkatkan pemulihan pengeluaran khinzir, di samping meningkatkan pengeluaran daging lembu dan kambing

  • Mempelbagaikan import produk pertanian utama, mempercepatkan pembangunan perniagaan pertanian multinasional dan membangunkan rantaian bekalan luar negara untuk bijirin dan produk lain

  • Memastikan keselamatan mutlak bekalan makanan ruji dan asas sara diri dalam bijirin
Food Security - Adakah kita bersedia?
Source: Pexels

Inilah "Agenda 1.4 Billion" China yang kini sedang giat dijalankan sehingga tahun 2025. Sumber: https://www.bloombergquint.com/global-economics/china-unveils-roadmap-to-ensure-food-for-1-4-billion-people 

Di Malaysia, agenda terbaru Kerajaan ialah "Keluarga Malaysia". Di sini, kita melihat satu slogan baharu telah diwujudkan, seolah-olahnya, setiap Perdana Menteri perlu membawa slogan agenda kerajaan yang tersendiri. 

Kalau Tun Mahathir dulu, agendanya ialah Wawasan 2020, Tun Abdullah Badawi - Pembangunan Modal Insan, Dato' Sri Najib - 1 Malaysia, Tun Mahathir 2nd Term - Wawasan Kemakmuran Bersama, Tan Sri Muhyiddin - PRIHATIN, PEMERKASA, PEMULIH (dan semua yang ada 'P' termasuk PKP dan PKPP), kini tibalah masanya untuk Keluarga Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri.

Namun, apa yang penting bagi kesemua slogan ini ialah agendanya. Setakat mana agendanya jelas dan setakat manakah yang telah dicapai. Secara jujurnya, apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri yang kerap, kesemua slogan-slogan ini akan ditukar dengan kerap juga dan akibatnya akan kerap menyusahkan sedikit sebanyak jentera kerajaan yang akan melaksanakan agenda-agendanya. Alhasil, kebanyakan program-program yang dirancang sebelumnya, terpaksa "diubah sedikit" dengan memasukkan elemen-elemen baharu dan membuang elemen-elemen lama yang tidak relevan di pandangan pentadbiran yang baharu.

Kadangkala, slogan-slogan ini tidak jelas. Bila tidak jelas, sukar hendak tentukan apakah sebenarnya hasil yang boleh dijadikan kayu ukur pencapaiannya. Berbanding agenda yang kita petik dari Rusia dan China, agenda tersebut dengan terang dan jelas untuk menjamin kedaulatan dan keselamatan makanan. Ini mudah difahami oleh rakyat dan sudah pasti oleh jentera kerajaan. Dari sini, kita boleh katakan, fancy words memang sedap didengar tetapi jika ia kabur, tidak jelas dan tidak boleh dikecapi, rakyat akan sukar menerima dan akhirnya, kerajaan tidak akan mendapat sokongan.

Kecuali dengan kehadiran, "cash is king", of course.

Dap ermhh bau duit....
Photo by Karolina Grabowska from Pexels

Tapi model "duit ialah raja" ini akan menimbulkan satu masalah besar di suatu hari nanti. Ia seolah-olah memupuk masyarakat yang resiprokal di mana apabila dibiasakan akan menyebabkan budaya korupsi itu tidak dapat dibendung. Apabila sokongan politik hanya dilihat sebagai satu cara untuk mendapatkan keuntungan dari segi kewangan semata-mata, akhirnya akan merosakkan minda masyarakat. Siapa bagi duit lebih, yang itulah kami sokong, walaupun dia penyamun, pencilok dan pencuri di dalam ini negeri.

Bencana keruntuhan moral akan berlaku dan berakar umbi di mana rakyat akan menjadi materialistik semata-mata.

Tidaklah salah bantuan yang kerajaan berikan, tetapi hendaklah dalam bentuk yang lebih berdaya saing dan bukannya dalm bentuk tunai yang jelas nampak unsur rasuah di situ. Pada satu masa dahulu, kita mempunyai satu agenda untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan pasaran pekerjaan yang dibuka oleh para pelabur. Agendanya ialah memberikan peluang pekerjaan atau melatih para tenaga kerja mahir dengan harapan mereka akan menjadi tenaga kerja profesional dengan upah yang berpatutan. Malah negara kita juga berusaha menghasilkan usahawan dengan memberi bantuan permulaan perniagaan, latihan kemahiran bagi usahawan, pinjaman mudah dan sebagainya.

