Ku Biarkan Pena Menulis.....

Hari 332/2022 - PRU-15 Malaysia: Yang terjadi, benar telah terjadi

Assalamualaikum 

Semua orang tahu apa telah terjadi pada Pilihanraya Umum Malaysia kali ke-15 yang telah diadakan pada 19 November 2022 yang lepas. Aku mudahkan seperti berikut, berdasarkan pemerhatian aku sendiri:

1. Undi 18 dan pengundi muda yang hadir dengannya banyak mempengaruhi keputusan luar jangka.

Tangkap layar dari laman myundi pada 28/11/2022


2. Antaranya, kejatuhan 'Giants' dan 'Legends' di arena politik tanah air, sekadar memetik beberapa nama : Tun M, Mukhriz, Azmin, Ku Nan, Nurul Izzah, KJ, Saifuddin Nasution, Tok Met, Zuraida, Maszlee, Ku Li dan lain-lain lagi.





"Giants" parti Pejuang yang kalah. Sumber: https://www.myundi.com.my 


3. Hatta, para pendukung NGO dan artis-artis yang cuba diketengahkan oleh parti politik seperti Ahmad Idham, Lando Zawawi, Eizlan Yusof, Rani Kulop, Jurey Rosli juga kalah di tempat masing-masing.

Eizlan Yusof, Ahmad Idham, Lando Zawawi. Sumber gambar : https://ohmymedia.cc/eizlan-yusof-ahmad-idham-lando-zawawi-antara-selebriti-bakal-rebut-jawatan-wakil-rakyat/ 

4. Ada dua polariti ekstrem mendominasi, satu ialah ultra-islamik-nasionalis (PN) dan satu lagi ialah liberal-demokratik (PH). PN dengan 73 kerusi, PH dengan 82 kerusi. Ini menunjukkan setidak-tidaknya, di Semenanjung, telah terjadi dua pola pemikiran yang tidak bersatu hati. BN yang lebih moderat-nasionalis-progresif juga hanya berjaya memperoleh 30 kerusi sahaja. Itupun, di kerusi-kerusi UMNO yang mendapat majoriti daripada 30 kerusi itu.

Polariti pilihan pengundi pada PRU-15 berdasarkan geografi. Sumber: https://pru.astroawani.com/

5. BN masih mendapat undi yang banyak di setiap kerusi ditandingi selepas PN atau PH. Ini menunjukkan, walaupun terpalit dengan sentimen kleptokrasi, rasuah dan sebagainya, masih ramai pengundi setia BN yang mengundi BN.

6. PH pula terlihat kian selesa dengan kerusi-kerusi yang telah dimenangi. Walaupun begitu, mereka juga menghadapi tentangan sengit, terutamanya daripada PN. PH mendominasi sebilangan besar kerusi di bandar-bandar di mana rakyatnya adalah lebih majmuk dan mempunyai toleransi yang lebih besar di antara ras dan agama berbanding di kawasan pedalaman. Dasar liberal yang di bawah oleh DAP serta ideologi terbuka PKR sudah tentu menarik para pengundi bukan Melayu. Manakala dasar wasatiy dan terbuka oleh AMANAH sudah pasti dapat menarik para pengundi Melayu Islam yang profesional serta progresif di kawasan bandar.

7. PN menunjukkan peningkatan paling ketara. Banyak kerusi dimenangi PAS (40 kerusi) dan Bersatu (33 kerusi). Ini berbeza sekali semasa PAS bertanding sendirian pada PRU-14 dan juga Bersatu semasa berada dalam PH pada 2018. Kemenangan PN ini menterjemahkan hasrat orang-orang Melayu-Bumiputera (di kawasan mereka ialah majoriti) yang memilih mungkin berdasarkan sentimen ras dan agama. Di kawasan majoriti Melayu ini, di mana pergaulan antara ras adalah terhad, tidak kira sama ada mereka ialah peniaga, pekerja biasa atau profesional yang progresif, calon-calon yang memihak kepada Bumiputera dan Orang Islam tetap menjadi pilihan.

