Rata-rata kita telah mengetahui apa yang telah terjadi semalam di Perak. Datuk Dr Zambry Abdul Kadir telah diberi perkenan dan dilantik oleh KBDYMM Sri Sultan Perak untuk menjadi Menteri Besar yang baru. Perlantikan ini adalah sah mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang mana menyatakan bahawa Sultan dengan kuasa yang ada pada budi bicara Tuanku berhak untuk melantik seorang Menteri Besar yang mendapat majoriti kepercayaan Ahli Undangan Negeri.
Tetapi malangnya, episod derhaka menderhakai juga berulang semalam. Bermula dengan kemunafikan Nizar Jamaluddin yang memungkiri janjinya, ia diikuti kenyataan oleh Anwar Ibrahim dan Karpal Singh yang mahu mengheret seorang bekas Ketua Hakim Negara yang tahu selok belok perundangan, apatah lagi perundangan negeri Tuanku sendiri. Tindakan biadab Nizar yang "mohon derhaka" kepada Sultan, boleh dianggap sebagai mencabar kedaulatan dan hak-hak Sultan di dalam negeri baginda sendiri. Ini bercanggah dengan kenyataan beliau sendiri yang bersedia menerima apa jua keputusan Tuanku dan akan menganggapnya adil. Ia termuat dalam Harakah (4 Februari 2009) edisi online seperti berikut
"Kini terpulang kepada tuanku untuk membubarkan dewan atau lain-lain keputusan. Pembubaran jika berlaku adalah perlu untuk memastikan satu pilihan raya seluruh negeri Perak dapat diadakan agar rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar bersih,"jelasnya lagi.
Katanya, ketika ini keputusan adalah di tangan tuanku sultan dan baginda sedang memperhalusi isu yang berlaku dari sudut undang-undang.
"Rakyat jangan bimbang dan diminta bertenang,tiada apa-apa huru-hara yang berlaku.Semua seperti biasa.
"Apa-apa pun tunggu keputusan Sultan dan keputusan tuanku adalah merupakan keputusan yang adil,"tambahnya.
Sumber : HarakahDaily.net
Tapi apakah yang telah terjadi semalam? Adakah tiba-tiba keputusan yang pada mulanya dikatakan pada tangan Tuanku tiba-tiba tidak lagi hak kuasa Tuanku? Kenapa pada mulanya Nizar sanggup menerima apa jua keputusan Tuanku yang dianggap "adil" dan memenuhi kehendak perundangan tetapi selepas kejadian semalam, beliau mengatakan keputusan itu menyalahi undang-undang? Apakah ini semua? Kenapa Nizar boleh pusing 360 darjah? Siapa yang telah menghasut beliau? Faham-fahamlah sendiri siapa dibelakang suara Nizar..
Semalam menyaksikan beberapa "pejuang berani mati" merempuh Istana Iskandariah dan tergolek-golek di tengah jalan seumpama lembu-lembu yang berkeliaran di tengah jalan tanpa mengendahkan kenderaan yang lalu lalang.
Apakah yang mereka pertahankan sehingga sanggup menjadi "lembu" di jalanan? Apakah yang dipertahankan itu sebuah "Kerajaan Islam"? Mari kita lihat "Kerajaan Islam" tersebut. Berikut merupakan senarai Exco yang dilantik kerajaan Pakatan selepas memenangi pilihanraya di Perak Mac tahun lepas.
1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.
2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.
3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.
4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.
5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.
6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.
7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.
8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.
9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.
Hanya ada 3 orang EXCO Melayu beragama Islam dengan portfolio yang hanya "sipi-sipi" sahaja. Apakah ini yang ingin dipertahankan? Sesungguhnya barisan exco yang dilihat ini adalah hasil daripada sikap angkuh PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan BN (UMNO) yang memenangi lebih banyak kerusi berbanding DAP, PAS dan PKR sendiri seandainya tiada pakatan dibuat antara ketiganya. PAS sebenarnya boleh bekerjasama dengan UMNO sejak sedari awal lagi untuk menubuhkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang kuat di Perak. Ini seperti mana saranan dan perakuan oleh Mufti Perak sendiri, Datuk Seri Harussani Zakaria
Mufti Perak akui saran kerjasama PAS-UMNO
Jimadie Shah Othman | Oct 10, 08 5:57pmMufti Perak mengakui mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencadangkan penubuhan kerajaan campuran antara UMNO dan PAS di negeri itu.
Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan itu dikemukan bagi mewujudkan pemerintahan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu dan Islam.
“PAS kalau campur dengan UMNO lagi bagus. UMNO ada 27 kerusi. Kalau campur dengan PAS, seratus peratus orang Melayu-Islam memerintah,” katanya.Sumber : Malaysiakini
Hakikatnya, apa yang dibalas oleh Nik Aziz ialah beliau hanya Mursyidul Am sahaja dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Baca selanjutnya pada pautan sumber di Malaysiakini. PAS, PKR dan DAP pada dasarnya bukanlah sebuah parti seperti BN. Mereka bertanding menggunakan lambang yang berlainan dan hanya mewujudkan "PAKATAN" setelah pilihanraya berlangsung. Ini bermaknya, PAS, DAP dan PKR menang sebagai parti yang berasingan tetapi telah bersetuju untuk membentuk kerajaan dengan bersama-sama memberi sokongan untuk melantik seorang Menteri Besar yang baru. Oleh kerana ketika itu mereka mempunyai majoriti, maka KBDYMM Tuanku Sultan Perak telah memperkenankan calon Menteri Besar dari pihak PAKATAN tersebut untuk dilantik ke jawatan itu. Seandainya undang-undang tidak menyatakan sedemikian dan menyatakan parti yang terbanyak sekali memenangi kerusi undangan negeri yang layak membentuk kerajaan, sudah tentunya BN lebih berhak menjadi kerajaan. Apa yang boleh terjadi selepas 8 Mac tersebut, ialah pakatan antara BN dan PAS, tetapi PAS menolak kerana angkuh dan sombong terhadap kemenangannya.
Semenjak kerajaan PAKATAN tersebut memerintah di Perak, mereka telah banyak melukakan hati dan perasaan orang Melayu-Islam. Mereka juga dilihat telah beberapa kali membelakangi kuasa Sultan Perak sendiri. Bermula dengan isu penukaran pengarah JAIP tanpa merujuk Sultan, Karpal Singh pula berlagak seolah-olah hero dengan mengingatkan sultan kononnya terdapat had-had kuasa sultan. Begitu juga isu seperti usul ingin menukarkan status tanah pajakan Kampung Baru di perak untuk menjadi milikan kekal serta usul pajakan tanah untuk dilanjutkan dari 99 tahun ke 999 tahun di Kampung Baru. Usul-usul ini jelas sekali merugikan umat Islam dan Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri sudah tentu tidak akan membiarkan perkara ini berterusan. Inilah 10 bulan yang malang bagi Umat Islam di Perak. Sudah tentu Sultan tidak boleh menerima lagi sebuah kerajaan boneka di mana Menteri Besar yang DILANTIK atas PERKENAN SULTAN tidak mengawal barisan exconya sendiri.
Ini jualah yang dipertahankan oleh "pejuang berani mati" semalam. Mereka sanggup bergolek-golek di jalanan demi mempertahankan kerajaan yang membelakangi Ulil Amri (Sultan), yang menggadai maruah dan hakmilik umat Islam serta kerajaan yang munafik dan hipokrit. Berbaloikah mati untuk kerajaan yang menolak kerjasama antara umat Islam kerana sifat angkuh dan riak? Anda fikirkan sendiri. Anda boleh membaca lagi banyak rentetan-rentetan yang menyebabkan Sultan Perak tidak menerima nasihat Nizar untuk membubarkan DUN di Forum MyKMU.net
Dengan ini, saya mengharapkan, masyarakat yang menghina dan mencaci Sultan segera menghentikan perbuatan anda. Anda sebenarnya telah terpengaruh dengan anasir luar yang ingin memberikan impresi negatif terhadap sistem beraja yang telah berjaya kita pertahankan sejak beratus-ratus tahun lampau. Tindakan anda yang biadab, angkuh dan menderhaka kepada Sultan bakal menyebabkan sistem payung rakyat oleh Raja-raja Melayu akan tumbang dan akhirnya tiada apa lagi yang tinggal pada Melayu. Melayu itu dipayungi oleh Raja-Raja yang berdaulat. Raja-Raja simbol kekuatan Umat Islam di Timur. Jangan jadikan Malaysia seperti Singapura atau Indonesia yang mana raja-raja di sana tiada lagi dihiraukan.
DAULAT TUANKU!
Wassalamualaikum..
Comments
Post a Comment