Skip to main content

Cerita Aku...

Salam,

Setahun lepas..
Cerita aku ini bermula lebih kurang setahun yang lepas. Pada masa itu aku baru sahaja berpindah rumah dari rumah Jamal ke rumah Paan yang aku tinggal sekarang ni. Alkisahnya, beberapa minggu selepas itu, aku telah menghadiri kursus yang dijalankan di Sungai Petani. Dan buat kali pertamanya aku melihat akan kegunaan sebuah smart phone (kepunyaan rakan) yang boleh menjalankan bermacam-macam fungsi seperti membaca dokumen Adobe PDF, fungsi Wi-Fi dan sebagainya. Dari situ aku mula tertarik dan menanam azam ingin membeli sebuah smart phone dengan fungsi yang sama.


Sebaik saja tamat kursus, aku pun mengambil peluang untuk pulang ke kampung. Maklumlah, sepanjang 14 hari berkursus, para peserta tak dibenarkan pulang walaupun rumah sendiri tidaklah jauh sangat. Oleh itu, kesempatan sehari dua selepas kursus aku manfaatkan untuk singgah ke kampung sebelum pulang ke ibu kota. Dah jadi kebiasaan, kalau balik saja ke kampung, mesti kami sekeluarga akan keluar berjalan-jalan termasuklah pada hari tersebut . Sedang aku mencuci mata melihat peralatan yang dijual, aku telah tertarik kepada sebuah smart phone yang dipamerkan di ruang legar pasaraya tersebut. Dek kerana sudah lama menyimpan minat kepada telefon jenis yang sedemikian, tanpa lengah lagi aku cuba merapati jurujual dan mula bertanyakan soalan mengenai kebolehan telefon tersebut.

Ternyata, jurujual tersebut amat bijak bermain kata-kata. Setiap tutur kata disusun teratur dan ampuh dalam menjawab persoalan yang aku lontarkan. Telefon HTC model Touch Cruise tersebut dilengkapi dengan sistem pengoperasian Windows Mobile 6.1, yang disertakan bersama-sama MS Office Mobile, Set GPS, Kamera, Kamera Video, Perakam Suara, Kemudahan capaian Wi-Fi, Organiser, E-Mel, Video Call dan pelbagai lagi kemudahan. Sebagai seorang yang agak menggilai teknologi mudah alih, aku akhirnya tewas dan setelah berkira-kira sanggup mengeluarkan simpanan aku (yang ketika itu agak banyak) untuk mendapatkan telefon tersebut. Harganya? Cukuplah untuk aku katakan sebanyak sebulan gaji kasar aku (tanpa tolak KWSP) pada ketika itu. Alhamdulillah, aku bersyukur, kerana telefon yang aku kagumi fungsi-fungsinya dapat aku miliki. Antara fungsi yang paling aku minati dan hargai ialah sistem navigasi GPS. Dengan sistem tersebut aku telah sampai ke merata tempat dengan kemungkinan untuk sesat berkurangan. Yang tidak boleh dilupakan ialah perjalanan ke Kuala Terengganu pertengahan tahun ini yang berpandukan GPS dari telefon tersebut.

Beberapa minggu yang lepas..
Beberapa minggu yang lepas aku pulang ke kampung lagi. Kali ini, kepulangan aku bukanlah kerana kursus atau kenduri atau hal-hal yang lain. Kepulangan kali ini hanya biasa, seperti mana yang selalu aku amalkan kalau mempunyai cuti yang agak panjang di hujung minggu. Semasa berada di kampung, aku sekali lagi merasa kagum dengan kebolehan adikku yang membuat panggilan video call melalui talian 3G yang beliau langgan. Aku tahu telefonku mempunyai fungsi untuk berbuat demikian kerana ia tertulis di dalam buku manual yang disediakan. Tetapi talian telefonku masih belum ditingkatkan dengan keupayaan 3G. Aku bercadang untuk mendapatkan kad SIM 3G bagi membolehkan panggilan video call dapat dijalankan.

