Ku Biarkan Pena Menulis.....

Salam Merdeka ke -52 : Plastikkah kemerdekaan kita?

Salam

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British. Tengah malam 30 Ogos 1957 menyaksikan bendera Union Jack diturunkan dan lagu "God Save The Queen" sebagai lagu rasmi kali terakhir dimainkan di Tanah Melayu. Bermulanya awal pagi 31 Ogos 1957 itu, Bendera baru Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan, dan lagu Negaraku buat kali pertama di mainkan. Simboliknya acara ini, menandakan tamat pemerintahan British selama hampir seratus tahun yang membayangi pentadbiran negeri-negeri Melayu termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang dijadikan tanah jajahan. Sekaligus, tanggal tarikh ini juga menandakan berakhirnya penjajahan bangsa asing sejak jatuhnya Melaka ke tangan asing pada tahun 1511. Hampir lima abad dijajah, samada secara terus ataupun secara bayangan, akhirnya bumi bertuah di Nusantara ini bebas dari belenggu kuasa asing yang selama itu telah banyak merompak hasil bumi dan menidakkan hak pribumi dalam mentadbir secara bersendiri.

Kemerdekaan negara ini dilihat sebagai tidak patriotik, tidak tulen dan tidak membawa makna apa-apa pada pandangan sesetengah pihak. Bagi mereka ini, kemerdekaan haruslah dicapai dengan pertumpahan darah. Mesti berlaku peperangan. Mesti berlaku dengan kekerasan. Pada pandangan mereka, Malaysia (Tanah Melayu) ketika itu terpaksa mengemis, dan dipaksa menjadi boneka British dengan kemerdekaan yang dicapai ialah kemerdekaan palsu. Terdapat juga tuduhan-tuduhan yang mana kemerdekaan negara ini tak lebih daripada wayang semata demi mencapai matlamat neo-kolonialis pihak Barat. Suatu ketika dulu, perkara ini hanya disebut oleh mereka yang kecewa kerana perjuangan mereka ditolak rakyat dan tidak dapat membawa kemerdekaan. Perkara ini juga disebut oleh pihak luar yang dengki dan irihati kepada Malaysia ketika dahulu kerana menyaksikan Malaysia berjaya dibentuk berkat usaha Tunku Abdul Rahman menyatukan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak.

Tetapi kini, setelah 52 tahun kita merdeka, terdapat suara-suara sumbang yang memperlekeh kemerdekaan negara ini. Setelah berpuluh tahun hidup di bawah keamanan dan nikmat pasca-merdeka yang dikecapi, mereka ini tanpa segan silu mencaci kemerdekaan negara sendiri kerana kebencian kepada parti-parti politik tertentu. Adalah fakta dan kenyataan, UMNO adalah parti yang diterima rakyat dan raja-raja ketika itu untuk meneruskan agenda kemerdekaan. Walaupun UMNO pernah tidak diterima oleh rakyat dan raja-raja ketika itu, tetapi para pemimpin UMNO tidak pernah berputus asa. Bermula dengan keluarnya Dato' Onn dari UMNO, Tunku Abdul Rahman mengambil kemudi UMNO dengan tekad untuk kemerdekaan mutlak negara ini. Tidak sia-sia usaha Tunku, rundingan demi rundingan akhirnya membuahkan hasil dan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Akhirnya, negara ini merdeka dan UMNO dilihat sebagai pihak yang berjasa dalam memerdekakan negara ini. Apakah kerana pihak yang memerdekakan negara ini bernama "UMNO" maka kemerdekaan negara sendiri hendak dicaci terutama sekali oleh generasi muda?

Benarkah kemerdekaan negara ini kemerdekaan "plastik" semata-mata? Benarkah kemerdekaan negara ini tanpa pertumpahan darah dan pengorbanan? Jawapannya tidak benar. Adakah kita lupa kepada perajurit-perajurit kita yang gugur menentang pemberontakan komunis di masa darurat dahulu? Adakah kita lupa pengorbanan harta benda orang Melayu ketika dahulu yang sanggup memberikan segalanya agar usaha-usaha mencapai kemerdekaan menjadi kenyataan? Tahukah kita kisah dimana pada satu ketika, Orang-orang Melayu lelaki dan wanita, menderma kepada Tunku Abdul Rahman supaya dapat pergi ke England untuk menuntut kemerdekaan? Bukankah itu satu pengorbanan?

