Salam..
Rakan-rakan seperjuangan sekalian, bersempena kedatangan Maulidur Rasul 1429, marilah sama-sama kita melihat secara ringkas, fakta-fakta kehidupan Nabi Muhammad SAW, Rasul Besar Junjungan kita. Mudah-mudahan dengan pengingatan kita kepada Rasulullah SAW, akan diberikan syafaat di akhirat kelak. Berselawatlah! Allahumma solli wasallim ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wasohbihi wabarik wasallim!
Keturunan
*Abul Qasim, Muhammad bin Abdullah, bin Abdul Mutallib, bin Hasyim, bin Abdu Manaf, bin Qusaiy, bin Kilaab, bin Murrah, bin Ka’ab, bin Luay, bin Ghalib, bin Fihr, bin Malik, bin An-Nadhr, bin Kinanah, bin Khuzaimah, bin Mudrikah, bin Ilyas, bin Mudhar, bin Nizar, bin Ma’d, bin Adnan. Ini ialah salasilah keturunan Nabi yang disepakati oleh para ulama’. Adapun, salasilah selepas Adnan ini terdapat sedikit persilisihan mengenai berapa orangkah antara Ismail A.S dgn Adnan. Sesetengah Mengatakan 40 orang, manakala sesetengah lagi mengatakan 7 orang. Wallahualam.
Kelahiran & Keluarga Terdekat
Adapun, seperti yang diriwayatkan, Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam bulan Rabiul Awwal, Tahun Gajah. Dan seperti yang kita maklum, 12 Rabiul Awwal juga disepakati kebanyakan ulama’ sbg tarikh lahir Nabi. Jika dilihat pada tahun masihi, lebih kurang pada bulan April, tahun ke 571. Baginda lahir di rumah bapa saudaranya yang terkenal, Abu Thalib di Kampung Bani Hasyim, Mekah. Bapa Rasulullah, Abdullah Bin Abdul Muttalib wafat sebelum Baginda masih di dalam kandungan ibunya. Ibunya pula, Aminah bin Wahab adalah seketurunan jua dengan ayahnya jika dilihat persambungan nasab pada : Aminah binti Wahab bin Abdu Manaf, bin zuhrah, bin Hakim (Kilaab). Nenda baginda, Abdul Muttalib pula seorang kepala Bani Hasyim dan amat disegani di kalangan kaum Quraisy. Pengaruh beliau amat besar dan memainkan peranan penting dalam peperangan, peraturan mahupun hal ehwal agama pada ketika itu. Nama ‘Muhammad’ diberikan oleh Abdul Muttalib kepada cucunya yang baru lahir itu dan nama itu sebenarnya nama yang belum pernah terpakai sebelum itu di tanah Arab. Mengikut adat arab pada zaman dahulu, anak-anak kecil akan disusukan wanita2 badwi di pedalaman, bukan ibunya sendiri. Tujuan mereka ialah untuk menjadikan anak itu lebih kuat tubuhnya, baik lidahnya dan supaya jauh dari keadaan kota yang tidak sihat. Ibu susu baginda bernama Halimah binti Abu Zu’aib bin Al-Harits As Sa’diyah.
Falsafah Seruan Nabi Muhammad SAW.
Adapun, kenyataan ringkas di-atas hanyalah sekelumit yang amat kecil dalam mempelajari sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Silalah rujuki kitab2 sirah yg lama mahupon moden supaya lebih bertambah pengetahuan anda. Maka, seterusnya mari kita kaji apakah asas perjuangan dan falsafah Rasulullah SAW yakni seruannya tentang itikad (Tauhid) menurut Al-Quran dan Hadis.
Seruan Tauhid
1. Beriman Kepada Allah.
Hendaklah kita yakin akan kekuasaan Allah di alam ini. Tiada yang wujud melainkan atas kehendak Allah. Allah sendiri yang mempunyai kuasa dan daya dalam berbuat sesuatu tanpa ada sesuatu apa pun sekutu mahupun menyerupai-Nya. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu sehingga tiada apa yang tersembunyi daripadaNya hatta apa yang terkandung dalam hati-hati manusia. Allah ialah Rabbul ‘Alamin, Penjaga dan Pengatur alam ini. Segala yang terjadi adalah atas kehendakNya dan Dia amat dekat pada kita dan Dia mengabulkan permohonan hamba-hambaNya.
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".
