Ku Biarkan Pena Menulis.....

Bye 2010! Welcome 2011!

Salam,

2011 Dah Menjelma!
Tahun baru menjelma lagi. Tahun 2011 bakal disambut dengan penuh keazaman dan penuh tekad bagi sebilangan besar kita di negara ini. Memang menjadi satu kelaziman, kita sentiasa bercita-cita untuk memenuhi impian dan perancangan yang kita telah tetapkan bagi masa hadapan. Persoalannya, mampukah kita jayakan perancangan tersebut? Mudah-mudahan kita dipermudahkan segala urusan untuk mencapai apa yang dirancangkan.

Bagi aku, tahun 2011 ni agak penting. Pada tahun ini, aku rasakan negara kita akan mengalami satu lagi perubahan besar semenjak 2-3 tahun kebelakangan ni. Yang aku maksudkan ialah kemungkinan besar pilihan raya umum akan dijalankan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang mana dewan undangan negerinya akan mencapai tempoh matang dan berakhir samada di hujung suku pertama 2011 ataupun pada awal suku kedua 2011. Semuanya tampak kian terang dan jelas. Jadi aku harapkan pada tahun 2011 ni, kita boleh memilih kerajaan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan meneruskan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran negara yang telah dikecapi. Inilah peluang kita sebagai rakyat untuk memilih masa depan kita sendiri.

Antara lain, aku mungkin akan menilai kembali aspek kerjaya aku. Adakah selama ni aku memenuhi expectation dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh majikan? Adakah selama ini aku berpuas hati dengan kerja aku sendiri? Adakah aku sebenarnya buat kerja yang aku minat atau terpaksa buat-buat minat dengan kerja yang aku buat? Bolehkah aku bersaing secara sihat dan menjadi lebih kompetitif di alam karier yang penuh mencabar ini? Semua ni hanya boleh terjawab bila kita bermuhasabah ke atas diri sendiri. 

Soal perhubungan... Aku harap boleh kekal baik dengan family terutamanya parents dan adik aku. Malah aku berharap kasih sayang antara kami akan bertambah dan tersimpul padu untuk selama-lamanya. Harap-harap jugak, parents aku dapat menunaikan haji pada tahun ni seperti yang dihajatkan. Hubungan dengan rakan-rakan tak kira di tempat kerja, rakan online, rakan forum, jiran sebelah menyebelah diharapkan boleh ditambah baik dan diperbaiki mana yang kurang. Sebagai manusia biasa, setiap individu pasti ada kelemahan dan sebagai seorang rakan, kelemahan seorang rakan yang lain haruslah kita bertoleransi dan bantu mana yang patut. Janganlah kita terus menerus berburuk sangka tanpa terlebih dahulu menyelami hati dan perasaan seseorang.

Aku jugak berharap, tahun 2011 ni aku dapat manage kewangan dengan lebih bijak. Kalau boleh nak banyak menabung dan melabur. Mungkin dah tak payah berbelanja sangat kot. Rasanya semua dah cukup. Yang tak cukup tu, kalau tak dak keperluan, lebih baik ignore saja. Lagipun, rasanya macam dah lama dok membujang ni, walaupun baru masuk 25 tahun. Ni semua sebab dok tengok kawan-kawan lain pakat dok kawen, dok tunang. Kalau boleh tahun 2011, dapat la aku berjumpa seseorang untuk dijadikan teman hidup. Modal nak start keluarga sendiri la katakan. Parents pun dah mula bising-bising. Jadi kena la cuba penuhi permintaan depa jugak. Kalau takdak tahun 2011 ni, tahun 2012 kita cuba lagi. He he he...

Ok, bunga api pun dah dok dengaq berdentam dentum ni, jadi aku ucapkanlah Selamat Tahun Baru 2011! 

Wassalamualaikum!

Salam Agregat 4 -2 ~ Malaysia Tanah Tumpahnya Darahku!

Salam,

Garuda parah dibaham Harimau Malaya
Malaysia menjuarai piala AFF Suzuki edisi 2010. Setelah berhempas pulas semasa di peringkat kumpulan, laluan Malaysia tampak sukar di awal persaingan. Bermula dengan kekalahan 1 - 5  di Gelora Bung Karno (GBK), Malaysia seterusnya seri dengan Thailand 0-0 sebelum bangkit membenam Laos dengan jaringan 5 - 1.