8. Dalam kesemua parti politik bertanding, Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi parti PEJUANG adalah "the big loser" dalam PRU-15 ini. Lebih kurang 120 kerusi ia bertanding, tidak satu pun dimenangi malah banyak yang hilang deposit. Ternyata, isu-isu integriti dan melawan mereka yang korup tidak dapat menambat hati pengundi, apatah lagi para pengundi muda yang tidak memahami isu-isu yang diperjuangkan. Sebagai parti baharu, Pejuang juga sebenarnya hanya diminati oleh mereka yang memahami isu "kenapa tidak boleh undi BN, PN dan PH" dengan jelas sahaja. Walhal, kebanyakan pengundi telah dimomok isu bahawa Tun M kaya akibat salah guna kuasa dan kejatuhan PH pada 2020 disebabkan beliau. Antara lain jentera yang tidak mantap serta kegagalan untuk bekerjasama dengan PH atau PN menyebabkan mereka tidak diundi. Sudah tentu pengundi lebih gemar mengundi PN atau PH malah BN yang lebih lama bertapak. Orang-orang muda juga diajak untuk menolak Pejuang atas alasan Tun M perlu berehat dari arena politik.

Semua calon parti "Pa" ini kalah dalam PRU-15. Sumber gambar: https://ecentral.my/parti-pejuang/


9. "Pakatan Sulit" antara "Murid" dan "Cikgu" memang benar terjadi. Perkara ini dinafikan oleh si murid, tapi akhirnya terzahir jua. Aku tak nak ulas panjang bab ni, sebab masing-masing boleh tahu dan boleh Google sendiri. Cuma terkilan, dalam kedua-dua pihak dok hentam satu sama lain sampai sanggup umum "No sipolan, No sipolan 2, No parti politik sekian", akhirnya bersatu jua dalam masa tak sampai 3 hari lepas pilihan raya. Rakyat terasa diperbodohkan atas perkara ini. Prinsip perjuangan yang dilaungkan rupanya boleh dicampak kelaut begitu sahaja. Sepatutnya diumumkan sedari awal perancangan ini supaya lebih adil kepada pengundi. Apa salahnya?

Cikgu on call dengan anak murid. Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: https://www.dreamstime.com/hispanic-girl-school-student-hold-phone-learn-online-video-calling-math-teacher-hispanic-teen-girl-school-pupil-college-student-image183806938

10. Anwar Ibrahim menjadi PM ke-10. Sekalung tahniah diucapkan. Tidak pernah aku bayangkan ia akan terjadi (sebenarnya dah bayangkan masa 2020 bila sepatutnya Tun M bagi kepada beliau, tapi langkah Sheraton merencatkan perancangan Tun M). Sebagai rakyat, kita harus hormat akan keputusan SPB YDPA selepas Anwar mendapat sokongan ahli parlimen yang mencukupi (seperti di dakwa oleh Zahid Hamidi bagi mewakili BN. Malah GPS juga memberi sokongan kepada beliau setelah sebelumnya memberi sokongan kepada Muhyiddin Yasin). Aku harap beliau diberi peluang untuk menunjukkan apa yang beliau boleh buat untuk Malaysia dan jangan ada terjadi lagi ketidakstabilan politik sehingga PRU ke-16 pada 5 tahun mendatang. 





Kita beri peluang kepada PM ke-10 kita yang baharu ini. Gambar sumber: Link



Itu saja coretan aku kali ini. Sekadar mencatit sejarah dari pandangan diri ini jua.

Wassalam

Hari 193 / 2021 - KUARANTIN, COVID 19, POLITIK

COVID-19.. Pakai mask pls.... Photo by cottonbro from Pexels
COVID-19.. Kena pakai mask! 
Photo by cottonbro from Pexels

Assalamualaikum 

Lama jugak tak kemaskini blog ini. Hampir setahun jugak rasanya. Seolah-olah blog ni kena kuarantin COVID-19, setahun!

Tapi zaman sekarang ada lagi kah yang nak baca corat-coret blog orang biasa macam saya ni? Mungkin tak ada, mungkin untuk kenangan sendiri di hari tua. Tak apalah, yang penting blog ini masih bertahan walaupun postingnya hanya setahun sekali... he he he... 😂😂😂

Setahun lepas COVID-19 baru nak naik, tetapi Tun Mahathir pulak turun dari jawatan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 akibat penarikan sokongan parti beliau ketika itu, BERSATU, daripada kerajaan Pakatan Harapan. TS Mahiaddin Yassin naik menjadi Perdana Menteri dengan sokongan ahli parlimen UMNO dan PAS serta parti-parti lain termasuk BN dan Parti-Parti dari Sabah dan Sarawak.

