Skip to main content

Yang di-Pertuan Agong ke-14

Assalamualaikum,

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
Sultan Kedah Ke-27 dan YDP Agong ke-14
Sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah di atas perlantikan sebagai YDP Agong yang ke-14 pada 11 April 2012 (semalam).

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ini adalah julung-julung kalinya, seorang Sultan memegang jawatan YDP Agong sebanyak 2 kali. Kali pertama, Tuanku Abdul Halim memegang jawatan YDP Agong ialah pada tahun 1970 sehingga 1975. Dan setelah hampir 40 tahun kemudian, pada penghujung tahun 2011, baginda telah dilantik semula menjadi YDP Agong seterusnya mencatat rekod pemegang jawatan YDP Agong sebanyak 2 kali. Dan semalam, pada 11 April 2012, maka istiadat pertabalan melengkapkan lagi proses yang menjadi bukti dan lambang kukuhnya insitutsi beraja di bawah sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia.

Yang lebih menariknya, Tuanku Abdul Halim dapat memerintah dengan ber Perdana Menteri-kan anak beranak, Tun Abdul Razak pada era 1970an dan Dato' Sri Najib Tun Razak pada masa kini. Sesungguhnya, bak kata DS Najib, inilah perhitungan Allah dan kekuasaan-Nya di mana ditakdirkan dua beranak akan berkhidmat menumpahkan bakti dan taat setia kepada Yang di-Petuan Agong yang sama walaupun berlainan zaman.


Sudah tentunya, Tuanku Abdul Halim yang memerintah pada kali pertama lebih tersedia arif dan maklum akan hasil kerja-kerja pembangunan Tun Razak sehinggakan kini pada zaman anak beliau pula, negara sekali lagi memasuki era baru, era transformasi. Mudah-mudahan dengan pemerintahan Tuanku Abdul Halim pada kali ini, negara kita akan bergerak lebih maju, seiringan dengan hasrat rakyat jelata sekelian. Seluruh rakyat sesungguhnya amat bergembira dan menjunjung kasih di atas kesudian Tuanku untuk kembali berkhidmat kepada Tanah Air tercinta, Malaysia.

Sedikit bingkisan berita berkaitan :

IKRAR TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG 
KUALA LUMPUR, 11 April 2012 (Bernama) -- Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara Rabu.  
"BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM,  
BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.  
DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA."  
Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.  
Najib melafazkan:  
"BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM  
BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG." 
SUMBER : BERNAMA
DENGAN LAFAZ IKRAR, TUANKU ABDUL HALIM SELAMAT DITABAL YANG DIPERTUAN AGONG KE-14 
KUALA LUMPUR, 11 April 2012 (Bernama) -- Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, Rabu.  
Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Perang" bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.  
Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left Sabri Abdullah.  
Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.  
Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.  
Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta.  
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.  
Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara.  
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).  
Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Belayar" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.  
Keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.  
Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.  
Tuanku Abdul Halim berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah".  
Baginda juga memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.  
Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.  
Tuanku Hajah Haminah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja yang merupakan pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian dan mengenakan persalinan baju panjang sedondon.  
Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.  
Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah Al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu "Palu".  
Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela. 
Baginda lalu mencium Al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.  
Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu.  
Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.  
Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.  
Keris itu kemudian diletakkan Seri Paduka di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran. 
Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.  
Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat "Perang" dimainkan, diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairong Seri, serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan. 
Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.  
Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat.  
Selepas itu, pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selamat disempurnakan.  
Seterusnya, Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu "Belayar" mengiringi Seri Paduka berdua meninggalkan istiadat dengan didahului pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.  
Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 pada 14 Okt 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Dis 2011.  
Pada tanggal 13 Dis 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua. 
SUMBER : BERNAMA

Wassalam....

Comments

  1. www.arrayah.info : Perbandingan Kekuasaan Khalifah dengan Kekuasaan Yang Di Pertuan Agong

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sollu 'ala Rasulillah habibil Mustofa..... Maulidur Rasul S.A.W

Assalamualaikum... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasohbihi wabarik 'alaih.. 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah, lahirlah penghulu kita Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.... Kita sebagai ummat beliau seharusnya mencuba untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti beliau sebanyak mana yang kita mampu..... Hari ini 12 Rabi'ul Awwal 1433 Hijrah, kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai bukti kita kasih dan cintakan beliau.... Dan untuk mencapai maksud kecintaan itu, kita hidupkanlah sunnah Rasulullah S.A.W sebanyak mana termampu dan yang boleh kita lakukan... Berselawatlah kepada  beliau, mudah-mudahan urusan kita dipermudahkan dunia dan akhirat... The Chosen One In a time of darkness and greed It is your light that we need You came to teach us how to live Muhammad Ya Rasool Allah You were so caring and kind Your soul was full of light You are the best of mankind Muhammad Khaira Khalqillah Sallu ‘ala Rasulillah, Hab...

Asal Bangsa Melayu?

Salam... Semalam, kita telah dikhabarkan bahawa istilah Bahasa Malaysia akan digunakan bagi menggantikan Bahasa Melayu... Alasan yang diberikan oleh kabinet kerajaan Malaysia ialah untuk menguatmantapkan (hahaha.. istilah baru ke nih? sori aku mereka-reka sket.. lol) hubungan antara kaum dan integrasi antara rakyat berbilang kaum. Kalau tak silap aku la kan, dulu isu ni pernah panas dengan bantahan dari beberapa pihak yg risau akan bahasa Melayu ini akan hilang identitinya. Ada berpendapat Bahasa Melayu perlu dibiarkan seperti mana yang dituturkan dan bukan dibakukan tanpa usul periksa hingga menjadi pelik perkataan-perkataan itu. Kadangkala, sebutan Melayu itu hilang Melayu nya bila ia ditutur tanpa intonasi dan lenggok yg mencerminkan bahasa melayu... ini terjadi bila ia ditutur dgn cara yang 'dull', straight, plain dan tiada jiwa di dalamnya... Bahasa Melayu ditutur dgn lenggok Cina dan India.. dimana lagi Melayunya? Oleh itu agak tepat jugaklah langkah kerajaan menggantikan...

Lagu nie... hehee...

Salam... Minggu lepaih aku tgk citer apa tah nama dia kat tv1 tu.... alaa.. yg citer Minang tu... Nun disana cintaku kot tajuk dia.. (amboi tajuk..huhu..) hehee... menarik jugak cerita ni sbb depa cakap bahasa Minang... seb baik ada subtitle, paham la jugak kan... yg aku suka sket kt cerita ni adalah lagu tema dia.. hehe.. cam best saja dengaq walau aku x tau makna dia yg tersurat dan tersirat camtu... nih aku jumpa kat tenet lagu dia.. ada lirik asai dan transliterasi ke bahasa Melayu, tapi aku still x dpt tangkap makna tersirat dia... hehee.. meh kita dengaq sepam lagu ni... Mudiak Arau (Edited pada 1 Disember 2009 -- Link yang lama dah rosak.. hehe..) Anak urang sabuak andaleh yo mamak oi singgah ka rumah Si sutan mudo.. si sutan mudo Singgah ka rumah.. hai si sutan mudo.. si sutan mudo Bia habih hai bialah tandeh yo kanduang oi Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Indak dapek hai musim manyiang, ya tuan hai.. Musi...