2 Minggu yang lepas...
Pulang ke ibu kota, aku menerima mesej pesanan ringkas (SMS) dari penyedia perkhidmatan telefon mudah alih ku. Terdapat tawaran untuk naik taraf kad SIM aku secara percuma. Apa yang perlu aku buat untuk menjadikan talian aku dilengkapi kemudahan 3G hanyalah dengan membalas kembali SMS tersebut dengan satu frasa mudah yang lebih kurang begini - "ON 3G". Bagaikan semua kena pada tempatnya, aku pun tanpa berlengah membalas SMS tersebut dan terbukti, pada keesokan harinya, aku mula menerima sambungan 3G seperti mana yang dipaparkan oleh skrin telefonku itu. Gembira ku rasa hanyalah sementara kerana selepas dinaiktaraf ke 3G, panggilan video call masih gagal dijalankan. Sebaliknya, yang terjadi ialah telefon ku itu ku rasa menjadi cepat panas dan cepat benar kuasa baterinya menurun.

Seminggu yang lepas..
Telah puas aku memikirkan dalam tempoh seminggu untuk membolehkan video call dibuat. Namun semuanya menemui jalan bentu. Habis seluruh setting aku 'jelajahi' namun masih belum dapat aku temukan penyelesaiannya. Aku mula berasa sangsi, adakah aku telah tertipu dengan fungsi yang selama ini aku fikirkan dapat berjalan dengan lancar? Atau adakah aku sendiri yang tidak mengetahui setting yang sebetulnya?

Aku akhirnya mengambil keputusan untuk set semula secara hard-reset telefon tersebut supaya segala perubahan kepada perisian dan sistem operasi yang telah dilakukan terdahulu dapat dikembalikan semula pada yang asal. Setelah backup dijalankan maka proses tersebut pun dilaksanakan. Ternyata, setelah kembali kepada sistem yang asal, video call buat kali pertama dapat dibuat dan mereka yang bertuah menerima panggilan itu tak lain tak bukan ibu dan ayah aku.

Tanpa aku sedari, itu jualah kali yang terakhir panggilan tersebut dapat dibuat. Pada malam tersebut, aku menyambungkan telefon itu kepada notebook supaya kerja-kerja pemindahan dokumen termasuk backup yang telah dilakukan terlebih dahulu serta beberapa fail yang berkaitan dengan sistem GPS. Tiada masalah semasa sambungan mula dibuat. Semuanya berjalan dengan lancar hinggalah pada keesokan harinya.

Pagi Sabtu yang lalu..
Seperti biasa, aku bangun di awal pagi untuk menunaikan solat subuh. Tapi pada pagi itu jam penggera yang telah dipasang pada telefon tersebut nampaknya tidak berbunyi. Aku mengambil dan memeriksa telefon itu yang masih bersambungan dengan notebook yang juga masih hidup. Puas aku cuba mengaktifkan skrinnya tetapi masih tidak berjaya. Dulu pernah sekali terjadi sedemikian. Apa yang harus dilakukan hanyalah mengeluarkan bateri telefon, dalam masa beberapa minit, masukkan kembali serta hidupkan. Tetapi kaedah itu tidak juga berjaya kali ini. Puas mencari di internet dan bermacam-macam kaedah dilakukan. Yang paling ekstrem, adalah pengecas USB buatan sendiri, untuk cas bateri telefon yang difikirkan punca masalahnya. Namun, usaha itu semua gagal.

Setelah gagal untuk menghidupkan langsung telefon tersebut, aku mengambil keputusan untuk menghantar telefon tersebut untuk diperiksa oleh pengedarnya yang sah di Malaysia. Pagi Sabtu itu, dengan nekad, aku mengorak langkah menuju ke pusat bandar untuk menjalankan misi ini. Walaupun pada mulanya aku tersilap tempat dan terkeliru akan tempatnya, namun telefon tersebut berjaya diserahkan untuk diagnosis. Aku perlu membayar RM 50 untuk diagnosis. Bayaran itu akan ditolak daripada kos baik pulih sekiranya aku bersetuju dengan harga tawaran baik pulih yang akan diberikan nanti. Mahu tidak mahu, terpaksa aku relakan RM 50 tersebut walaupun pada ketika itu poket hampir kering. Masa untuk diagnosis pula dijangka sehingga 3-4 hari. Disebabkan jaminan telah tamat hampir beberapa bulan yang lalu, maka kos pembaikan terpaksalah aku tanggung.