Seterusnya, Malaysia yang hampir-hampir terkeluar daripada saingan, berjaya menempatkan diri di pusingan Separuh akhir apabila Indonesia berjaya mengalahkan Thailand dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan. Malaysia layak dengan menduduki tempat kedua di bawah Indonesia. Bakal lawan Malaysia di Separuh Akhir ialah Vietnam, juara AFF Cup sebanyak beberapa kali.

Pemain ke-12 Malaysia
Namun, semangat anak buah Rajagopal tidak luntur sama sekali. Perlawanan Separuh Akhir pertama di Bukit Jalil, Malaysia berjaya menewaskan Vietnam dengan 2 - 0. Inilah semangat juang yang ditunjukkan para pemain muda negara dibantu oleh pemain "ke-12" di medan pertarungan yakni para penyokong tegar Malaysia yang tidak berhenti-henti memberi sokongan kepada pasukan negara. Di Hanoi, Malaysia berjaya mengikat Vietnam dengan 0 - 0 untuk layak ke perlawanan akhir walaupun digempur selautan "tentera merah" yang tidak jemu menyokong pasukan Vietnam. Malaysia menang separuh akhir dengan agregat 2 - 0.

Perlawanan akhir menyaksikan Malaysia bertemu dengan Indonesia setelah pasukan Garuda itu menewaskan pasukan Filipina juga dengan agregat 2 - 0. Indonesia, di atas kertas nampaknya akan menempuhi laluan mudah dalam saingan akhir kerana telah pun berjaya membaham Sang Harimau Malaya dengan rakus sekali - 5 gol berbalas 1 pada perlawanan pembukaan di peringkat kumpulan.

Perlawanan Akhir Pertama AFF Suzuki Cup 2010 di Bukit Jalil
Tetapi, peluang 90 minit di atas padang tidak sama dengan apa yang ada di dalam kertas. Harimau Malaya bukan lagi Harimau yang patah taringnya dan tumpul kukunya setelah dipatuk dengan Garuda pada perlawanan pertama. Kematangan dan keyakinan berjaya memberi saingan kepada pasukan Thailand serta menewaskan pasukan Vietnam merubah segalanya. Malaysia yang bermain pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, telah berjaya membalas dendam terhadap Indonesia dengan kemenangan 3 - 0.


Khairul Fahmi a.k.a Apek
Hari ini, di GBK, perlawanan akhir kali kedua di adakan. Indonesia menghadapi tekanan untuk mencari sekurang-kurangnya 3 gol untuk seri dengan agregat 3-3 ataupun perlu menang dengan 4-0 bagi mencapai agregat 4-3. Tetapi hal ini tampak sukar setelah habis separuh masa, Malaysia berjaya mengikat Indonesia tanpa jaringan, disebalik sokongan padu para "seldadu merah putih". Peluang terbaik Indonesia datang dalam 30 minit separuh masa pertama dengan sebuah sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan (Australia), tetapi ianya gagal disempurnakan. Penjaga gawang Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menangkap bola hasil sepakan penalti tersebut.

Safee Sali, Top Scorer (5 Goals)
Separuh masa kedua, Malaysia bermula dengan baik dan hasilnya, counter attack oleh pasukan Malaysia berjaya membuahkan gol pertama perlawanan hasil jaringan Safee Sali. Ini telah menyebabkan Indonesia hilang rentak seketika. Namun, dengan kemasukan beberapa orang pemain gantian, Indonesia akhirnya berjaya menyumbat sebiji jaringan bagi menyamakan kedudukan 1 -1 di dalam perlawanan ini.

Malaysia terus mencipta peluang tetapi penyudahnya tidak menghasilkan sebarang gol. Indonesia yang sejak sedari mula permainan melancarkan serangan bertubi-tubi nampaknya masih tidak mahu mengalah, walaupun keputusan agregat telah berpihak kepada Malaysia (4 -1). Dan sememangnya Malaysia masih di depan kerana telah menjaringkan gol di tempat lawan. Tetapi, sudah takdir dan tersurat, Indonesia berjaya menambah jaringan apabila rembatan pemain mereka telah tertanduk oleh pemain pertahanan Malaysa sendiri untuk own goal.

Rimau... Auummm...
Jadi, Indonesia menambah 1 gol hasil gol sendiri pemain Malaysia. Keputusan 2 - 1 ini kekal hingga tamat perlawanan. Ini membolehkan Malaysia menjadi juara dengan kemenangan agregat 4 - 2. Kemenangan Malaysia ini sebenarnya membuktikan bahawa pasukan bola sepak negara kita mampu untuk mengatasi cabaran dan mampu untuk menjadi juara sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh dan fokus pada perlawanan. 


