Naik bukit, turun bukit..
Hujung-hujung tahun macam ni, banyak betui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Syarikat-syarikat, agensi kerajaan, universiti, sekolah dan organisasi-organisasi yang lain. Nak pulak masa-masa cuti sekolah macam ni, makin menjadi-jadilah. Samada atas urusan rasmi, separa rasmi atau 100% santai, destinasi-destinasi pelancongan di Malaysia ni tak segan sunyi menerima kunjungan-kunjungan berkumpulan untuk menjalankan aktiviti depa di sana. Keunikan landskap, kekayaan budaya, keindahan alam atau keriangan suasana boleh menjadi faktor sesuatu tempat peranginan dipilih untuk menjalani sebarang aktiviti. Syukurlah, semuanya ada di Malaysia. Pilih saja mana yang sesuai, mana yang berkenan, sudah tentu akan membuatkan bakal pengunjung teruja untuk ke sana.
Lari dari kesibukan...
Jadi sama jugaklah macam agensi yang aku berkerja ni. Untuk merancang 5 tahun ke hadapan, satu pelan atau perancangan harus diadakan. Ini untuk memastikan setiap apa yang bakal dilakukan pada masa hadapan benar-benar bermanfaat dan perlu untuk keuntungan agensi. Sekiranya satu pelan strategik tidak diadakan, tidak mustahil agensi akan kehilangan arah dan tujuan dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Bukan itu sahaja, kegagalan untuk mempunyai pelan strategik akan mempengaruhi anggaran bajet dan peruntukan yang akan dipohon di peringkat agensi pusat. Sekiranya permohonan peruntukan tidak disertakan dengan alasan dan pelan yang jelas, agensi mungkin akan menghadapi masalah besar sekiranya peruntukan yang bakal diberikan tidak mencukupi.
Indah khabar dari rupa..?
Agak berbeza dari apa yang dilihat dan didengar. Perjalanan dari simpang lebuh raya ke kawasan hotel mengambil masa antara 10-15 minit. Jalan yang berbukit dan penuh pendakian ini agak mencabar dan sekiranya menaiki kenderaan ber'cc' rendah, sudah pasti "sakit" jugak nak sampai ke atas. Yuran masuk ke kawasan hotel Colmar Tropicale adalah sekitar RM 10. Sekiranya pergi bersama-sama atas nama organisasi, maka yuran tersebut tidaklah dikenakan. Setibanya di sana, kami menjangkakan suasana nyaman dan tenang walaupun di kala panas membahang waktu tengah hari. Tetapi agak sedikit hampa, keadaan adalah agak 'biasa' dengan hanya sekali sekala angin bukit meniup membawa udara yang segar dan nyaman. Aku boleh jamin, keadaan di hentian Titiwangsa di Lebuh Raya Timur Barat adalah lebih sejuk dan nyaman berbanding keadaan di sini.
Waktu untuk check-in adalah pada pukul 12 tengahari. Tetapi apa yang menyedihkan, terdapat ahli rombongan yang terpaksa menunggu sehingga jam 3 petang untuk dibenarkan masuk ke bilik. Walaubagaimanapun, bolehlah diakui makanan yang disajikan terhadap para pengunjung agak sedap dan menyelerakan. Menu-menu yang agak asing bagi aku, membuatkan pinggan aku penuh sebab nak mencuba makanan-makanan baru. Bukan saja aku, malah boleh dikatakan kesemua ahli rombongan yang lain pon sama. Ada yang berulang kali bangun untuk mengambil hidangan seterusnya untuk mencuba. Semasa sedang makan, sekiranya bernasib baik, anda akan dihiburkan oleh sekumpulan pemuzik dan penyanyi ala-ala jalanan yang disediakan khas pihak hotel untuk menyambut tetamu.
Keadaan di bilik juga tidaklah seindah seperti yang terpamer di laman web http://www.berjayahotel.com/berjayahills/rooms.asp . Pada laman web tersebut, bilik seperti mana yang diberikan kepada kami tidak dtunjuk sekaligus menyebabkan kami beranggapan bahawa bilik yang bakal kami duduki itu agak luas dan mempunyai ruang yang selesa. Namun, kami agak kecewa kerana ruangan di dalam bilik agak sempit dan terhad. Sekiranya ingin menghampar sejadah pun, kita terpaksa melakukannya di celah sempit antara katil dan meja tulis. Antara lain, ialah kerosakan pam pada tandas di bilik air. Pam tidak berfungsi dan air terus menerus mengalir dari pam. Ini sudah tentu kurang menyenangkan.
