Ku Biarkan Pena Menulis.....

Penerangan mengenai dasar liberalisasi & ekonomi

Salam,

Ramai di antara kita tidak memahami tujuan sebenar dasar liberalisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini. Ada yang menuduh dasar tersebut sebagai cubaan untuk menghakis hak istimewa Bumiputera dan ada juga yang melihat kerajaan sebenarnya tunduk pada gesaan-gesaan anti-Bumiputera.

Perkara yang sama turut dibangkitkan oleh Syed Munawar semasa menerumah YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak semasa wawancara khas 100 hari bersama PM yang disiarkan oleh RTM 1 pada 12 Julai yang lepas. Bagi yang terlepas untuk menonton penerangan dan jawapan oleh Perdana Menteri mengenai isu ini, anda bolehlah menonton video yang disediakan di bawah.





Sekiranya anda berhajat untuk menonton keseluruhan rancangan tersebut, anda boleh berbuat demikian dengan melawat url berikut : http://www.pmo.gov.my/?menu=watch&page=1735&v=95

Marilah kita menilai jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Wassalam...

Konsep 1 Malaysia Bertunjangkan Perlembagaan Negara




Salam,

Semalam, bertempat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, berlangsung satu pertemuan antara 22 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan YAB Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia. Pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai 3 isu utama yang dipercayai menjadi satu kekeliruan bagi sesetengah pihak. Antara 3 isu yang dipercayai dibincangkan tersebut ialah konsep '1 Malaysia', Proses Liberalisasi beberapa sektor dan juga pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Agensi berita rasmi negara, BERNAMA melaporkan :


Konsep 1Malaysia Bertunjang Kepada Perlembagaan Negara - Ibrahim Ali


PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik mengambil alih kepimpinan negara akan terus bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa konsep itu yang memberi penekanan terhadap mengutamakan kehendak rakyat akan terus memperkasa setiap perkara tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam Perlembagaan.

Jaminan Perdana Menteri itu diberikan kepada Ibrahim dan 20 anggota Perkasa
yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di sini, Jumaat.

Ibrahim berkata jaminan oleh Perdana Menteri bersesuaian dengan kepentingan kerajaan untuk menjaga kepentingan kaum bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Keadaan semakin jelas dan kekeliruan yang berlaku angkara tokok tambah oleh
pihak-pihak tertentu berjaya diselesaikan dalam pertemuan hari ini dan Perkasa senang hati dengan penjelasan Perdana Menteri mengenai konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas itu.

Konsep berkenaan juga, kata Ibrahim, tidak bersangkut-paut dengan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

"Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum, namun dalam masa yang sama agenda keutamaan Melayu tetap dekat di hati beliau," katanya.

Perkasa, jelas beliau, amat berpuas hati dengan segala penerangan yang telah diberikan oleh Najib termasuk aspek liberalisasi dalam sektor ekonomi negara.

"Datuk Seri Najib telah menjelaskan aspek liberalisasi dan kepentingan untuk bersaing dalam menarik pelabur asing. Kalau kita tidak bersaing dengan cara yang sihat kita akan ketinggalan," katanya.

Ibrahim juga berkata, Perkasa sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai "mata dan telinga" kepada kerajaan, tetapi pada masa yang sama turut tidak teragak-agak "bersikap keras dan tegas" sekiranya keadaan memerlukan mereka bertindak
demikian.

"Kami sentiasa bersedia menjadi mata dan telinga untuk menjelaskan kepada rakyat melalui wacana-wacana supaya rakyat dapat memahami dengan jelas sesuatu isu yang ditimbulkan," katanya.

Akhbar tempatan, Utusan Malaysia juga melaporkan :


1Malaysia tidak ketepi hak Melayu


PUTRAJAYA 12 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pelaksanaan konsep 1Malaysia tidak akan mengetepikan hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah terus diperkasakan.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri kepada delegasi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang melakukan kunjungan ke pejabatnya di sini hari ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun bertanggungjawab kepada semua kaum, Najib tetap mahu agenda orang Melayu diberikan perhatian utama.

"Kita mengalu-alukan dan amat senang hati apabila Perdana Menteri menyebut konsep 1Malaysia tetap bertunjangkan kepada Perlembagaan Negara, ini asasnya.

"Sebagai Perdana Menteri yang menunaikan kewajipan kepada semua kaum rakyat Malaysia, agenda Melayu tetap dekat di hatinya (Najib)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan Najib di sini hari ini.