Kini, COVID-19 masih belum selesai sepenuhnya walaupun pada bulan Julai 2020 telah menunjukkan penurunan kes harian sehingga 1 angka. Pada ketika itu, semua orang telah gembira dan aktiviti kehidupan harian dapat dijalankan dengan sepaling hampir aktiviti biasa.

Tetapi ada satu kejadian yang telah menyebabkan kes COVID-19 mendadak naik. Pilihan raya DUN Sabah yang diadakan pada bulan September 2020 telah menyebabkan penularan COVID-19 di Sabah dan juga di Semenanjung akibat daripada mereka yang pulang daripada berkempen di Sabah dan tidak dikenakan tindakan kuarantin 14 hari. Perlu dinukilkan di sini, pilihan raya ini diadakan kerana DUN Sabah telah dibubarkan oleh YDP Negeri Sabah kerana YAB KM Sabah ketika itu telah hilang majoriti dan beliau telah meminta pembubaran DUN Sabah supaya pilihan raya dapat diadakan semula.

Ceritanya, UMNO Sabah mahu merampas Sabah daripada Warisan kerana signal yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat pada bulan Mac. Walaupun dikatakan YAB PM ada "menawarkan" kerjasama dengan Kerajaan Sabah sedia ada, tetapi sambutannya agak kurang memuaskan. Jadi gerakan inilah yang menyebabkan perubahan sokongan kepada KM Sabah yang akhirnya menyebabkan pembubaran DUN Sabah dan seterusnya PRN Sabah yang menyebabkan sehingga ke hari ini sengsara satu Malaysia.

Jadi, ceritanya, politik, politik politik.

Awal tahun 2021, kerajaan umum pula darurat sampai bulan Ogos 2021. Sebabnya? Yang rasmi sebab nak mudahkan pentadbiran untuk lawan COVID-19. Yang tak rasmi ikut cakap-cakap politik ialah sebab ada 2 ahli parlimen UMNO tarik sokongan dari Kerajaan sedia ada menyebabkan kerajaan hilang majoriti di Parlimen. Dengan pelaksanaan darurat, maka parlimen pun digantung. Ini cakap-cakap orang lah.

Julai 2021, UMNO yang dulu beri sokongan kepada TSMY, telah tarik balik sokongan tersebut. Walaupun DS Ismail Sabri telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, UMNO tetap dengan keputusan untuk tarik balik sokongan mereka. Cumanya, dengar khabar, tak semua ahli Parlimen UMNO nak tarik sokongan tu, terutama mereka yang berjawatan dalam Kerajaan. Wallahualam. Yang pasti tarik ialah yang mengumumkan, iaitu DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan mungkin juga DS Najib. Yang lain-lain tak tahulah selain Menteri dan Timbalan Menteri UMNO.

Jadi sekarang dalam UMNO ada 2 faction yang jelas. Yang sokong Perikatan Nasional dan yang nak keluar dari Perikatan Nasional. Apakah hala tuju sebenar UMNO?

Bagi saya yang bukan ahli UMNO ini berpendapat, UMNO sebenarnya nak peluang untuk menerajui Kerajaan semula. Memang sifat semula jadi UMNO ialah mereka ditubuhkan untuk memimpin dengan perkenan dari Istana dan juga dipercayai boleh memerintah dari British. Jadi, jatidiri dan DNA UMNO ialah memimpin dan bukan dipimpin. Sebab itu bila parti lain memerintah dan UMNO di bawahnya, ia menjadi tidak selesa. Jadi, perlu dilakukan sesuatu supaya ia dapat memimpin semula.

Ini hanya pandangan saya sahaja.