Satu lagi kejadian berkaitan bilik air. Pada malam kedua berada di sana, kami pulang agak lewat. Sekitar jam 11.30 malam dari dewan mesyuarat. Oleh kerana agak kepenatan, aku tak pulak join member aku yang nak ambil angin sekitar kawasan kolam renang. So, aku pon balik bilik dengan harapan boleh cepat-cepat qodha hajat, solat isyak dan terus tidur. Tapi hampa, cukup hampa. Dalam keadaan tersebut, pintu bilik air aku tak boleh dibuka! Apa dah jadi ni, ada sesiapa di dalam? Rasa cuak tiba-tiba hadir. Bilik kami terletak dihujung barisan. Dah la tu, malam jumaat la pulak. Tapi lama-lama cuak tu hilang pulak sebab perut aku ni dah mula meragam tahap kedua. Mau tak mau, aku call operator. Selepas panggilan dibuat, hampir 10 minit menunggu, masih tiada siapa datang untuk membuka pintu tersebut. Panggilan kali kedua dibuat meminta agar disegerakan. Tetapi 5 minit kemudian, masih belum lagi datang. 15 minit anda dalam keadaan sedemikian, apa akan terjadi kepada anda? Aku call lagi kali ketiga, kali ini dengan nada marah aku mengancam untuk memecahkan pintu bilik air sekiranya masih tiada siapa datang untuk membuka pintu tersebut. Hanya selepas itulah, baru datang seorang technician membantu untuk membuka pintu tersebut dan membaikinya. Agak malang kejadian sedemikian berlaku di sebuah hotel yang agak terkenal.
Solat Jumaat.. Masjidnya?
Bagi yang pernah ke kawasan Berjaya Hills, anda pasti mengetahui tiada masjid disediakan di sana. Pada hari jumaat, yang juga hari terakhir program, mesyuarat telah ditamatkan agak lewat. pada waktu tengah hari. Oleh kerana jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Tinggi tidak sampai 2 marhalah, maka ramai antara kami yang berpegang dengan pendapat wajib untuk sembahyang jumaat pada hari tersebut. Lalu, dari tempat program yang sudah separuh perjalanan ke bawah, kami mengambil keputusan untuk terus mencari masjid di kawasan sekitar, yakni di Lentang. Semasa perjalanan menuju masjid, aku menerima panggilan untuk check out. Katanya masa check out terakhir adalah pada jam 12 tengah hari. Agak terkejut, aku memberikan panggilan itu kepada bos yang ada bersama kami. Selepas negotiate, kami diberikan sehingga jam 1 tengah hari untuk check-out. Memang membangkitkan kemarahan. Akhirnya setelah agak lama 'panas telinga', kami dibenarkan untuk check-out sebaik sahaja pulang dari Solat Jumaat.
Masjid Lentang terletak kira-kira 4-5 kilometer sahaja dari persimpangan masuk ke Bukit Tinggi. Lokasinya terletak hanya di tepi jalan, tetapi bukanlah di tepi jalan sebelah sini. Satu pusingan-u terpaksa dibuat pada tol seterusnya sekiranya anda terlepas simpang yang pertama di sebelah kiri. Itulah yang terjadi kepada kami. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama 5 minit dengan jarak kurang 5 kilometer, akhirnya mengambil masa yang lebih lama. Syukurlah, kami tiba di Masjid tersebut walaupun terpaksa membayar tol 2 kali tanpa apa-apa makna. Setibanya di Masjid, kami dapati jemaah agak kurang dan pada mulanya agak meragui Solat Jumaat boleh diadakan. Namun kebimbangan kami rupanya kurang berasas kerana selepas azan pertama, maka berduyun-duyunlah para jemaah datang memenuhi masjid.
Pulang...
Wassalam...
p/s : agak skema dan pening..... @.@~
Salam, saudara tokapi. Saya pernah juga ke Berjaya Hills suatu ketika dahulu (pada awal 2007). Ya, pada pendapat saya Colmar lebih sesuai sebagai tempat istirehat dan bukannya lokasi bagi kursus atau program.
ReplyDeleteSaudara tokapi ada menyatakan Colmar tidaklah senyaman seperti apa yang dikhabarkan. Tetapi saya bernasib baik kerana melawat Colmar di bawah keadaan yang agak redup dan nyaman.
Saya juga setuju dengan pernyataan saudara bahawa tiada fasiliti masjid disediakan di sekitar Berjaya Hills.
Sekian.
Kah kah kah.. sungguh kamu skema ya.. hahahahaha...
ReplyDelete