Delegasi Perkasa terdiri daripada 20 orang pakar dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, agama, bahasa, undang-undang dan keselamatan negara.

Menurut Ibrahim, perbincangan tersebut juga menyentuh isu-isu berkaitan liberalisasi yang turut akan menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Antaranya, jelas beliau, Perdana Menteri mahu pengambilan bilangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditambah kepada 200,000 orang bagi melahirkan lebih ramai profesional Melayu.

Selain itu, tambahnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) diberi suntikan sebanyak RM550 juta untuk program-program pembangunan orang Melayu dan bumiputera.

Sehubungan itu, Ibrahim memberitahu, Perkasa akan terus memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kepada orang Melayu dalam menjelaskan pelaksanaan konsep 1Malaysia dan liberalisasi kerana ramai yang masih keliru.

Katanya, Perkasa akan mengadakan sesi penerangan bergerak ke seluruh negara untuk memberi maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenainya.

Ia dijadual bermula pada 21 Jun ini di Negeri Sembilan diikuti Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Selangor dan negeri-negeri lain termasuk Sabah serta Sarawak.


Hasil dari pertemuan tersebut, kita mengharapkan mereka yang sebelum ini tanpa usul periksa mengkritik Dato' Sri Najib dalam hal-hal berkaitan proses liberalisasi beberapa sektor, pemubaran MECD dan konsep 1 Malaysia sebagai membelakangkan Melayu, sedar akan tuduhan mereka itu sebenarnya tidak berasas. Sudah semestinya, setiap dasar yang dilakukan oleh kerajaan adalah bertunjangkan Perlembagaan dan Hak-Hak Melayu dan Bumiputera dijamin dalam perlembagaan. CUMA, cara-cara dan kaedah dalam menjaga hak-hak itu mungkin sudah berubah mengikut kesesuaian zaman dan keadaan.

Di dalam perlembagaan, selain hak-hak orang Melayu dan Bumiputera, warganegara lain juga mempunyai hak-hak mereka tersendiri. Dari yang demikian, adalah tidak adil seandainya kita hanya melihat hak-hak kita sahaja di dalam perlembagaan dan mengabaikan hak-hak warga yang lain. Pada firasat saya, konsep 1 Malaysia cuba untuk memperjuangkan hak-hak seluruh Warganegara, termasuk hak-hak Melayu/Bumiputera dan juga hak-hak warganegara lain. Apa yang menyebabkan warganegara bukan Melayu/Bumiputera melihat bahawa mereka tidak dilayan dengan adil seperti yang termaktub dalam perlembagaan ialah perkara-perkara tersbut tidak pernah dizahirkan terang-terangan, terutamanya kepada generasi muda mereka.

Hak-hak untuk mengundi, memilih pemimpin, kebebasan beragama, kebebasan berniaga, kebebasan mengamalkan adat resam serta budaya kaum masing-masing dan lain-lain lagi amat jarang sekali mereka perkatakan. Sedangkan, di dalam sesebuah negara, kaum asal imigran tidak sepatutnya mempunyai hak-hak tersebut. Malah di sesetengah negara seperti Indonesia, kaum-kaum imigran yang diterima menjadi warganegara ini hendaklah menggunakan nama Indonesia sebagai pengenalan diri dan pertuturan bahasa ibunda hanyalah di kelompok sendiri sahaja. Ini berlainan di Malaysia di mana kebebasan menggunakan bahasa ibunda dibuka seluas-luasnya samada di papan-papan tanda di kedai-kedai mahupun pada penerbitan akhbar-akhbar harian dan majalah.

Saya berasa yakin dan percaya, kerajaan yang ada pada hari ini akan terus mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu/Bumiputera disamping menjaga hak-hak warganegara lain juga. Negara ini berdaulat dan berpelembagaan. Oleh itu setiap tindakan haruslah berdasarkan perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Jika perlembagaan yang dipersetujui oleh semua pihak pada 52 tahun lalu tidak dipersetujui, apalah gunanya menjadi Warganegara Malaysia yang tercinta ini. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan -- Sudah tentu, "Rakyat" adalah termasuk orang-orang Melayu/Bumiputera dan warganegara lain.


p/s - Ahli PERKASA sejak 22 Mac 2009.. hehe

Mahathir

Assalamualaikum..

Aku bukanlah seorang perwira..
Gagah menghunus senjata..
Namun hati rela berjuang..
Walau dengan cara sendiri..
Demi cinta ini......