Selain daripada UMNO, kini terdapat beberapa lagi parti Melayu Islam yang saya ketahui - PAS, BERSATU, PUTRA dan yang terbaharu pimpinan Tun Mahathir, PEJUANG. Selain itu, parti-parti lain lebih bersifat multi-rasial seperti contoh PKR dan MUDA (masih belum lulus ROS setakat tulisan ini ditulis). Malah DAP pun kini nampak semakin multi-rasial dan cuba lari dari imej chauvinisme Cina walaupun mereka mendakwa parti mereka adalah sedari mula lagi multi-rasial.

Bagi saya, politik itu mesti berlandaskan kebenaran. Tak kira lah apa pun permainan atau strateginya, ia mesti ditunjangi kebenaran. Orang-orang politik harus belajar untuk jujur dengan rakyat. Jangan mempermainkan rakyat dengan perkara-perkara yang tidak benar dan khayalan semata. Tolong fokus untuk selesaikan masalah Rakyat. Masalah yang dihadapi kini ialah COVID-19, masalah ekonomi dan pendapatan rakyat yang berkurang atau hilang sama sekali. Jadi tolong fokus untuk selesaikan isu ini.

Old is Gold. 

Apa kata kalau sekali sekali duduk lah semeja wahai parti-parti politik yang ada di Malaysia ini, tubuhkan satu mekanisme kerajaan perpaduan yang bekerja ke arah penyelesaian COVID-19 dan masalah yang dihadapi oleh negara. Seperti pandangan "the old man" tersebut mengenai Majlis Pemulihan Negara yang mengambil model ala MAGERAN satu ketika dahulu, tidaklah suatu idea yang buruk sama sekali. Aspek pelaksanaannya boleh digubal supaya keputusan sesuatu perkara boleh dilaksanakan secara demokrasi di parlimen yang tidak digantung seperti MAGERAN dulu. Yang penting, semua pihak dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk menyelesaikan masalah. Sekejap sahaja, sehingga COVID-19 dapat dibasmi atau dikurangkan seminimum mungkin dan ekonomi kembali pulih ke arah peningkatan. 

Selepas itu, buatlah PRU apa pun, berpolitiklah mencari kuasa.

Itu sajalah nak coret. Nanti masa dah tua-tua nanti, boleh la baca untuk kenangan diri sendiri.

Wassalam

Gempar! Ahli Parlimen Pas Berjoget di Parlimen??

Salam,

Mana mau cari? Rare ni..
Hanya boleh dapat di
http://zamkata.blogspot.com/
Tajuk aje tu... Hehehe.. 

Sebenarnya ia merujuk kepada cerita ini :

HOBI WAKIL RAKYAT PAS BERJOGET

Ini adalah secebis kisah 'Z-Fail' yang dibawakan khas daripada seorang bekas menteri kabinet pada zaman Pak Lah. Beliau pernah ditertawakan oleh sesetengah pihak kerana dikatakan tidak mampu menjawab soalan dengan baik apabila diajukan oleh pihak stesen tv asing yang berbahasa Inggeris.

Tetapi berapa ramai yang boleh menulis seperti beliau? Saya mula membaca tulisan beliau mengenai Dr Mahathir (Mahathir Di Sebalik tabir) semasa di bangku sekolah lagi. Kemudian saya turut membaca tulisan beliau yang sekali sekala ada (sebab gua beli paper pun sekali sekala jugak.. haha) dalam artikel di dalam Utusan Malaysia. Buku "Hari Itu Sudah Berlalu" juga saya beli, tapi jujurnya belum lagi habis dibaca.

Saya dapati gaya penulisan beliau amat menarik kerana ada sahaja benda baru yang kita akan ketahui. Setiap kali beliau menulis, seolah-olah ada kejutan menanti.

Saya suka penulisan yang semacam ini.

Tengok warna kulit dia kadang2 teringat kat bapak aku.. hahaha...
Sudah tentulah pengalaman beliau selama bertahun-tahun bergelumang di dengan dunia kewartawanan dan politik Malaysia mempunyai nilai tersendiri bagi peminat-peminat politik dan kisah-kisah nostalgia seperti saya. Suka juga mendengar komentar 'orang lama' mcm beliau dalam isu-isu semasa terutama sekali yang melibatkan politik. Mesti ada yang panas, pedih dan terasa hati.

http://zamkata.blogspot.com - Pi la tengok Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin) punya blog!

Wassalam..

p/s : Teringat kisah blog, 'goblog!' He he he...