Ingat! Dan beringat...
Assalamualaikum
Hari ini 22 Mei 2026, berlatar-belakangkan lagu "Utada Hikaru: Cinta Pertama", aku salin balik buah fikiran aku bertarikh 4 Mei 2026 dari Facebook ke sini untuk ingatan.
~.~.~.~.~.~
Parti Politik
1. Parti politik wujud sebagai wadah penyatuan sekelompok manusia yang ideologinya sama.
2. Ada parti politik, ideologinya ialah Nasionalis, ada yang Islamis, ada yang Sosialis, ada yang Liberal dan pelbagai jenis lagi ideologi.
3. Walaupun pelbagai ideologi, pelbagai parti ini boleh juga duduk bersama kerana ada common ground. Juga mereka berada pada “kutub” yang sama (contoh: membela nusa bangsa masing-masing).
4. Contohnya, parti Perikatan dan parti Barisan Nasional (pra-2018 lah ya) yang common ground dia ialah kontrak sosial. Pelbagai parti seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain bernaung di bawah satu organisasi yang kuat, strukturnya teratur dan selalunya, semua ahli parti akan akur dan patuh pada keputusan parti.
5. Apabila parti gabungan yang kuat ini menang pilihan raya secara seluruhnya dengan majoriti yang besar, mereka boleh memerintah dengan efektif dan sebarang percanggahan biasanya tidak lama dan tidak sangat didedah kepada masyarakat awam.
6. Ada satu lagi jenis gabungan parti yang ideologinya agak bercampur dan pelbagai. Contohnya, kita pernah melihat Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (serta Pakatan Harapan) sebagai sebuah gabungan yang bercampur ideologinya (Islamis x Liberal x Sosialis x Nasionalis x dll.).
7. Gabungan dengan ideologi yang agak bercampur dan seringkali berada di “wavelength” berbeza ini lebih ketara jurang perbezaannya. Ini terbukti apabila gabungan seperti ini tidak bertahan lama dan terbubar atau terjadinya kejadian “keluar gabungan” setelah perbezaan prinsip yang menjadi pegangan parti berbeza dengan keputusan pemimpin gabungan.
8. Gabungan longgar ini selalunya diadakan untuk menghadapi “common enemy” atau kita katakan satu tujuan yang sama demi kepentingan umum yang lebih besar. Contohnya gabungan Pakatan Harapan pada tahun 2018.
9. Namun kini wujud satu lagi jenis gabungan yang memeningkan. Gabungan ini tidak wujud sebagai satu entiti politik tapi lebih kepada apa yang dikenal sebagai “kerajaan perpaduan”.
10. Apabila tiada satu parti (baca: gabungan parti atau parti gabungan) pun yang memenangi majoriti dalam pilihan raya, maka untuk membentuk kerajaan, parti-parti ini perlu bergabung.
11. Di sini kita acap kali melihat bahawa ideologi telah menjadi perkara kedua kerana “yang lebih penting ialah untuk menubuhkan kerajaan”. Setuju?
12. Walaupun semasa kempen pilihan raya, kedua-dua pihak pakat mengata satu sama lain, memburukkan pihak lawan dan menawarkan tawaran berbeza serta memainkan sentimen berbeza, tetapi selepas pilihan raya, semua itu tiada makna lagi apabila bergabung menjadi kerajaan.
13. Caci maki bertukar menjadi gelak tawa, muka yang bengis dan berkobar-kobar menjadi senyum mesra dan manja bila bersama dalam satu kerajaan.
14. “Don’t get me wrong” — memang patut pun mereka berbaik walaupun berlainan ideologi, sebab dan jadi rakan sekerja dan bersama-sama membangunkan negara. Ini kita sebagai rakyat perlu sokong.
15. CUMA, bila nak pilihan raya dah mula dengar ada pihak yang sepatutnya bersama dalam Kerajaan dah nak buat persediaan untuk hadapi pilihan raya secara solo…kenapa ya?
16. Sepatutnya bila dah bersama dalam kerajaan, carilah common ground untuk terus bersama, ikhlas dalam membangunkan negara. Janganlah “marriage of convenience” itu menjadi ideologi yang berterusan.
17. Pendapat sayalah, parti-parti dalam gabungan kerajaan sekarang ni patut dah mula usaha untuk tubuh parti besar yang terus bergerak ke hadapan dengan matlamat dan ideologi bersama. Andai mereka masuk bertanding pilihan raya dan melawan sesama sendiri, sudah tentulah undi akan berpecah.
18. Dan hampir pasti lagi, tiada parti memperoleh majoriti yang “solid” dan kerajaan campuran ini akan terjadi lagi. Ini tiada masalah di sisi undang-undang — benar.
19. Tapi rakyat akan terasa dipermain sekali lagi. Mereka undi A sebab tak suka B dan begitu juga sebaliknya. Bila keputusan diumumkan, nak jadi kerajaan A dan B bergabung. Rakyat akan melihat ini sebagai satu hipokrasi yang berulang-ulang.
20. Oleh itu, tolonglah semua parti yang nak bertanding nanti, kalau rasa gabungan kita sekarang dah baik, teruskan di peringkat akar umbi dan masuk pilihan raya bersama-sama dengan common ground yang boleh diterima rakyat.
21. Jangan cakap, “cinta itu buta”.
~.~.~.~.~.~
Bukan niat bermain politik kerana hal itu telah lama ku tinggalkan. Ini pandangan jujur aku sebagai warganegara Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Aku tanya pendapat AI Gemini tentang buah fikiran aku tu. Dia setuju some part, tapi some part lagi dia cakap politik ni kena pragmatik, terutama sekali part nak gabung terus tu. Gemini kata "biarlah mereka bertunang lama-lama dulu, sebelum kahwin.."
Ye lah tu Gemini!
Wassalam