Keadaan negara kita pada ketika ini amat membimbangkan. Walaupun keadaan sekarang boleh dikatakan 'aman' tiada peperangan dan sebagainya, namun 'bunga-bunga' kebencanaan sudah mula kelihatan. Bak kata PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, fitnah bermaharajalela. Ya, memang benar, pabila ada dua pihak mengatakan perkara tidak sama dalam sesuatu peristiwa, sudah tentulah, di satu pihak itu menimbulkan fitnah. Fitnah ini lebih tajam dari mata pedang. Seperti yang dikupas oleh Buletin Utama, 5 Julai 2008 sesungguhnya fitnah telah beberapa kali berjaya dijadikan alat oleh musuh Islam untuk melemahkan kita semua. Hadirnya fitnah boleh membawa perpecahan dan persengketaan. Maka benarlah sabda Rasulullah SAW, fitnah itu lebih tajam dari mata pedang kerana perpecahan dan persengketaan itu boleh menyebabkan kita saling berbunuhan, nauzubillah! Oleh itu, marilah kita jauhkan diri kita daripada fitnah yang sedemikian. Tatkala keadaan tidak menentu sebegini, kadang-kadang diam itu lebih baik sekiranya kita tidak tahu akan selok belok sesuatu perkara tu.

Sebenarnya, posting kali ni adalah mengenai "Mahathir yang saya kenali". Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun, Dr. Mahathir), merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Beliau dilahirkan di Jalan Kilang Ais, Alor Setar Kedah pada tahun 1925. Berkelulusan MBBS dari Universiti Malaya, beliau memulakan perkhidmatan awal sebagai doktor kerajaan di Hospital Besar Pulau Pinang sebelum membuka klinik sendiri (Klinik Maha) yang masih wujud sehingga kini. Penglibatan beliau dalam politik dikhabarkan adalah sejak sedari usia muda. Beliau merupakan ahli SABERKAS (Sayang Akan Bangsa Ertinya Rela Korban Apa Segala) yang kemudiannya menyertai UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) pada awal penubuhannya lagi pada tahun 1946. Keperitan semasa Perang Jepun (Perang Dunia ke-II), dimana beliau terpaksa menjual pisang goreng dan membuka kedai kopi di Pekan Rabu, Alor Star, menyebabkan beliau mempunyai semangat anti-penjajah yang kuat pada ketika itu. Lantas, beliau menterjemahkan kebenciannya kepada penjajah ketika itu dengan menulis di akhbar-akhbar menggunakan nama samaran "Che Det" (sekarang, "Che Det" dah kembali, layari Blog Che Det ).

Masa berganti masa, hari berganti hari, negara kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan dicapai pada ketika itu adalah hasil daripada persefahaman antara kaum atas semangat "Kontrak Sosial", di mana setiap daripada kaum utama di Tanah Melayu ketika itu bersepakat untuk bertoleransi demi mencapai kata sepakat untuk kemerdekaan dari British. British, dalam syaratnya kepada UMNO, untuk merdeka orang Melayu haruslah dapat menerima kaum India dan Cina sebagai warganegara bagi negara yang baru dibentuk itu. Dari sebab itulah, UMNO pada ketika itu telah bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada kaum lain DENGAN SYARAT bahawasanya HAK-HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU, KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU, KETUANAN MELAYU hendaklah diakui sampai bila-bila. Syukur, bumi bertuah ini telah dapt mencapai KEMERDEKAAN setelah masing-masing bersetuju untuk bertoleransi dalam hal ini.

Namun, 12 tahun selepas kemerdekaan, keadaan harmoni semakin lama semakin kelam. Akibat hasutan dari pihak luar yang ingin melihat MALAYSIA yang dibina ini runtuh, mereka telah menyampaikan dakyah "MALAYSIAN MALAYSIA", suatu konsep di mana amat menyalahi KONTRAK SOSIAL yang telah dipersetujui sebelum ini. Dalam kepincangan ini, orang-orang Melayu mula merasa bahawa hak-hak mereka akan terus hilang sekiranya kepimpinan ketika itu mengambil sikap endah tak endah akan situasi semasa. Kemenangan besar parti GERAKAN (pada masa itu masih pembangkang) dan DAP telah menambah lagi kebimbangan orang Melayu. Akibat perbuatan "Perarakan Kemenangan" yang disusuli ejekan terhadap Orang Melayu, maka akhirnya orang Melayu tidak dapat bersabar lagi. Tercetuslah peristiwa 13 MEI 1969 sebagai satu pengajaran berguna buat semua. Kemerdekaan yang dicapai nampaknya hampir hancur lebur, akibat tidak menghormati Kontrak Sosial semasa kemerdekaan.