Tapi kini, semua itu seolah-olah hilang kerana hilangnya pelabur beralih ke negara lain yang politiknya lebih stabil dan pasaran tenaga kerja yang lebih murah. Antara lain, faktornya ialah kerana mereka tidak mahu melabur di negara yang pemimpinnya dianggap korup. Malah pertukaran kerajaan dengan kerap dalam satu penggal, juga dianggap ketidakstabilan dan menghalang daripada pelaburan. 

Apa pun, sebagai yang hanya menyuarakan pendapat, kita faham dan maklum, mengendalikan sesebuah negara bukanlah tugas yang mudah. Dari itu, kita berbalik semula kepada agenda-agenda yang kita bincangkan di awal tadi. Apakah yang menjadi lebih utama bagi para pemimpin kita? Agenda politik? Agenda kerajaan? Agenda negara? atau Agenda peribadi?

Ayam makan dedak... Termenung dia kalau dedak tak ada!
Photo by Alexandr Podvalny from Pexels

Apa pun agenda yang bermain di fikiran para pemimpin kita, kita haraplah supaya agenda rakyat tidak mereka lupakan. Mungkin boleh mulakan dengan agenda "harga ayam" yang kini naik mencanak akibat tak cukup bekalan ayam yang diakibatkan dengan tak cukup bekalan dedak.............

Wassalam...

Comments

Popular posts from this blog

Sollu 'ala Rasulillah habibil Mustofa..... Maulidur Rasul S.A.W

Assalamualaikum... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasohbihi wabarik 'alaih.. 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah, lahirlah penghulu kita Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.... Kita sebagai ummat beliau seharusnya mencuba untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti beliau sebanyak mana yang kita mampu..... Hari ini 12 Rabi'ul Awwal 1433 Hijrah, kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai bukti kita kasih dan cintakan beliau.... Dan untuk mencapai maksud kecintaan itu, kita hidupkanlah sunnah Rasulullah S.A.W sebanyak mana termampu dan yang boleh kita lakukan... Berselawatlah kepada  beliau, mudah-mudahan urusan kita dipermudahkan dunia dan akhirat... The Chosen One In a time of darkness and greed It is your light that we need You came to teach us how to live Muhammad Ya Rasool Allah You were so caring and kind Your soul was full of light You are the best of mankind Muhammad Khaira Khalqillah Sallu ‘ala Rasulillah, Hab...

Asal Bangsa Melayu?

Salam... Semalam, kita telah dikhabarkan bahawa istilah Bahasa Malaysia akan digunakan bagi menggantikan Bahasa Melayu... Alasan yang diberikan oleh kabinet kerajaan Malaysia ialah untuk menguatmantapkan (hahaha.. istilah baru ke nih? sori aku mereka-reka sket.. lol) hubungan antara kaum dan integrasi antara rakyat berbilang kaum. Kalau tak silap aku la kan, dulu isu ni pernah panas dengan bantahan dari beberapa pihak yg risau akan bahasa Melayu ini akan hilang identitinya. Ada berpendapat Bahasa Melayu perlu dibiarkan seperti mana yang dituturkan dan bukan dibakukan tanpa usul periksa hingga menjadi pelik perkataan-perkataan itu. Kadangkala, sebutan Melayu itu hilang Melayu nya bila ia ditutur tanpa intonasi dan lenggok yg mencerminkan bahasa melayu... ini terjadi bila ia ditutur dgn cara yang 'dull', straight, plain dan tiada jiwa di dalamnya... Bahasa Melayu ditutur dgn lenggok Cina dan India.. dimana lagi Melayunya? Oleh itu agak tepat jugaklah langkah kerajaan menggantikan...

Lagu nie... hehee...

Salam... Minggu lepaih aku tgk citer apa tah nama dia kat tv1 tu.... alaa.. yg citer Minang tu... Nun disana cintaku kot tajuk dia.. (amboi tajuk..huhu..) hehee... menarik jugak cerita ni sbb depa cakap bahasa Minang... seb baik ada subtitle, paham la jugak kan... yg aku suka sket kt cerita ni adalah lagu tema dia.. hehe.. cam best saja dengaq walau aku x tau makna dia yg tersurat dan tersirat camtu... nih aku jumpa kat tenet lagu dia.. ada lirik asai dan transliterasi ke bahasa Melayu, tapi aku still x dpt tangkap makna tersirat dia... hehee.. meh kita dengaq sepam lagu ni... Mudiak Arau (Edited pada 1 Disember 2009 -- Link yang lama dah rosak.. hehe..) Anak urang sabuak andaleh yo mamak oi singgah ka rumah Si sutan mudo.. si sutan mudo Singgah ka rumah.. hai si sutan mudo.. si sutan mudo Bia habih hai bialah tandeh yo kanduang oi Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Indak dapek hai musim manyiang, ya tuan hai.. Musi...