Ku Biarkan Pena Menulis.....

Ingat! Dan beringat...

Assalamualaikum 

Hari ini 22 Mei 2026, berlatar-belakangkan lagu "Utada Hikaru: Cinta Pertama", aku salin balik buah fikiran aku bertarikh 4 Mei 2026 dari Facebook ke sini untuk ingatan.

~.~.~.~.~.~

Parti Politik

1. Parti politik wujud sebagai wadah penyatuan sekelompok manusia yang ideologinya sama.

2. Ada parti politik, ideologinya ialah Nasionalis, ada yang Islamis, ada yang Sosialis, ada yang Liberal dan pelbagai jenis lagi ideologi.

3. Walaupun pelbagai ideologi, pelbagai parti ini boleh juga duduk bersama kerana ada common ground. Juga mereka berada pada “kutub” yang sama (contoh: membela nusa bangsa masing-masing).

4. Contohnya, parti Perikatan dan parti Barisan Nasional (pra-2018 lah ya) yang common ground dia ialah kontrak sosial. Pelbagai parti seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain bernaung di bawah satu organisasi yang kuat, strukturnya teratur dan selalunya, semua ahli parti akan akur dan patuh pada keputusan parti.

5. Apabila parti gabungan yang kuat ini menang pilihan raya secara seluruhnya dengan majoriti yang besar, mereka boleh memerintah dengan efektif dan sebarang percanggahan biasanya tidak lama dan tidak sangat didedah kepada masyarakat awam.

6. Ada satu lagi jenis gabungan parti yang ideologinya agak bercampur dan pelbagai. Contohnya, kita pernah melihat Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (serta Pakatan Harapan) sebagai sebuah gabungan yang bercampur ideologinya (Islamis x Liberal x Sosialis x Nasionalis x dll.).

7. Gabungan dengan ideologi yang agak bercampur dan seringkali berada di “wavelength” berbeza ini lebih ketara jurang perbezaannya. Ini terbukti apabila gabungan seperti ini tidak bertahan lama dan terbubar atau terjadinya kejadian “keluar gabungan” setelah perbezaan prinsip yang menjadi pegangan parti berbeza dengan keputusan pemimpin gabungan.

8. Gabungan longgar ini selalunya diadakan untuk menghadapi “common enemy” atau kita katakan satu tujuan yang sama demi kepentingan umum yang lebih besar. Contohnya gabungan Pakatan Harapan pada tahun 2018.

9. Namun kini wujud satu lagi jenis gabungan yang memeningkan. Gabungan ini tidak wujud sebagai satu entiti politik tapi lebih kepada apa yang dikenal sebagai “kerajaan perpaduan”.

10. Apabila tiada satu parti (baca: gabungan parti atau parti gabungan) pun yang memenangi majoriti dalam pilihan raya, maka untuk membentuk kerajaan, parti-parti ini perlu bergabung.

11. Di sini kita acap kali melihat bahawa ideologi telah menjadi perkara kedua kerana “yang lebih penting ialah untuk menubuhkan kerajaan”. Setuju? 

12. Walaupun semasa kempen pilihan raya, kedua-dua pihak pakat mengata satu sama lain, memburukkan pihak lawan dan menawarkan tawaran berbeza serta memainkan sentimen berbeza, tetapi selepas pilihan raya, semua itu tiada makna lagi apabila bergabung menjadi kerajaan.

13. Caci maki bertukar menjadi gelak tawa, muka yang bengis dan berkobar-kobar menjadi senyum mesra dan manja bila bersama dalam satu kerajaan.

14. “Don’t get me wrong” — memang patut pun mereka berbaik walaupun berlainan ideologi, sebab dan jadi rakan sekerja dan bersama-sama membangunkan negara. Ini kita sebagai rakyat perlu sokong.

15. CUMA, bila nak pilihan raya dah mula dengar ada pihak yang sepatutnya bersama dalam Kerajaan dah nak buat persediaan untuk hadapi pilihan raya secara solo…kenapa ya?

16. Sepatutnya bila dah bersama dalam kerajaan, carilah common ground untuk terus bersama, ikhlas dalam membangunkan negara. Janganlah “marriage of convenience” itu menjadi ideologi yang berterusan.

17. Pendapat sayalah, parti-parti dalam gabungan kerajaan sekarang ni patut dah mula usaha untuk tubuh parti besar yang terus bergerak ke hadapan dengan matlamat dan ideologi bersama. Andai mereka masuk bertanding pilihan raya dan melawan sesama sendiri, sudah tentulah undi akan berpecah.