Dr. Mahathir pada ketika itu antara yang amat lantang mengkritik kepimpinan Tunku. Katanya, Tunku (Abdul Rahman) terlalu baik dengan orang-orang Cina dan ini menyebabkan ramai orang Melayu kurang menyokong Tunku. Situasi pada ketika itu amat berbeza. Orang-orang Melayu amat sedikit yang dapat memegang kuasa di dalam ekonomi berbanding orang-orang Cina. Mereka merasakan kerajaan pada ketika itu kurang mengambil perhatian dan kurang memberi tumpuan untuk memajukan orang Melayu. Dr. Mahathir juga telah menulis sepucuk surat terbuka kepada Tunku untuk membantah sekalian tindak-tanduk Tunku. Beliau pada ketika itu telah tewas dalam pilihan raya sebelumnya akibat perkataan beliau yang tidak memerlukan undi orang-orang Cina untuk menang. Dr. Mahathir juga telah dicop sebagai "Ultra-Melayu" kerana sikap sayang akan bangsanya ketika itu, yang juga telah menyebabkan beliau dipecat keahlian UMNO-nya. Dalam masa pemecatannya itulah, terhasil sebuah karya, "The Malay Dilemma" (Dilema Melayu) yang menceritakan akan keadaan sebenar orang Melayu ketika itu, apa yang diperlukan untuk terus maju ke hadapan. Akhirnya, setelah Tunku meletak jawatan, dan Tun Razak mengambil alih kepimpinan, Dr Mahathir telah dijemput kembali untuk menyertai UMNO demi memperjuangkan agenda Melayu pada ketika itu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga telah diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat dengan sasaran Orang-orang Melayu dapat maju dalam bidang perdagangan dan perniagaan (ekonomi ler tu) dengan pegangan sebanyak 30% dalam pasaran.

Sebenarnya, apa yang dinukilkan di atas adalah penting untuk kita memahami secara fundamental pemikiran Tun (pada pandangan aku laa...). Setelah beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1981, kita dapat melihat banyak dasar-dasar baru telah diperkenalkan. Antara yang masih diingati ialah dasar "Pandang ke Timur" (PKT). PKT bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada kuasa Barat. Ini kerana, jika kita terlalu mengikut rentak Barat, kita mungkin akan terlepas pandang peluang-peluang yang ada di Timur. Secara peribadinya, kebencian beliau kepada penjajah juga mungkin menambahkan lagi hasratnya untuk tidak melihat hanya ke Barat, tetapi juga untuk merapatkan jurang dengan kuasa di Timur. Jepun, sebagai contoh mempunyai satu budaya kerja yang unik dan inilah yang ingin kita contohi. Suatu budaya kerja berpasukan yang mantap, rajin dan berkesan. Itu merupakan pandangan 20 ~ 30 tahun yang lampau dan kini ianya terbukti dengan Jepun merupakan satu-satunya negara Asia yang diberi status negara maju. Hasil daripada pengenalan dasar ini, pihak British telah mula membuat bantahan. Namun, kita membalas balik dengan kempen "Buy British Last" sejajar dengan tujuan untuk menunjukkan protes kita. Kita juga telah berjaya mengambilmilik aset-aset tinggalan British di negara ini untuk dijadikan hak kita semula.

Kejayaan seterusnya dengan penghasilan kereta nasional, "Proton Saga" adalah bukti bahawasanya kita juga mampu untuk menceburi bidang automotif. Semangat tidak mudah putus asa dan "Malaysia Boleh", telah diterjemahkan melalui penghasilan Proton Saga. Walaupun Proton Saga ketika itu bukanlah 100% hasil tangan kita sendiri, namun sekurang-kurangnya kita telah belajar dari luar akan kepakaran tersebut. Kini, Proton tidak lagi menggunakan khidmat luar dalam membangun kereta buatan mereka kerana kepakaran anak-anak tempatan dalam menghasilkan sesuatu yang berkualiti telah mula dirasai. Semuanya terima kasih atas usaha Dr Mahathir pada suatu ketika dahulu. Selain itu, Dasar "Penerapan Nilai-Nilai Islam" dalam pentadbiran kerajaan telah diperkenalkan. Hasilnya, lahirlah sebuah kerajaan yang mengamalkan nilai-nilai yang baik di dalam Islam seperti contoh, budaya BERSIH, CEKAP dan AMANAH. Hasil daripada dasar ini juga, kita melihat ISLAM terus dipertahankan. Urusan umat Islam dimodenkan dan sebagai contoh, wujudnya Bank Islam, sebagai pemangkin sistem kewangan Islam pada ketika itu. Sistem kewangan Islam amat penting untuk dikaji kerana hanya dengan mempunyai kekuatan ekonomi, barulah umat Islam dapat berjuang melawan para musuh yang menyerang, bukan lagi dengan senjata yang merobek daging, tetapi senjata yang merobek 'hati, jiwa dan pemikiran'.