(Al-Ikhlas, 1-4)
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
(Al-Fatihah, 2-4)
170. Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) Dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana Yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana Sesungguhnya bagi Allah jualah Segala Yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(An-Nisa’, 170)
255. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. tiada sesiapa Yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan Dengan izinNya. Yang mengetahui apa Yang ada di hadapan mereka dan apa Yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya)
(Al-Baqarah, 255)
1. Maha berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
(Al-Mulk, 1)
22. Dia lah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Yang mengetahui perkara Yang ghaib dan Yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Hasyr, 22)
59. dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan Segala Yang ghaib, tiada sesiapa Yang mengetahuiNya melainkan Dia lah sahaja; dan ia mengetahui apa Yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun Dalam kegelapan bumi dan tidak gugur Yang basah dan Yang kering, melainkan (Semuanya) ada tertulis di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang terang nyata.
(Al-An’am, 59)
40. Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
(Al-Haj, 40)
186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Al-Baqarah, 186)
Inilah seruan-seruan Rasulullah ke-atas kaum musyrikin yang akhirnya menumbangkan penyembahan kepada berhala dan makhluk. Dibersihkan manusia daripada khayalan yang sia-sia dan merugikan. Dengan seruan ini juga, ditumbangkan para2 nujum dan tukang2 ramal yang berlagak seperti tuhan dapat menentukan nasib orang lain, konon menjadi perantara yang wajib untuk sampai kepada tuhan. Sehingga mereka2 ini menggunakan alasan agama untuk menyekat orang lain untuk berfikir akan kebenaran dan melakukan sesuatu pekerjaan. Namun datangnya Islam menolak mereka ini, kerana Islam menggalakkan umatnya berfikir akan sesuatu kejadian, dan tanpa perantaraan, manusia sebenarnya boleh terus berhubungan dengan Maha Pencipta.
2. Beriman kepada Malaikat.
Dan apa yang dimaksudkan ghaib disini ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat dan difahami manusia dengan akal yang kasar. Sebagai contoh, wajib kita mengimani akan kewujudan malaikat, yakni makhluk yang dicipta dari cahaya yang kerjanya hanya taat kepada Allah, tidak bernafsu dan tidak berfikiran seperti manusia, melainkan hanya tunduk patuh kepada perintah Allah. Para malaikat ini telah ditugaskan dengan tugasan masing2 dalam mengurustadbir apa yang diperintah Allah.
3. Beriman kepada Rasul.
Dan sesungguhnya, pengajaran seterusnya adalah supaya kita percaya bahawasanya terdapat di kalangan manusia ini, manusia pilihan yang diutuskan untuk menjadi pembimbing buat umat manusia di zaman-zaman mereka. Antara manusia pilihan itu ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW sendiri yang diangkat menjadi Rasul. Kesemua mereka membawa mesej yang satu, dari dulu, kini , selamanya, yakni Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah!. Mereka diutus unuk membimbing manusia dan menunjukkan jalannya, sehingga jika datang kelak tanya Tuhan kepada manusia itu, tidak dapat lagi mencari dalih melepaskan diri.
4. Beriman kepada Kitab.
Bahawasanya, kitab-kitab yang diturunkan kepada para nabi ialah tidak lain tidak bukan sebagai penunjuk dan panduan kepada umat manusia. Adalah wajib diyakini, kitab yang terakhir diturunkan buat manusia, Al-Quran itu suci dan kekal buat selama-lamanya hingga kiamat, tidak tercemar seperti kitab2 tedahulu akibat nafsu manusia yang mengubahnya.
5. Beriman kepada Hari Akhirat.
Maka diberitahukan oleh Rasulullah SAW, bahawasanya disebalik kehidupan kita yang sekarang ini, ada kehidupan lain yang menunggu sesudah mati. Maka adanya alam arwah, alam akhirat, alam syurga dan neraka. Wajib bagi kita untuk mempercayai akan adanya hari penghitungan yang Allah akan menjadi Penguasa padanya. Maka apa yang kita lakukan akan dihisab, kejahatan mahupun kebaikan, sebesar2nya hingga sekecil2 atom sekalipun. Maka barangsiapa menerima buku amalan dari sebelah kanan maka untunglah dirinya, namun bagi yang dapat dari belakang dan kiri, celakalah dia.