18. Dan hampir pasti lagi, tiada parti memperoleh majoriti yang “solid” dan kerajaan campuran ini akan terjadi lagi. Ini tiada masalah di sisi undang-undang — benar.

19. Tapi rakyat akan terasa dipermain sekali lagi. Mereka undi A sebab tak suka B dan begitu juga sebaliknya. Bila keputusan diumumkan, nak jadi kerajaan A dan B bergabung. Rakyat akan melihat ini sebagai satu hipokrasi yang berulang-ulang.

20. Oleh itu, tolonglah semua parti yang nak bertanding nanti, kalau rasa gabungan kita sekarang dah baik, teruskan di peringkat akar umbi dan masuk pilihan raya bersama-sama dengan common ground yang boleh diterima rakyat.

21. Jangan cakap, “cinta itu buta”.

~.~.~.~.~.~

Bukan niat bermain politik kerana hal itu telah lama ku tinggalkan. Ini pandangan jujur aku sebagai warganegara Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Aku tanya pendapat AI Gemini tentang buah fikiran aku tu. Dia setuju some part, tapi some part lagi dia cakap politik ni kena pragmatik, terutama sekali part nak gabung terus tu. Gemini kata "biarlah mereka bertunang lama-lama dulu, sebelum kahwin.."

Ye lah tu Gemini!

Wassalam

Hari 11/2023 - Sol, Puteri Sarah & Ira : Kisah Poligami

Assalamualaikum 

Tengok tajuk pun dah tahu dah apa cerita. Ceritanya si Syamsul Yusof kawin dengan Ira Kazar dengan keadaan isteri pertama beliau, Puteri Sarah Liyana tidak merestuinya.

Maka hebohlah warga netizen Malaysia, samada team Sol atau team Puteri Sarah. Rata-rata orang perempuan yang beremosi akan pilih Puteri Sarah dan lelaki pula pilih Sol. Tapi ada juga orang perempuan yang berfikir sedikit logik dan tidak melebihkan Puteri Sarah dalam hal ini.

Di media sosial juga Puteri Sarah menceritakan betapa beliau telah di-'block' daripada menghubungi suaminya sendiri. Dia juga mendedahkan akan pergi menunaikan umrah pada 26 Januari 2023. Ramai di kalangan netizen sendiri mengharapkan beliau telah mendapat keizinan suaminya sebelum pergi menunaikan umrah tersebut.

Syamsul Yusof juga nampaknya menginginkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Post IG beliau :


Walaubagaimanapun, post ini tidak dapat menenangkan Puteri Sarah. Lantas keluarlah post IG balasan berikut, lebih kurang 3 jam selepas tweet di atas:


Berdasarkan post yang telah diedit beberapa kali ini, ternyatalah Puteri Sarah tetap mahu berpisah. Sebenarnya, aku telah terbaca post yang sama sebelum ini. Sebelum ini Puteri Sarah hanya tulis "... tak rela dimadukan..." tapi ayat yang latest ini "....cara dimadukan yang tidak mengikut syariat yg sebenar." Mungkin selepas menerima nasihat atau membaca cara post beliau yang asal dikritik, beliau mengubah nada post ini. Dengan berubahnya nada post ini, maka ada kemungkinan beliau rela bermadu jika Syamsul Yusof  "bermadu mengikut syariat sebenar" ? Wallahualam...

Ok, yang aku nak highlight bukanlah semata-mata kisah depa dua ni. Kisah ni kalau ikut di IG dan FB mau jadi siri tv 52 episod. Tapi aku nak highlight surah An-Nisa ayat 3 iaitu:

Link ke sumber : https://quran.com/4/3

Ayat Quran inilah dalil bahawa seseorang lelaki Islam boleh berkahwin lebih daripada satu tetapi hendaklah tidak melebihi 4 orang wanita, asalkan berlaku adil. Jika takut tidak berlaku adil, maka disyariatkan kahwin seorang sahaja, malah boleh sahaja menggauli hamba atau gundik yang dimiliki.

Dalam tafsir Al-Azhar karya Almarhum Buya HAMKA, jelas menceritakan dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang Melayu berkenaan ayat ini. Apabila aku membelek, tidak kurang 5 mukasurat malah lebih dibicarakan oleh Buya HAMKA, bermula daripada anak perempuan yatim, bilangan isteri, hamba atau gundik dan rumusan kenapa ayat ini diturunkan.