Orang cakap, kalau menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar. Pintarkah kita sekiranya pada ketika itu kita melaksanakan penentangan bersenjata untuk kemerdekaan? Sedangkan kita tahu, pada ketika itu senjata dan logistik lebih berpihak kepada British. Tambahan pula, ramai anggota keselamatan yang berkhidmat ketika itu adalah orang-orang Melayu sendiri. Tergamakkah untuk menembak bangsa sendiri? Logik akal sudah tentulah mengatakan bahawa sekiranya kita melawan dengan kekerasan ketika itu, kita sudah pasti menjadi abu, rakyat akan menderita dan kemerdekaan tidak akan tercapai buat beberapa lama lagi. Orang-orang Melayu sukakan keamanan dan itulah yang dilakukan Tunku Abdul Rahman. Cara rundingan adalah pilihan terbaik ketika itu.

Sesungguhnya tidak ada mitos dalam kemerdekaan negara ini. Semuanya benar, bukan khayalan. Kontrak Sosial adalah benar. Darurat adalah benar. Kekejaman komunis adalah benar. Kegagalan haluan kiri juga benar. Jika ianya satu mitos, saudara saudari tak mungkin sedang menghadap skrin komputer ketika ini. Kemungkinan saudara saudari masih lagi berada di dalam hutan, menggalas senjata ataupun saudara saudari mungkin tidak wujudpun di dunia ini. Tetapi ini semua tidak terjadi, kerana ini adalah kemerdekaan sebenar. Inilah perjuangan yang murni. Carilah di mana-mana bahagian di Malaysia ini, masih adakah lagi rakyat takut untuk keluar bekerja dan mengerjakan pekerjaan seharian?. Tidak ada! Semuanya bebas menjalankan aktiviti-aktiviti masing-masing--dengan syarat perlu mengikut lunas undang-undang.

Oleh itu, marilah kita mengenang kemerdekaan negara kita kali ke 52 ini. Sedekahkanlah Al-Fatihah kepada para pejuang-pejuang kemerdekaan yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Mereka telah bersusah payah berjuang untuk kita -- kita yang mengecapi nikmat dan hasil perjuangan mereka. Tanpa mereka siapalah kita. Tanpa mereka, negara yang kita warisi ini mungkin bukan milik kita. Bersatulah rakyat Malaysia! Bersatulah dengan perasaan hormat menghormati dan menerima hak masing-masing seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Hak-hak kita mungkin tidak sama rata tapi itulah yang paling adil. Fair is not equal. Acceptance is better than tolerance. Marilah menjadi satu bangsa Malaysia yang kenal akan sejarah dan bersatu dalam segenap sudut demi kejayaan Tanah Air yang tercinta ini.

1 Malaysia ~ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Wassalamualaikum...


P/S : Khas buat sambutan kemerdekaan kali ke-52 ini. Sila tontoni filem 1957 : Hati Malaya yang siap dengan english subtitles. Muat turun (download) :

http://www.rapidshare.ru/1134680

ATAU (OR)

http://www.megaupload.com/?d=DN9RQMHZ

ATAU (OR)

http://dl.free.fr/qx3xMdLbN


Kemerdekaan Tanah Melayu (Video)

Salam.. 

Sempena kemerdekaan ke 51, saksikan tayangan khas Dokumentari Kemerdekaan Malaya yang pertama pada tahun 1957. Mudah-Mudahan negara kita terus aman merdeka hingga ke akhirnya.





Wassalam...

Kemerdekaan ke 51 - Perpaduan Teras Kejayaan


Assalamualaikum..

Pertama-tama sekali, aku nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan yang sedang dan telah berkonvo pada sepanjang minggu yang lepas dan pada 23 & 24 Ogos ini. Majlis konvokesyen mungkin sekali dalam seumur hidup, tapi apa yang lebih penting ialah kemanisan daripada kejayaan yang dicapai. Hargailah dan syukurilah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Melangkah naik ke pentas untuk menerima ijazah merupakan satu kepuasan yang akan dirasakan setelah hampir 4-5 tahun bertungkus lumus dalam mengharungi ranjau, onak dan duri bergelar pelajar.

Aku jugak nak ucapkan terima kasih dekat Jijy yang mana pada minggu lepas dah selamat belanja kami makan dlm birthday party dia. Walaupun dinamakan 'birthday party' tapi tak ada 'parti liar' seperti yang disangkakan. Aku jugak nak ucapkan selamat kembali dan semoga cepat sembuh kepada sahabatku Radin yang mengalami sedikit masalah kesihatan semasa program Outbound TNB. Semoga dalam keadaan sihat sentiasa selepas ini dalam menjalani tugas yang diamanahkan nanti.

Dalam beberapa hari lagi (31 Ogos 2008), kita semua akan sama-sama menyambut hari Kemerdekaan yang ke-51. Aku akui, hakikat sambutannya pada kali ini agak kurang meriah. Tiada lagi 'aura' seperti tahun-tahun sebelumnya. 'Mood' suram ini mungkin didorong oleh beberapa faktor. Antaranya ialah kesan daripada 'badai Tsunami' yang melanda pada bulan Mac yang lepas. Pokoknya, rakyat telah menunjukkan 'mood' mereka kepada kepimpinan yang sedia ada tetapi nampaknya kepimpinan telah sekali lagi tidak menyedari sentimen ini. Harga minyak dinaikkan secara tergesa-gesa dan mendadak sekali pada masa itu. Ini menyebabkan sentimen ketidakpuasan hati rakyat ini terus dimainkan dengan hebat sekali dan rakyat semakin hari semakin memandang enteng kepada kepimpinan sekarang.