Wawasan 2020 merupakan satu lagi aspirasi yang telah diperkenalkan oleh Tun pada tahun 1991. Ia adalah merupakan intipati utama dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang merupakan kesinambungan kepada DEB yang telah tamat secara rasminya pada 1990. DPN mempunyai matlamat-matlamat yang hampir sama dengan DEB namun ianya diperluaskan lagi untuk mengambil kira faktor kemajuan dan pemodenan yang sedang rancak berlaku pada ketika itu. Dengan DPN, nasib semua kaum akan lebih terbela dengan penyusunan masyarakat masih lagi diteruskan. DPN menggariskan tempoh 30 tahun untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, menerusi Wawasan 2020. Dalam mengharungi dunia globalisasi kita perlulah menjadi warga yang berdaya saing supaya tidak ketinggalan. Sehubungan dengan itu, projek-projek pembangunan dan pemodenan telah dilancarkan demi untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang berdaya saing, inovatif, penyayang dan bersatu padu dalam erti kata hidup harmoni tanpa sebarang masalah dan kebencian.

Dan hasilnya, telah kita dapat lihat sekarang. Pembangunan Putrajaya sebagai contoh telah banyak memberikan faedah. Putrajaya dibangunkan sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang sepusat. Ini untuk memudahkan dan melicinkan lagi kerja-kerja pentadbiran kerajaan. Pada mulanya, projek Putrajaya telah dikritik hebat kononnya sebagi sebuah projek yang membazir di saat kemelesetan ekonomi pada 1999. Namun, ini bukanlah satu kritikan yang tepat. Tun dalam menjawab persoalan ini telah memberi jawapan seperti berikut."Kalau kita hentikan projek, kesannya akan lebih teruk, terutama kepada peniaga-peniaga kecil. Sebagai contoh, kalau projek dihentikan, pekerja tidak akan datang bekerja, kalau pekerja tak bekerja macam mana orang yang meniaga kecil-kecilan (contoh, penjual nasi lemak) kepada para pekerja nak cari pendapatan?". Inilah kehebatan pemikiran yang dipunyai oleh Tun. Beliau adalah seorang yang berpandangan jauh dan luas pemikirannya. Hakikat ini rupa-rupanya telah dirasai kini. Sebagai contoh, setiap penangguhan atau pembatalan projek akan menimbulkan kos-kos lain terpaksa ditanggung. Kos pembatalan projek misalnya akan melibatkan bayaran pampasan kepada pemaju yang bukan juga sedikit. Ini bermakna, kita membayar kepada pemaju, tetapi projek tidak terlaksana. Mana lebih bagus? bayar untuk perkara yang siap atau bayar untuk pampasan beserta kos merobohkan semula? Begitu juga dengan penangguhan projek. Jika hari ini, kos bahan mentah projek itu RM 1 juta, jika ditangguh dan disambung semula pada esok hari, ia boleh menjadi sebanyak RM 2 juta. Itu adalah lumrah pada ketika ini, dimana harga bahan-bahan mentah semakin lama semakin meningkat. Oleh sebab itu, sekali lagi kita menghormati logik fikiran yang dibawa oleh Tun.

Tun adalah seorang yang berfikiran untuk memajukan orang-orang Melayu yang hampir semuanya, 99% beragama Islam. Pelbagai bantuan dan usaha diwujudkan demi untuk membantu orang-orang Melayu untuk berjaya, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Namun, beliau agak terkilan dengan apa yang telah terjadi dengan orang-orang Melayu yang tidak pandai mengambil peluang yang diwujudkan untuk memajukan diri mereka sendiri. Ini jelas dinyatakan beliau dalam puisi bertajuk Perjuangan Yang Belum Selesai. Betapa beliau kecewa dimana orang-orang Melayu sejak sedekad dua ini ada yang masih berada di bawah paras kemiskinan dan ada yang masih tercicir dalam pelajaran. Sekali lagi beliau menyelar orang Melayu dalam puisi Melayu Mudah Lupa. Bagi beliau, akibat kita mudah lupa akan sejarah-lah yang membuatkan kita leka dan hanyut di arus kemodenan ini. Hari ini, kebimbangan beliau berasas. Anak-anak muda, yang tidak kenal sejarah kerana ibu bapa mereka mudah lupa untuk menceritakan kepada anak-anak kisah perjuangan nenek moyang kita, dengan senang-senang rela untuk "berkongsi apa segala" dengan "mereka". Inilah yang amat dikesalkan dan patut kita ambil iktibar.