Terserahnya telefon itu untuk diagnosis, ini bermakna aku kini terputus hubungan dengan orang lain. Mahu tidak mahu, telefon sementara harus dibeli kerana pihak pengedar telefon yang berkenaan tidak dapat memberikan temporary replacement kepada aku. Telefon yang lama telah ku tinggalkan di kampung. Untuk itu, dari pusat bandaraya aku bertolak ke Mines dan di situ aku berjalan-jalan mencari telefon yang sesuai untuk dijadikan temporary replacement dalam masa 3-4 hari yang bakal mendatang. Oleh kerana telefon yang ku perlukan kali ini hanyalah untuk fungsi-fungsi asas seperti membuat panggilan dan SMS sahaja, maka tiadalah keghairahan untuk membelek satu persatu telefon yang dipamerkan. Cukup sekadar bertanya harga dan fungsi asas telefeon tersebut.


Akhirnya, setelah puas mencari, aku akhirnya membeli sebuah telefon Nokia 1208 dengan harga RM 94. Telefon ini cukup-cukup mudah dan fungsinya mencukupi walaupun terhad. Kembali menggunakan telefon seperti ini membuatkan aku kembali terkenangkan telefon yang pernah aku gunakan semasa zaman menjadi pelajar dahulu, yakni Nokia 3310 dan Nokia 3530. Telefon yang mudah dan ringkas ini akhirnya menjadi penyambung 'talian hayat' antara aku dan dunia luar. Rasa insaf tiba-tiba hadir di dalam diri betapa sebelum ini kita kurang menghargai apa yang kita ada.

1-2 hari yang lepas..
Puas aku menunggu panggilan telefon daripada pihak yang mendiagnosis telefon ku itu. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menghubungi mereka. Menurut orang yang mengambil panggilan ku itu, telefon aku sedang lagi di diagnos dan keputusan akan diketahui dalam masa 1-2 jam. Pelik aku... Dah hantar 3-4 hari yang lepas, hari ini baru nak siap diagnosis? Sejam kemudian aku menerima panggilan. Panggilan tersebut agak mengecewakan kerana aku hanya diberitahu bahawa main board telefon itu telah rosak. Aku cuba bertanyakan puncanya namun ia tidak dapat dijawab. Apa yang aku diberitahu ialah bila main board baru dimasukkan, telefon aku boleh berfungsi seperti biasa. Kos untuk pembaikan mencecah RM 1k++

Aku berfikir semasak-masaknya. Perlukah aku mengorbankan RM 1k untuk membaikpulih telefon tersebut? Atau lebih baik duit sebanyak itu aku gunakan untuk membeli telefon baru yang pada masa sekarang ini lebih murah dan fungsinya juga telah ditambah? Apa jaminannya bahawa kerosakan yang sama tidak berulang sedangkan alat gantian juga dikeluarkan oleh pihak yang sama? Adakah jaminan 3 bulan barang gantian tersebut mencukupi sedangkan telefon yang baru ku pakai setahun setengah itu pun sudah mempunyai masalah? Semuanya berlegar-legar di fikiran. Setelah konsultasi dengan ibu dan ayahku, maka aku menghubungi kembali pusat berkenaan untuk memaklumkan bahawa aku tidak bersetuju dengan harga baikpulih yang mereka tawarkan. Aku diberitahu bahawa aku boleh datang mengambil kembali telefon ku itu dan RM 50 melayang kerana aku tidak meneruskan proses baik pulih tersebut. Petang itu, aku bergegas ke pusat bandaraya untuk mengambil kembali telefon tersebut. Terima kasih kepada kemudahan lebuh raya yang disediakan, perjalanan dari Putrajaya tersebut hanya mengambil masa setengah jam. Sesampai di sana, aku terus menuju ke pusat baikpulih dan mengambil telefon ku itu untuk dibuat kenang-kenangan.