6. Beriman Kepada Qada’ dan Qadar.
Hendaklah kita meyakini segala sesuatu yang terjadi bukanlah terjadi dengan tersendiri, melainkan telah terjadinya atas kehendak Allah jua. Hendaklah kita yakini bahawasanya sesuatu yang bakal terjadi itu telah tertulis dalam suratan takdir dimana manusia tiada akses kepadanya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hal-hal yang berkaitan masa depan ala mini. Maka sebagai Islam, Rasulullah mengajar kita untuk menerima segala kejadian itu sebagai kejadian yang sudah ditentukan Allah dan tidak seharusnya kita menolak dan mempersoalkannya. Maka redha lah akan ketentuan Ilahi.
Seruan Ibadat
Adapun bagi kehidupan manusia yang sehari-harian ini telah diwajibkan dengan sendi atau apa yang dikatakan rukun yang lima supaya manusia dapat menunjukkan rasa syukur, dan ketaatan kepada Allah.
1. Syahadah : Naik Saksi bahawasanya tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.
2. Sembahyang : Ibadat yang membuktikan tanda ikhlas dalam pengabdian diri kepada Tuhan. Dengan pebuatan sembahyang, kita menyatakan akan kemuliaan dan kebesaran Allah serta mengagungkanNya sebagaimana dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 –“bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.” Dan sebelum bersembahyang itu dituntut kita untuk membersihkan diri dan jiwa, melalui wudhuk dan niat sebelum memulakan pekerjaan sembahyang itu. Dan hendaklah menghadap ke Kaabah di Masjidil Haram semasa bersembahyang.
3. Puasa : Adapun perbuatan puasa itu ialah menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkannya, dari waktu terbit fajar hingga tenggelam matahari. Gunanya ia ialah untuk memupuk diri dan meyakinkan kelemahan di hadapan kuasa Tuhan, untuk meninggikan dan membuktikan ketinggian darjat manusia, yang hidupnya bukanlah diperintah syahwat tetapi sanggup bertanggang lantaran perintah ibadat.
4. Zakat : Adapun zakat itu memberi sebahagian harta yang pada zahirnya milik seseorang itu, tetapi pada batinnya hak orang yang lebih memerlukan dengan kadar2 yang tertentu setelah cukup nisabnya.. Orang yang menerima terdiri daripada fakir dan miskin, amil, muallaf, hamba yg akan dimerdekakan, orang berhutang, serta mereka2 yang berjuang di jalan Allah, Fi Sabilillah! Maka dengan perbuatan zakat ini, perhubungan antara sesama Islam akan bertambah erat dan rapat lantaran kasih mengasihi antara yang berada dengan yg tiada.
5. Haji dan Umrah : Inilah, yakni ziarah ke Masjidil Haram, sekurang2 sekali seumur hidup bagi mereka2 yang mampu untuk melaksanakan keatasnya akan pekerjaan ini. Akan faedah haji dan umrah ini supaya umat Islam dapat menyaksikan di negeri lain akan kekuasaan Allah dan menginsafi kejadian manusia itu sendiri. Semua manusia, tidak kira warna kulit, bahasa, keturunan adalah sama semasa mengerjakan haji. Ini menunjukkan betapa universal nya agama Islam itu sendiri. Islam datang untuk menyatupadukan umat manusia, bukan untuk memecah belah!
Maka inilah seruan-seruan asas yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW. Perkara-perkara inilah yang menjadi teras kepada seruan-seruan Islam yang lebih menyeluruh dan lengkap. Haruslah diingat, seruan2 ini ialah yang menjadi keutamaan yang paling utama dalam berdakwah. Jika perkara-perkara ini tidak dapat kita iktikad dan lakukan, maka susahlah untuk melakukan perkara-perkara lain yang lebih menyeluruh. Lemah tiang, lemah rumahnya. Rumah yang kuat memerlukan tiang yang kuat sifatnya. Mudah-mudahan kita dapat memahami akan falsafah perjuangan Rasulullah ini sebelum terus membincangkan perkara-perkara yang lain. Inilah priority kita! Dengan ini, marilah sama2 mengingati Rasulullah SAW dengan berselawat ke-atas Baginda. Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad, wa’ala alihi wasohbi wasallam!
*Isi kandungan disesuaikan & diadaptasi dari kitab ‘Sejarah Umat Islam’, karangan Allahyarham Prof. Dr. Hamka.
Wassalam....
Pesan ibuku : usah tersilap menilai antara kaca dan permata
Comments
Post a Comment