Berlagak depa ni...
Kemenangan ini juga telah menghancurkan ego pasukan Indonesia atau lebih tepat lagi media Indonesia yang selalu mendabik dada akan kehebatan mereka. Dengan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan, mereka akhirnya tewas kepada pasukan yang mereka kalahkan dengan hebat di perlawanan pembukaan. Ini membuktikan bahawa di dalam persaingan bola sepak, apa yang penting ialah fokus para pemain dan bukan publisiti ataupun rasa bangga diri yang menjadi keutamaan.


Wira Harimau Malaya
Sepanjang kejohanan ini, aku berpendapat pujian harus diberikan kepada kesemua pemain Malaysia, daripada penjaga gol hinggalah ke penyerang. Kehebatan pemain pertahanan telah terbukti pada perlawanan menentang Vietnam. Begitu juga dengan pemain di bahagian tengah yang kerap menghantar bola dengan tepat dan lorongan yang cantik kepada penyerang. Juga ada di antara mereka yang rajin mengejar bola (eg. Kunalan) dan tidak mudah berputus asa. Pujian juga harus diberikan kepada Norshahrul Idlan Talaha yang sebenarnya adalah pencetus kepada gerakan bahaya dan menjadi duri dalam daging bagi pihak lawan. Kelincahan beliau menggelecek di ruangan sempit berdekatan garisan padang amat digeruni pihak lawan terutama sekali kemampuan yang ditunjukkan beliau di dalam perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil. Safee Sali juga tidak kurang hebatnya dalam menyempurnakan gerakan cantik Norshahrul dan seterusnya menyumbang gol untuk Malaysia. Inilah di antara beberapa nama yang pada aku, perlu digilap lagi oleh FAM, termasuk juga keseluruhan pasukan. Mereka yang berada di bangku simpanan termasuk para jurulatih, pegawai perlawanan, pegawai perubatan dan sebagainya juga harus diberi pujian kerana berjaya di dalam tugas masing-masing hingga kita diangkat menjadi juara Piala AFF Suzuki 2010.

Negaraku Malaysia...
Diharapkan selepas ini, pasukan negara kita akan terus menyinar di dalam arena bola sepak di peringkat Asia dan Dunia. Mudah-mudahan, kemenangan kita ini boleh menjadi pemangkin, era baru bola sepak negara dalam misi mencari tempat di persada antarabangsa. Mudah-mudahan, pasukan yang ada buat masa ini dapat dikembangkan lagi potensi mereka bagi mempersiapkan diri menuju kemuncak bola sepak dunia, yakni Piala Dunia.

Majulah Sukan Untuk Negara.
Malaysia Tanah Tumpahnya Darahku.
Harimau Malaya Gagah di Persada!


Wassalam.

P/S : Tomorrow is my birthday and this is the best birthday present yet! :)

UPDATE : JUMAAT (31 Disember 2010) CUTI! PM UMUM! Thanks Dato' Sri Najib!

Edisi Posmen : Dari Pintu Ke Pintu....

Andai kata aku seorang Posmen,
pintu ini akan aku kunjungi jua!



Salam,

Apa edisi posmen? Mana ada edisi posmen kat sini... Hehehe..
 
Dari pintu ke pintu tu lirik lagu Kumpulan Fotograf la... Ke Pintu Kasih Mu tajuk dia... Tadi pagi masa pi keja, aku dengaq Suria FM.. Tetiba depa pasang lagu ni.. Lama tak dengaq, truih search kat Youtube.. hahaha.... 

Layan la nohhhh........

Edisi Youtube : http://www.youtube.com/watch?v=_Hwraq1ZDL8


Fotograf - Ke Pintu Kasih Mu

Jernih berkilauan
bagai titisan
embun menghujan

Hening alam rasa
bila namamu
aku lafazkan

Ku saksikan dengannya hati
penuh rindu yang syahdu
Dan berbisik
tentangnya hasrat
jalinan cinta kasih

Dan dari pintu ke pintu
Jangan di langsiri
Dengan tabir kelam
Buka luaskan dengan cahaya

Segala dan semuanya
Tetapkan ku genggam
Penuh kepasrahan
Dan tanpa resah
Terhadap cinta

Di saat bercinta
datang berbagai
bayang bayang menjelma
Dan kerna saktinya
cinta ku teguh
tidakkan luruh 


Hehe.. lagu ni bagi aku salah sebuah lagu yang berkualiti yang pernah dihasilkan artis tanah air. Mari sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Shamrin yang bertindak sebagai vokalis kumpulan Fotograf ni... Takziah diucapkan kepada keluarga beliau...

Wassalamualaikum!