Seminggu dua yang akan datang..
Perlukah aku membeli telefon yang baru atau cukupkah dengan apa yang ada sekarang? (Nokia 1208) Atau haruskan aku mengambil peluang semasa pulang ke kampung nanti untuk mengambil semula Sony Ericsson yang telah ku tinggalkan dulu? Mungkin membeli sebuah lagi smart phone yang baru? Kesemuanya masih samar-samar. Namun apa yang pasti, aku bersyukur dengan telefon gantian yang aku ada sekarang ini.

Sekian sahaja dari aku,
Wassalam..

ps : amacam, skema dak ayat kisah benar aku neh? hahaha..

Comments

Popular posts from this blog

Sollu 'ala Rasulillah habibil Mustofa..... Maulidur Rasul S.A.W

Assalamualaikum... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasohbihi wabarik 'alaih.. 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah, lahirlah penghulu kita Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.... Kita sebagai ummat beliau seharusnya mencuba untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti beliau sebanyak mana yang kita mampu..... Hari ini 12 Rabi'ul Awwal 1433 Hijrah, kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai bukti kita kasih dan cintakan beliau.... Dan untuk mencapai maksud kecintaan itu, kita hidupkanlah sunnah Rasulullah S.A.W sebanyak mana termampu dan yang boleh kita lakukan... Berselawatlah kepada  beliau, mudah-mudahan urusan kita dipermudahkan dunia dan akhirat... The Chosen One In a time of darkness and greed It is your light that we need You came to teach us how to live Muhammad Ya Rasool Allah You were so caring and kind Your soul was full of light You are the best of mankind Muhammad Khaira Khalqillah Sallu ‘ala Rasulillah, Hab

Lagu nie... hehee...

Salam... Minggu lepaih aku tgk citer apa tah nama dia kat tv1 tu.... alaa.. yg citer Minang tu... Nun disana cintaku kot tajuk dia.. (amboi tajuk..huhu..) hehee... menarik jugak cerita ni sbb depa cakap bahasa Minang... seb baik ada subtitle, paham la jugak kan... yg aku suka sket kt cerita ni adalah lagu tema dia.. hehe.. cam best saja dengaq walau aku x tau makna dia yg tersurat dan tersirat camtu... nih aku jumpa kat tenet lagu dia.. ada lirik asai dan transliterasi ke bahasa Melayu, tapi aku still x dpt tangkap makna tersirat dia... hehee.. meh kita dengaq sepam lagu ni... Mudiak Arau (Edited pada 1 Disember 2009 -- Link yang lama dah rosak.. hehe..) Anak urang sabuak andaleh yo mamak oi singgah ka rumah Si sutan mudo.. si sutan mudo Singgah ka rumah.. hai si sutan mudo.. si sutan mudo Bia habih hai bialah tandeh yo kanduang oi Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Indak dapek hai musim manyiang, ya tuan hai.. Musi

Asal Bangsa Melayu?

Salam... Semalam, kita telah dikhabarkan bahawa istilah Bahasa Malaysia akan digunakan bagi menggantikan Bahasa Melayu... Alasan yang diberikan oleh kabinet kerajaan Malaysia ialah untuk menguatmantapkan (hahaha.. istilah baru ke nih? sori aku mereka-reka sket.. lol) hubungan antara kaum dan integrasi antara rakyat berbilang kaum. Kalau tak silap aku la kan, dulu isu ni pernah panas dengan bantahan dari beberapa pihak yg risau akan bahasa Melayu ini akan hilang identitinya. Ada berpendapat Bahasa Melayu perlu dibiarkan seperti mana yang dituturkan dan bukan dibakukan tanpa usul periksa hingga menjadi pelik perkataan-perkataan itu. Kadangkala, sebutan Melayu itu hilang Melayu nya bila ia ditutur tanpa intonasi dan lenggok yg mencerminkan bahasa melayu... ini terjadi bila ia ditutur dgn cara yang 'dull', straight, plain dan tiada jiwa di dalamnya... Bahasa Melayu ditutur dgn lenggok Cina dan India.. dimana lagi Melayunya? Oleh itu agak tepat jugaklah langkah kerajaan menggantikan