Dengan adanya sentimen dan perasaan tersebut, Rakyat Malaysia yang sebelum ini amat setia dan sedia untuk menzahirkan patriotisma mereka pada bila-bila masa mungkin sedang berkira-kira untuk menyatakan pendirian mereka. Sungguhpun kecintaan mereka terhadap negara tidak berbelah bahagi, tetapi keadaan politik semasa yang agak memeningkan menyebabkan mood untuk sebarang sambutan menjadi hambar. Apa yang mereka inginkan melalui 'mesej' yang disampaikan melalui 'badai Tsunami' pada Mac lalu nampaknya masih tidak kesampaian.

Maka terpaksalah mereka-mereka ini mengharungi kekalutan ombak yang melanda di atas kapal yang nakhodanya tidak sebijak nakhoda yang terdahulu. Kapal pula sudah mula menunjukkan akan retak sekiranya nakhoda tidak diganti segera. Ada pula yang sudah kecewa lalu mengambil keputusan berpindah kapal atau setidak-tidaknya mengambil keputusan untuk tidak lagi mengikuti arahan nakhoda yang boleh menyebabkan kapal karam di tengah lautan. Ada pula yang pasrah, menunggu sehingga 24 purnama mudah-mudahan kapal sampai ke pelabuhan untuk berganti nakhoda yang baru. Bagi yang tidak sabar, mereka akan melompat ke  kapal lanun yang sedang menanti dengan kapten yang berjanji, sepurnama lagi sampai ke jeti.

Apa pon, mari kita harapkan agar Allah jadikan yang terbaik buat negara Malaysia kita yang tercinta ini.

Tema sambutan Hari Kemerdekaan kita pada kali ini ialah Perpaduan Teras Kejayaan. Tema ini dipilih mungkin kerana dalam keadaan sekarang ini, kita perlu bersatu dan berpadu dalam menentang musuh yang menyerang dari pelbagai aspek. Ada musuh fizikal, ada musuh mental. Melawan musuh fizikal mungkin tiada masalah kerana kita nampak dan mudah untuk ditembak tetapi musuh-musuh mental, musuh-musuh hati inilah yang harus kita berhati-hati. Gerakan-gerakan memusnahkan kepercayaan antara satu sama lain dan membangkitkan kemarahan sesama kita sudah mula menyusup ke dalam masyarakat. Oleh itu, penting bagi kita dalam berpadu tenaga dan membina semula perpaduan supaya kita berjaya dalam memerangi musuh-musuh kita ini.


Logo Rasmi Kemerdekaan ke 51

Rasional logo

Rekabentuk logo ini di ilhamkan dari 3 figura berpakat dan disaling bergadingan bahu danberpadu tenaga dalam menuju kejayaan ini melambangkan “ Perpaduan Teras Kejayaan”

3 figura manusia saling bergadingan bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama diantarasatu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan Negara.

3 figura manusia digayakan bekerjasama dan bergadingan bahu adalah mewakili kaum utamadi Malaysia yang bersefahaman ini menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalamperpaduan.

Warna merah simbol keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduanyang dijalinkan oleh ketiga-tiga kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pulamelambangkan sistem Beraja dan Yang Dipertuan Agong dan juga bermaksud warna
kegemilangan yang di kecapi oleh rakyat Malaysia. (Sumber : http://www.bppsm.jpm.my/)
Melihat logo sambutan rasmi, jelas menunjukkan bahawa ianya agak ringkas serta mudah difahami. Gambar bergandingan bahu seperti sedang berbincang (seperti mana biasa dilihat di atas padang) menunjukkan bahawasanya, untuk mencapai kejayaan, sebarang perbezaan haruslah dilihat secara berhati-hati dan berhemah. Perundingan merupakan salah satu instrumen yang penting bagi menjayakan sesebuah persefahaman itu. 
Berikut ialah lagu rasmi bagi sambutan ke 51 kemerdekaan



PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa

Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni

Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita

Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan

Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan


LAGU CIPTAAN : PAK NGAH | LIRIK CIPTAAN : LOKGHA

Sumber : ( http://www.moi.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1785&Itemid=1 )


Hayatilah bait-bait lirik di atas... mudah-mudahan Negara kita akan terus KEKAL MERDEKA sampai KIAMAT, insya Allah...

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Wassalamualaikum..

p/s : syg.. syg.. syg... kau dah berpunya :(