Bajet 2010 : 1Malaysia, Kemakmuran Bersama

Salam,

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, semalam pada 23 Oktober 2009, Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak telah membentangkan Bajet untuk tahun 2010 bertemakan 1Malaysia : Kemakmuran Bersama.

Secara keseluruhan, saya berpendapat :

1. Bajet yang dibentangkan kali ini adalah realistik dan cukup sederhana. Kepentingan rakyat nampaknya diutamakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mendahulukan rakyat. Banyak inisiatif yang diambil untuk membantu golongan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

2. Bajet kali ini juga melihatkan strategi kerajaan untuk 'menggunakan' syarikat-syarikat swasta terutamanya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu merangsang ekonomi dan membantu dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra rakyat. Projek-projek pembekalan elektrik dan air umpamanya, kini terletak di bahu pihak swasta sebagai main enabler demi kesejahteraan rakyat. Dengan adanya projek-projek tersebut, maka ekonomi setempat di mana projek-projek tersebut dijalankan dapat dijana.

3. Selain itu, peranan pihak swasta (GLC) dalam menyediakan insentif-insentif seperti diskaun, pembangunan infrastruktur, perkhidmatan yang mudah dan murah serta sebagainya dilihat mampu untuk mengurangkan beban rakyat dalam menelusuri keadaan ekonomi semasa yang sedang bergerak untuk pulih. Di dalam masa-masa getir ini, rakyat harus dibantu dan didorong untuk turut sama membantu memulihkan keadaan ekonomi. Hanya dengan adanya insentif-insentif tersebut, barulah rakyat akan lebih mudah berbelanja sekaligus perbelanjaan tersebut akan pulang semula kepada pihak swasta dan akhirnya dari penghasilan itu jugalah dapat digunakan untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi.

4. Program seperti cross fertilizing antara kerajaan dan swasta pula dapat membantu kerajaan dalam menyediakan penjawat awam yang lebih radikal dan berdaya saing setelah mereka memperoleh pengalaman semasa dipinjamkan ke swasta dan begitu juga sebaliknya. Agensi kerajaan yang dipimpin oleh tokoh dari pihak swasta boleh belajar dan mengadaptasi cara kerja pihak swasta yang lebih kompetitif. Selain itu juga, kuasa autonomi yang bakal diberikan kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara sebagai pusat kecemerlangan kerajaan menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam memantapkan organisasi perkhidmatan awam supaya setanding dengan organisasi swasta. Dengan kuasa autonomi tersebut, pihak INTAN akan mempunyai lebih kebebasan dan kuasa dalam merangka strategi untuk menjadi pusat kecemerlangan yang unggul seperti mana institut-institut pengajian yang lain.

5. Bajet kali ini juga memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat. Perubahan kadar beberapa perkara di dalam kutipan cukai indvidu umpamanya memperlihatkan kerajaan sebenarnya sedar akan kesukaran yang dihadapi rakyat. Pelepasan cukai untuk diri telah dinaikkan daripada RM 8000 setahun kepada RM 9000.

6. Selain itu juga, mereka yang melanggan broadband boleh menikmati potongan cukai sehingga RM500 untuk tahun tersebut. Langkah ini selain dilihat untuk mengurangkan beban, ia juga dilihat sebagai langkah untuk memperbanyakkan lagi masyarakat celik IT dan untuk memudahkan mereka menerima maklumat-maklumat terutama sekali di medium alam maya. Sehubungan dengan itu juga, projek broadband berkelajuan tinggi akan dipercepatkan pelaksanaanya dengan kelajuan sehingga 10Mbps.

6. Jika betul-betul diperhatikan, bajet kali ini betul-betul bajet yang mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah. Para petani, penternak dan nelayan juga tidak turut ketinggalan
apabila bakal menerima suntikan dana dalam bentuk subsidi terhadap beberapa perkara yang diperlukan. Juga, kerajaan mengumumkan skim persaraan 1Malaysia di mana Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dipertanggungjawabkan mengurus skim ini. Di bawah skim ini, mereka yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani dan peniaga boleh mencarum wang mengikut kemampuan mereka kepada KWSP. Sama seperti pekerja yang lain, mereka boleh mengeluarkan simpanan yang telah mereka carum itu pada masa mereka mencapai had umur persaraan.