Inilah rumusan aku selepas membaca sekali imbas apa yang Buya HAMKA huraikan: 

Kisahnya bermula pada zaman turunnya ayat ini, ada seorang penjaga anak yatim perempuan (yang turut menjaga hartanya sebagai pemegang amanah) ingin mengahwini anak yatim tersebut (yang telah baligh - rujuk ayat sebelum iaitu ayat 2) demi kerana tidak mahu terlepas harta anak yatim itu. Malah, tidak mahu di bayar mahar perkahwinan kepada anak tersebut, sesuai dengan kelayakannya.

Lalu sebab itu, maka turunlah ayat ini yang pada bahagian pertamanya secara tersirat melarang daripada penjaga tersebut dengan zalim mengahwini anak yatim itu kerana hartanya sahaja. Malah jika mahu juga berkahwin dengan anak yatim itu, maka perlu lah dibayar maharnya dengan adil.

Jika tidak mampu berlaku adil terhadap anak yatim yang ingin dinikahi itu, maka dianjurkan untuk berkahwin dengan wanita-wanita lain yang dikehendaki - sehingga 2, 3 atau 4 orang sahaja. Jika tidak mampu berlaku adil di antara wanita-wanita tersebut maka kahwinlah seorang sahaja. Inilah bahagian kedua ayat ini yang memberi 2 pengajaran iaitu: had untuk mempunyai isteri bagi lelaki Muslim ialah 4 sahaja (berbanding tidak terkira sebelum ayat ini turun) dan jika berasa tidak dapat berlaku adil terhadap mereka, maka kahwinlah seorang sahaja. Inilah yang sebenarnya perlu difahami oleh setiap lelaki Muslim yang memasang cita-cita untuk berpoligami. Bukannya "perlu kahwin 4" untuk ikut sunnah. Kahwin 1 orang pun "sunnah" sesuai dengan ayat quran!

Seterusnya, bahagian terakhir ayat ini ialah mengenai anjuran "memakai" (dalam erti kata berhubungan kelamin) dengan mana-mana hamba yang dimiliki (di nusantara disebut "gundik" atau di Turki perempuan yang tinggal di "harem") dan ini adalah lebih baik daripada "zalim" iaitu berlaku tidak adil kepada anak yatim yang ingin dikahwini atau daripada mengahwini lebih dari 4 orang isteri atau daripada tidak dapat berlaku adil terhadap 4 orang isteri atau berasa tidak cukup daripada 1 orang isteri (dari segi perhubungan kelamin).

Di sini Buya HAMKA membincang secara terperinci perihal hamba dan gundik yang dimaksudkan dan kenapa ia dibenarkan sebegini walaupun Islam amat menggalakkan pembebasan hamba. Malah turut diterangkan bahawa dalam keadaan moden kini, hamba-hamba ini tidak lagi wujud dan tidak boleh menjadikan alasan "hamba" untuk menjalankan perhubungan kelamin tanpa syarat-syarat yang sah (seperti dalam keadaan peperangan dan sebagainya).

Dalam erti kata lain, berpoligami dalam Islam ini puncanya ialah untuk berlaku adil dan sama sekali bertentangan dengan kefahaman sesetengah orang yang berpoligami hanya kerana nafsu semata-mata. Oleh itu, orang-orang perempuan juga perlu memahami bahawa berpoligami tidak semuanya tidak baik jika si suami itu mampu berlaku adil malah boleh membahagiakan dan mengurangkan beban melayani suami dengan kelebihan "me time" yang unik dan tersendiri sewaktu giliran si madu.

Orang lelaki Islam pula janganlah pula menggunakan ayat ini untuk memuaskan nafsu semata-mata dengan berkahwin ramai tetapi tidak menjaga kebajikan isteri-isteri. Pastikan diri benar-benar mampu dan telah dirujuk dengan isteri pertama terlebih dahulu akan hasrat ini. Bincang dengan baik terma-termanya dan pastikan boleh membiayai nafkah isteri pertama dan anak-anak sedia ada dan boleh membiayai isteri baharu dan bakal anak baharu, barulah boleh berlaku adil (dalam erti kata yang termampu dan zahir. Sudah pasti di dalam hati ini kasih sayang ada terlebih dan terkurang). Bahagiakanlah isteri yang ada sebelum menambah tanggungjawab baharu.

Berbalik kepada kisah Syamsul, Puteri Sarah dan Ira Kazar kita mendoakan mereka boleh berbincang dan hidup bahagia. Janganlah berlaku penceraian dan harap dielakkan.

Wassalam