Hati
Assalamualaikum
Disember muncul lagi. Lagi tujuh hari adalah ulang tahun hari lahir aku ke-40. Ya, "baru" e-m-p-a-t-p-u-l-u-h umur aku ya. Hahaha!
Astaghfirullah!
Umur 40 ni aku rasa aku nak tinggalkan banyak benda-benda lagho dan maksiat yang tak berguna, yang merugikan dan yang banyak memberi dosa. Sebaliknya aku nak cuba perbanyakkan amalan yang berguna, mendamaikan dan menambah pahala.
Aku juga nak fokus kepada benda-benda yang lebih bermanfaat seperti mencari rezeki lebih melalui cara yang halal, cuba memenuhi impian anak-anak dan isteri serta impian aku sendiri. Aku juga nak belajar menyimpan sedikit lebih untuk hari tua.
Umrah... / Haji... / Bercuti di luar negeri...
Baru-baru ini lihat beberapa orang teman telah pun pergi menunaikan umrah. Malah sebelum itu pun lagi, ada yang telah menunaikan haji. Masya Allah, Tabarakallah... beruntunglah mereka yang telah dijemput menunaikan ibadah di Tanah Suci!
Aku juga berkira-kira nak menunaikan ibadah ke Tanah Suci... Duit simpanan adalah sedikit, mungkin boleh ambil pakej yang basic untuk pergi. Tapi aku kena fikirkan juga keadaan diri sendiri, isteri dan anak-anak. Bagi aku dan isteri, sudah pasti nak kena mencari masa yang paling sesuai untuk bercuti ketimbang urusan pekerjaan masing-masing.
Bagi anak-anak pula, kena tengok juga kesesuaian untuk bawa bersama. Anak yang sulung mungkin tiada hal sangat, tapi anak yang bongsu itu mungkin agak sukar untuk dikawal jika dibawa bersama buat masa ini. Dan sudah tentulah, bajetnya akan berbeza jika pergi hanya seorang, berdua atau berempat! Aku berdoa agar Allah permudahkan urusanku ini pabila telah ada niat di hati!
Apa pun aku tetap bersyukur dengan segala pemberian, nikmat dan ujian yang Allah beri sepanjang tahun 2025 ini. Tahun 2026 kita belum tahu nasib untung rugi rezeki qada' dan qadar yang Allah akan beri. Aku berharap dan berdoa jua supaya dipermudahkan segala urusan mendatang.
Bukan mudah mengharungi kehidupan aku sebagai seorang aku di dalam dunia aku ketika ini. Ada pelbagai perasaan dan rasa yang harus aku tempuhi. Antara rindu dan tidak tahu apakah dirindui merupakan sesuatu luka yang harus aku baluti. Antara hati dan perasaan, banyak yang perlu dijaga. Dalam masa yang sama, hati sendiri juga perlu dijagai. Moga Allah beri petunjuk yang benar ke jalan diredhai! Moga Allah jadikan aku orang yang mampu dan menghadapi!
Amin.
Wassalam

Comments
Post a Comment