7. Agak menarik kali ini ialah penambahan dana bagi skim pinjaman Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Satu peruntukan khas juga telah diadakan khusus bagi membantu masyarakat India terutamanya mereka yang ingin menjadi usahawan. Ini adalah bukti bahawa kerajaan membahagi keperluan secara adil dan saksama, bukan sama rata.

8. Sektor pendidikan juga dilihat antara sektor yang menerima banyak suntikan kali ini. Kolej komuniti dan Politeknik bakal dinaik taraf serta bakal menerima tabung pinjaman pelajaran untuk kesemua pelajarnya. Selain itu juga, Institut Kemahiran MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta Institut Kemahiran Belia Negara serta Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara turut sama akan menerima dana untuk dinaiktaraf. Kerajaan juga telah mengumumkan pembinaan 6 buah kampus UiTM yang baru pada tahun 2010.

9. Para pelajar sebagai aset utama bidang pendidikan tidak dilupakan. Mulai 2010, pinjaman PTPTN akan ditukar taraf sebagai biasiswa sekiranya pelajar yang menerima bantuan tersebut berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda kelas pertama. Ini sudah tentu satu berita baik buat pelajar dan boleh mendorong mereka untuk berusaha mendapatkan tempat yang terbaik. Melalui cara ini juga, secara automatiknya, hanya pelajar yang benar-benar layak dan sesuai diberikan bantuan yang sewajarnya. Selain itu juga, sebanyak 30 biasiswa nasional bakal diberikan kepada pelajar yang terbaik antara yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi bertaraf dunia.

10. Para pelajar yang layak, terutamanya pelajar tahun satu di IPT akan diberi keutamaan untuk memiliki dan menggunakan pakej netbook di mana mereka boleh menggunakan kemudahan broadband dengan harga yang murah serendah RM 50 sebulan selama 2 tahun. Kadar ini dilihat adalah rendah berbanding kadar biasa. Selain itu juga, mereka yang berumur 13 tahun ke atas akan diberikan kad 1Malaysia secara percuma bagi diskaun tambang kemudahan yang disediakan KTMB selagi mana mereka bergelar pelajar.

11. Sistem kewangan Islam akan diperkukuhkan lagi dengan beberapa inisiatif. Antaranya perluasan "Program Mikro kredit Ar-Rahnu". Ar-Rahnu merupakan kaedah pajak gadai di dalam Islam dan kini akan ditawarkan di bank-bank yang mematuhi amalan syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam. Dengan perluasan program seperti ini, adalah diharapkan lebih ramai mereka yang memerlukan terutamanya orang Islam dapat menggunakannya ke jalan yang betul. Selain itu juga, dalam memperkasakan sistem kewangan Islam, maka kerajaan telah memutuskan untuk memotong beberapa cukai berkaitan dengan kewangan Islam untuk menggalakkan lebih ramai menceburi bidang ini.

Sebenarnya terdapat banyak lagi inisiatif dan strategi lain yang bakal diperkenalkan kerajaan bermula 2010. Tapi tak bolehlah nak ulas semua. Sila dapatkan ucapan Bajet 2010 untuk meneliti inisiatif-inisiatif tersebut. Bacalah dari satu perenggan ke perenggan yang lain nescaya akan anda dapati begitu banyak insentif yang diberikan kepada semua pihak, samada yang "tersurat" dan yang "tersirat". Mudah-mudahan tahun 2010 ekonomi negara kita akan kembali berkembang disamping kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terbela. 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Wassalamualaikum...

p/s: Alhamdulillah.. banyak mana pun rezeki jugak... :)

Comments