Tun merupakan antara pemimpin Islam yang amat tidak asing lagi dalam dunia Islam. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia, apabila menyebut "Malaysia" pasti yang pertama mereka balas ialah "Mahathir". Ini menunjukkan betapa mereka menyanjung Tun sebagai salah seorangan Tokoh Pemimpin Islam yang terkemuka. Mana tidaknya, idea-idea Tun selama ini kebanyakannya menguntungkan umat Islam itu sendiri. Sebagai contoh, idea penggunaan Dinar Emas sebagi pengganti Dollar Amerika bagi perdagangan antara negara-negara Islam dapat mengurangkan pergantungan negara Islam terhadap Barat dan seterusnya dapat mewujudkan kekuatan blok ekonomi tersendiri. Inilah idea hebat seorang pemimpin Islam. Beliau juga amat digemari kerana kelantangannya mengkritik YAHUDI dan AMERIKA SYARIKAT yang terang-terangan menganiayai umat Islam, samada di Palestine, Iraq, Afghanistan dan lain-lain lagi. Ini mungkin juga (sekali lagi) kesinambungan kepada kebencian beliau kepada bangsa penjajah. Bagi beliau, kita tidak perlu tunduk kepada bangsa penjajah lagi, tiada apa yang membezakan antara kita dan mereka. Beliau pernah mengatakan bahawa YAHUDI MEMERINTAH MELALUI PROKSI dan ini terbukti bahawa AMERIKA SYARIKAT TIDAK PERNAH SEKALI PUN MENYALAHKAN ISRAEL walaupun ISRAEL seringkali melanggar hak asasi manusia dalam menangani krisis di Asia Barat. Sebaliknya, AMERIKA SYARIKAT CUKUP SIBUK UNTUK MASUK CAMPUR URUSAN NEGARA ISLAM kerana beberapa perkara seperi MINYAK dan hasil bumi yang lain. Contohnya, kerajaan IRAQ sekarang ini yang secara tidak langsung sebagi BONEKA US yang diperintah secara PROKSI OLEH YAHUDI ZIONIS (ISRAEL). Kelantangan Dr Mahathir mengkritik US amat disanjungi oleh dunia Arab. Bagi mereka, Tun adalah seorang pejuang Islam sejati dengan caranya tersendiri.

Inilah TUN DR MAHATHIR yang saya kenali. Seorang genius Melayu yang amat jauh pandangan dan luas pemikirannya. Seorang pejuang bangsa yang rela berbuat apa saja demi melihat bangsanya berjaya. Seorang pejuang Islam yang berani dan lantang dalam menyatakan apa yang benar dan melawan apa yang salah. Seorang nasionalis terunggul di Malaysia. Beliau adalah satu dalam sebillion.. permata nilam berharga buat negara. Kepimpinan beliau amat dirindui. Buah fikiran beliau amat ditagih. Beliau bukan maksum, pasti ada silapnya. Namun kebaikan dan jasanya adalah pasti lebih banyak dan sudah cukup untuk membuatkan jutaan rakyat Malaysia menyanjungi akan beliau. Di saat usia emas ketika ini, kebimbangan beliau kepada masalah dan hala tuju negara jelas tergambar dengan tindak tanduknya. Beliau sepatutnya sudah boleh berehat dan menyerahkan tugas 'menjaga ALIF, BA, dan TA' kepada kepimpinan sekarang namun begitu, beliau merasakan masih ada tanggungjawab dalam dirinya sebagai salah seorang warganegara untuk bersuara. Inilah dia orang perjuangan, berjuang atas prinsip yang konsisten dari dahulu hingga sekarang. Inilah dia, PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI. HIDUP MELAYU. ALLAHUAKBAR !

Sekian, jika terdapat salah dan silap mohon dimaafkan... sebagai penutup, saksikanlah..




Wassalamualaikum...

Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya