Skip to main content

100 Hari Dato' Sri Najib

Salam,

100 Hari Perdana Menteri ke-6

Hari Sabtu lepas merupakan genap 100 hari Dato' Sri Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Sepanjang 100 hari tersebut, banyak perkara yang telah dilakukan beliau yang mana mendapat reaksi yang berbagai-bagai di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang bersetuju dan berterima kasih, ada pula yang menghina dan mengeji kerana mereka menganggap apa yang disebut dan diperkatakan oleh beliau hanyalah retorik dan modal politik semata-mata.

Bagi penulis, reaksi yang bercampur-campur ini adalah lumrah dan merupakan satu cabaran bagi setiap pemimpin yang memimpin sesebuah negara. Apatah lagi, negara kita ini adalah negara yang berbilang bangsa dan mempunyai kebudayaan yang pelbagai - jadi tidak hairanlah jika setiap perkara yang dilakukan tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Bermula sejak diangkat menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengejutkan semua pihak dengan pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA dari kem Kamunting. Pembebasan tersebut termasuk pembebasan tahanan HINDRAF, Jemaah Islamiyah dan Warga Asing atas pelbagai kesalahan yang menggugat keamanan negara. Kata Dato' Sri Najib, pembebasan ini adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk menjadi populis. Tun Mahathir juga ketika itu mengakui bahawa ia adalah satu keputusan yang bijak.

Selain daripada itu, Dato' Sri Najib juga telah mengumumkan penarikan balik larangan penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang disambut baik oleh PAS dan PKR. Ini adalah salah satu lagi tindakan yang tidak diduga oleh semua kebanyakan pihak. Bagi Dato' Sri Najib, kerajaan akan bertindak mengikut prinsip keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira fahaman politik dan sebarang bentuk diskriminasi. Selaras dengan itu, beliau turut mengumumkan kajian semula undang-undang ISA untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini supaya kelihatan lebih adil dan mengikut kepentingan rakyat. Pihak media pula dijanjikan dengan kebebasan tetapi dengan syarat kebebasan itu hendaklah disertakan dengan keadilan dan tanggungjawab.

Sehari selepas pelantikan beliau, sekali lagi beliau membuat kejutan apabila melakukan lawatan mengejut di sekitar kawasan Petaling Street dan beberapa lagi kawasan di sekitar Kuala Lumpur. Berasaskan slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Dato' Sri Najib tidak menunggu lama untuk membuktikannya. Rakyat Didahulukan apabila lawatan mengejut kali kedua di sekitar kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Pudu Raya, telah menyebabkan beliau mengarahkan supaya satu kajian menyeluruh mengenai kesesakan dan sistem pengangkutan Kuala Lumpur dijalankan. Beliau juga mahu projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sekian lama segera disiapkan untuk kemudahan rakyat. Selain itu, kemudahan di Pudu Raya serta kawasan sekitar akan dipertingkatkan untuk keselesaan rakyat.

Selain itu, kerajaan juga telah mengambil langkah untuk membantu rakyat di Sabah dengan pengambilalihan Sabah Medical Centre. Langkah yang menelan belanja RM 280 juta itu bertujuan untuk membantu rakyat Sabah, terutamanya yang berada di sekitar Kota Kinabalu untuk memperbaiki taraf perkhidmatan kesihatan yang diberikan. Selain dari itu juga, Dato' Seri Najib telah memperkenalkan "Biasiswa Nasional" dari JPA yang akan memberikan bantuan kepada para pelajar paling cemerlang tanpa mengira kaum. Sistem berasaskan merit ini membuktikan bahawa Kerajaan tidak pernah mendiskriminasi pelajar mengikut kaum. Pengumuman ini menggembirakan sesetengah pihak tetapi lain pula reaksi di pihak yang lain.

Langkah pengumuman Dato' Sri Najib terhadap Liberalisasi Sektor Perkhidmatan dan Liberalisasi Sektor Kewangan contohnya, mendepat sedikit penentangan dari kalangan Bumiputera. Bagi mereka, langkah ini sudah tidak selari dengan kerangka Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan sendiri oleh ayahanda Dato' Sri Najib, Tun Abdul Razak untuk membantu kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu. Begitu juga dengan langkah-langkah seperti Nyahkawalseliaan FIC yang dilihat mampu mengembalikan pelaburan antarabangsa di Malaysia. Ini sudah tentu satu cabaran untuk Dato' Sri Najib. Untuk itu, PERKASA telah mengeluarkan sebuah kenyataan seperti berikut : "1Malaysia tidak ketepi hak Melayu". Di dalam pertemuan tersebut, Dato' Sri Najib memberitahu bahawa UiTM akan mengambil lebih banyak pengambilan sehingga 200,000 penuntut untuk meramaikan lagi profesional Melayu. Selain itu juga, Majlis Amanah Rakyat, atau MARA akan menerima dana suntikan sebanyak RM 550 juta untuk pembangunan orang Melayu dan Bumiputera. Selain itu, dilaporkan juga bahawa pihak PBT diarakah untuk mempermudahkan pengeluaran lesen untuk peniaga kecil dan sederhana.

Selain itu, Danajamin Nasional diwujudkan untuk membantu syarikat memperoleh dana dalam pasaran bon. Ini sudah tentu untuk menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk lebih berani dan berdaya saing dalam menceburi bidang ekonomi berkaitan. Selain itu juga, penubuhan Ekuiti Nasional atau Ekuinas yang merupakan sebuah dana bagi membantu pelaburan di dalam sektor-sektor yang memberi pulangan yang tinggi. Kesemua ini adalah untuk membantu mereka yang berada di sektor ekonomi untuk berkembang dengan lebih kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Malah, langkah-langkah ini adalah merupakan sebahagian daripada Model Ekonomi Baru yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan. Untuk itu, satu majlis penasihat yang diberi nama Majlis Penasihat Ekonomi Negara telah ditubuhkan untuk mengkaji model ekonomi baru yang memberi nilai tambah yang tinggi serta berinovasi untuk kemajuan negara.

Selain daripada itu, penunjuk aras prestasi atau Key Performance Indicators (KPI) telah diperkenalkan untuk menilai sejauh mana kemampuan kerajaan dalam melaksanakan kemajuan. Menteri yang mengetuai kementerian akan menjadi orang yang dinilai KPI mereka untuk tujuan ini. Ia juga akan digabungkan dengan keberhasilan utama nasional atau Key Result Area (KRA) supaya rakyat dapat menilai pencapaian kerajaan dalam beberapa perkara atau sasaran yang bakal diumumkan kelak. Selain dari itu, terdapat perubahan di sektor awam di mana mereka yang bekerja di sektor swasta boleh diserap masuk ke sektor awam untuk menambah keberkesanan sektor awam. Selain itu, merek di sektor awam juga diberi peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman di syarikat berkaitan kerajaan atau GLC supaya dimanfaatkan apabila kembali ke sektor awam. Anggota perkhidmatan awam yang sudah bekerja selama 15 tahun tetapi masih di gred lantikan akan dinaikkan pangkat.

Di pihak swasta, satu kajian akan dlaksanakan untuk mewujudkan satu skim pencen untuk mereka serta tabung pemberhentian kerja. Ini untuk memastikan mereka yang bekerja di sektor swasta juga bakal memperoleh jaminan dan kebajikan yang lebih baik dari sebelumnya. Selain itu, Dato' Sri Najib juga mencadangkan supaya satu badan Baitulmal Kebangsaan diwujudkan dimana harta-harta umum umat Islam dapat diselenggara secara terpusat dan terancang. Ini sudah tentu dapat membantu umat Islam dengan lebih luas dan lebih terbuka, yakni kekayaan umat Islam di suatu-suatu negeri hasil dari kutipan zakat dan sedekah contohnya dapat diberikan kepada umat Islam di negeri-negeri lain yang memerlukan bantuan.

Tidak boleh puaskan hati semua pihak

Disebalik pengumuman serta langkah-langkah pembaharuan ini, terdapat beberapa perkara yang merupakan langkah berani kerajaan di bawah pimpinan Dato' Sri Najib. Antaranya dasar liberalisasi yang nampak pada mulanya ingin menidakkan hak istimewa orang Melayu dalam pegangan saham / ekuiti. Begitu juga dengan langkah-langkah memudahkan pelaburan asing masuk ke Malaysia untuk melabur. Perkara-perkara ini merupakan antara yang paling dikritik setakat ini kerana bagi orang-orang bumiputera, khasnya kaum Melayu, tindakan-tindakan ini hanya merugikan mereka. Bagi mereka, mereka belum nampak satu pun lagi pengumuman besar Dato' Sri Najib yang menguntungkan orang Melayu. Hal ini sewajarnya diberi perhatian Dato' Sri Najib kerana jika tidak, segala pembaharuan yang diperkenalkan tidak akan membawa makna apa-apa sekiranya ia membawa kepada kebencian oleh bumiputera dan orang Melayu khasnya.

Untuk mengatakan bahawa hanya orang Melayu sahaja yang mengkritik beberapa dasar tersebut tidaklah tepat. Sebagai contoh, kes terbaru ialah pemansuhan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PPSMI telah diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada 2003 yang lalu untuk memantapkan penguasaan pelajar dalam bidang Sains dan matematik. Ideanya ialah supaya memudahkan para pelajar mencari maklumat di zaman siber ini. Oleh kerana kebanyakan ilmu sains dan matematik buat masa sekarang ini disebarkan melalui bahasa antarabangsa yakni bahasa Inggeris, Tun Mahathir ketika itu melihat bahawa betapa perlunya para pelajar kita didedahkan kepada Sains dan Matematik dalam bahasa ini. Tidak perlu lagi satu proses terjemahan dilakukan untuk membolehkan mereka belajar. Malah pencarian maklumat akan menjadi lebih mudah dengan kewujudan internet. Satu pencarian kata kunci dapat memberi 1000 maklumat yang mana kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

Tetapi kerajaan baru-baru ini mendapati dari hasil kajian bahawa prestasi pelajar menurun. Walaupun didapati berbeza dengan beberapa kenyataan dari Kementerian Pendidikan sendiri sebelum ini, hasil kajian kali ini dijadikan alasan untuk kerajaan memansuhkan PPSMI yang akan dijalankan pada 2012. Selain itu, alasan untuk membantu pelajar di kawasan kampung dan memartabatkan bahasa Melayu juga dilihatkan sebagai alasan yang tidak kukuh. Banyak persoalan boleh dibicarakan mengenai hal ini. Ada yang melihat pemansuhan ini menunjukkan tanda kerajaan ingin memenangi hati rakyat yang menentang PPSMI. Gerakan Mansuh PPSMI atau GMP sebagai contoh, telah mengadakan satu perhimpunan dengan kolaborasi pihak pembangkan yang mengumpulkan ribuan rakyat atas nama menentang PPSMI.

Mungkin juga Kerajaan mengambil kira perhimpunan ini atau mungkin juga tidak. Sekiranya ya, maka Kerajaan juga perlu mengkaji semula keputusan tersebut dengan melihat sokongan rakyat kepada PPSMI. Selama ini, rakyat yang menyokong PPSMI terdiri daripada mereka yang berbilang bangsa dan kebanyakannya penghuni bandar. Mereka-mereka ini tidak mengadakan sebarang tunjuk perasaan seperti anti-PPSMI kerana mereka yakin bahawa dasar yang baik pada pandangan mereka itu akan diteruskan. Malangnya, mereka yang menyokong ini tersentak kerana keyakinan mereka itu telah disentap dengan pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan PPSMI. Ini dapat dilihat di blog Tun Mahathir, yang mana pada satu undian menunjukkan lebih 80% orang yang mengundi dari keseluruhan 75 ribu undi (setakat 13 Julai 2009) menentang keputusan kerajaan ini. Diharapkan dengan keadaan ini, kerajaan dapat mencari jalan tengah supaya tidak kehilangan sokongan dari kedua-dua belah pihak.

11 hadiah sempena 100 hari

Sempena 100 hari Dato' Sri Najib menjadi Perdana Menteri, beliau telah 'menghadiahkan' 11 berita gembira kepada rakyat. Ada yang mengatakan khabar gembira ini sebagai retorik dan ada juga yang berasa gembira. Seperti biasa, setiap sesuatu itu tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Namun, marilah kita sama-sama mencari dan menghurai disebalik maksud 11 khabar gembira tersebut.

1.Pengguna kad prabayar, Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak menerima diskaun 20 peratus.

- Langkah ini dilihat sebagai menguntungkan rakyat yang kerap menggunakan kenderaan persendirian untuk berulang-alik ke tempat kerja. Apatah lagi bagi mereka yang terpaksa melalui lebih dari 3-4 tol sebelum tiba ke destinasi masing-masing. Bagi mereka ini, diskaun sebanyak 20% tersebut walaupun boleh dikatakan hanya 20% tetapi mereka hanya perlu membayar 80% sahaja. Jika sebelum ini, perlu membayar RM 100, dengan pengumuman ini, hanya perlu membayar RM80. Bayangkan sekiranya dapat berjimat RM20 sebulan, kalau setahun sudah dapat mengumpul RM120 yang mana mungkin cukup untuk dibuat belanja untuk kebajikan dan sebagainya.

Tetapi bagi sesetengah pihak lagi, mereka mungkin tidak terkesan dengan hal ini. Adakah mereka akan berasa rugi? Ya jika mereka tidak memikirkan yang tersirat dalam hal ini. Sebenarnya, pengenalan perkara ini akan menyebabkan lebih ramai pengguna lebuhraya untuk menggunakan Smart Tag dan Touch n Go untuk menikmati faedah diskaun tersebut. Dengan ini, urusan di tol menjadi lebih singkat dan sekaligus dapat mengurangkan kesesakan semasa di tol. Oleh itu, mereka yang jarang menggunakan tol tidak perlu lagi menunggu dengan lebih lama di tol untuk membuat pembayaran tunai kerana sudah pasti lebih ramai akan menggunakan Snart Tag atau Touch n Go. Bagi pengguna Smart Tag dan Touch n Go pula, kesesakan di tol bukanlah suatu masalah kerana buat masa ini lebih banyak lorong Touch n Go dibuka berbanding lorong tunai!

2. Kerajaan akan tawarkan 44,000 unit perumahan rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

- Langkah ini dilihat sebagai langkah untuk memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki harta sendiri. Dengan penjualan ini, para penyewa yang hanya bertaraf penyewa buat sekian lama akan bertukar taraf pemilik sekiranya mereka membeli rumah-rumah ini. Dan apabila bergelar pemilik, sudah tentu mereka tidak lagi risau daripada ancaman-ancaman diugut keluar malah, mungkin pada satu hari boleh menyewakan kembali rumah tersebut sebagai satu modal pelaburan jangka panjang.

3. Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen baru mereka berkuat kuasa serta-merta.

- Ini merupakan satu lagi langkah untuk memajukan para peniaga kecil. Dengan potongan ini, para peniaga kecil dapat suatu rangsangan baru untuk terus memajukan perniagaan mereka. Jika dilihat dari sudut tersiratnya, kebanyakan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan (termasuk Putrajaya dan Labuan) adalah bertaraf Bumiputera. Secara tidak langsung, ia dilihat antara langkah-langkah memajukan ekonomi bumiputera dan Melayu.

4. Kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam masa tiga bulan akan datang.

- Seperti juga langkah diatas, langkah ini kelihatan untuk membuka lebih peluang buat pengusaha teksi untuk menambahbaik perkhidmatan mereka. Dengan terlulusnya lebih banyak permit teksi, maka mereka perlu bersaing untuk memberikan perkhidmatan terbaik agar perkhidmatan mereka dipilih oleh orang ramai. Dari dengan itu, kita sebagai rakyat bakal melihat satu peningkatan perkhidmatan teksi yang lebih baik. Dari segi yang tersiratnya pula, seperti juga diatas, secara tidak langsung membantu usahawan-usahawan bumiputera yang berada di dalam bidang ini.

5. Langkah-langkah drastik bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.

- Pada pendapat penulis, ini merupakan satu amaran kepada para penjenayah dan mereka yang terlibat dengan rasuah. Selama ini, pihak Polis telah menjalankan tugas dengan baik untuk menentang penjenayah. Akhir-akhir ini, kita melihat semakin ramai penjenayah yang ditembak mati oleh pihak Polis -- mungkin sebagai satu bentuk amaran bahawa Polis lebih serius dalam menangani jenayah. Begitu juga, dengan kewujudan SPRM yang akan melakukan siasatan dengan bebas terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah. Mungkin selepas ini akan diperkenalkan pula satu mekanisme atau peraturan baru untuk mencegah rasuah di semua peringkat.

6. Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.

7. Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.

8. Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak.

- Langkah-langkah di atas ini pula adalah suatu kesinambungan dari pemerintahan kerajaan sejak dahulu lagi. Dengan penambahan kemudahan dan penjagaan kebajikan di Sabah dan Sarawak, adalah diharapkan taraf hidup mereka di pedalaman akan meningkat dan akan bersama-sama dalam kemajuan yang kita bakal kecapi.

9. Kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

- Langkah ini dilihat sebagi satu langkah bijak kerajaan dalam menangani masalah mat rempit atau mereka yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Acapkali kedengaran, mereka yang menunggang motorsikal tanpa lesen yang sah memberi alasan tidak mempunyai duit untuk masuk ke kelas memandu. Akibatnya mereka menunggang tanpa lesen dan tidak dilengkapi ilmu-ilmu yang sewajarnya untuk menunggang motorsikal. Ini menyebabkan mereka menjadi liar dan kurang ajar di jalan raya. Dengan pengurangan ini juga, dijangkakan lebih ramai yang selama ini tidak tahu menunggang motorsikal akan mengambil lesen dan menggunakan motorsikal untuk ke tempat kerja. Maklum sajalah di zaman kelembapan ekonomi ini, dimana harga minyak akan mengalami kenaikan, penggunaan motorsikal sebagai alternatif kepada kereta boleh menjadi satu penyelesaian. Lebih ramai menggunakan motorsikal, maka akan kuranglah kesesakan di jalan raya.

10. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India.

- Langkah ini dilihat sebagai janji kerajaan untuk membantu kaum India. Sebelum ini HINDRAF menuduh pihak kerajaan tidak memperdulikan nasib kaum India dan membiarkan kaum India dalam kesusahan. Walaupun kerajaan tidak pernah membuat sedemikian, namun persepsi salah yang dibangkitkan HINDRAF ini semakin menebal dikalangan kaum India. Oleh dengan itu, peruntukan TEKUN yang ditambah keseluruhan RM 150 juta dengan 10% yakni RM 15 juta diperuntukan untuk kaum India hendaklah diambil peluang oleh kaum India sendiri dalam usaha memajukan diri dan masyarakat mereka,

11. Tabung unit amanah baru dinamakan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

- Hadiah terakhir yang diumumkan ini sudah tentu bakal memberi manfaat kepada semua pihak. Di pihak rakyat, pelaburan seperti ini akan menanamkan sifat berjimat cermat untuk mengumpul dana supaya dapat dilaburkan dan diberi pulangan berlipat kali ganda. Di pihak kerajaan pula, dengan adanya pelaburan oleh rakyat, maka lebih banyak sektor-sektor ekonomi dapat dibuat pelaburan supaya pembangunan dapat terus dijalankan serta dapat memajukan negara Malaysia yang tercinta ini.

Penutup

Bagi penulis, walaupun baru 100 hari, Dato' Sri Najib telah berjaya menambat hati dan sanubari rakyat. Walaupun penulis sendiri tidak bersetuju dengan beberapa perkara seperti pemansuhan PPSMI, namun bagi penulis, apa yang penting ialah kemakmuran dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat yang lebih utama. Apa yang lebih penting untuk kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib selepas ini ialah untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seterusnya memakmurkan negara. Harapan penulis juga, supaya Dato' Sri Najib dan ahli-ahli kabinet yang lainnya dapat mendengar suara majoriti dalam membuat keputusan. Jikalau terdapat pertentangan antara rakyat sendiri, maka rakyat haruslah diberi pilihan untuk menetukan dasar kerajaan melalui pilihan umum atau referendum bagi sesuatu isu. Dengan ini, rakyat akan didahulukan. Dengan mendahulukan rakyat, barulah prestasi dapat ditingkatkan. Rakyat akan menilai semua ini, oleh itu tunaikanlah janji-janji dan segala cadangan yang baik supaya terus mendapat sokongan dari masyarakat. Penulis mendoakan kejayaan Dato' Sri Najib dalam menerajui negara dalam hari-hari mendatang. Semoga negara kita mendapat kemakmuran, kebahagian, kesejahteraan, kerahmatan serta keampunan dari Allah SWT, insya Allah...

Wassalam..

Comments

Popular posts from this blog

Sollu 'ala Rasulillah habibil Mustofa..... Maulidur Rasul S.A.W

Assalamualaikum... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasohbihi wabarik 'alaih.. 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah, lahirlah penghulu kita Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.... Kita sebagai ummat beliau seharusnya mencuba untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti beliau sebanyak mana yang kita mampu..... Hari ini 12 Rabi'ul Awwal 1433 Hijrah, kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai bukti kita kasih dan cintakan beliau.... Dan untuk mencapai maksud kecintaan itu, kita hidupkanlah sunnah Rasulullah S.A.W sebanyak mana termampu dan yang boleh kita lakukan... Berselawatlah kepada  beliau, mudah-mudahan urusan kita dipermudahkan dunia dan akhirat... The Chosen One In a time of darkness and greed It is your light that we need You came to teach us how to live Muhammad Ya Rasool Allah You were so caring and kind Your soul was full of light You are the best of mankind Muhammad Khaira Khalqillah Sallu ‘ala Rasulillah, Hab

Lagu nie... hehee...

Salam... Minggu lepaih aku tgk citer apa tah nama dia kat tv1 tu.... alaa.. yg citer Minang tu... Nun disana cintaku kot tajuk dia.. (amboi tajuk..huhu..) hehee... menarik jugak cerita ni sbb depa cakap bahasa Minang... seb baik ada subtitle, paham la jugak kan... yg aku suka sket kt cerita ni adalah lagu tema dia.. hehe.. cam best saja dengaq walau aku x tau makna dia yg tersurat dan tersirat camtu... nih aku jumpa kat tenet lagu dia.. ada lirik asai dan transliterasi ke bahasa Melayu, tapi aku still x dpt tangkap makna tersirat dia... hehee.. meh kita dengaq sepam lagu ni... Mudiak Arau (Edited pada 1 Disember 2009 -- Link yang lama dah rosak.. hehe..) Anak urang sabuak andaleh yo mamak oi singgah ka rumah Si sutan mudo.. si sutan mudo Singgah ka rumah.. hai si sutan mudo.. si sutan mudo Bia habih hai bialah tandeh yo kanduang oi Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Indak dapek hai musim manyiang, ya tuan hai.. Musi

Setanggi Syurga..

Salam... Huhu..sebenaqnya dah lama nak post lagu nih...tp dok tangguh sbb ada problem ngan internet connection..dah terlajak sampai mlm minggu nih, meh aku cerita sket la kot.. Td kami pi main futsal..lawan ngan geng indon (geng mustapa)..huhu dan dgn bangganya, kami kalah..kekalahan tu 50 % mesti sbb aku...sbb time aku jd goal keeper tu la byk yg masuk..btw, x kisah sgt la..sbb tujuan kami ialah bersukan dan mengeluaqkan peluh..menyahut seruan kerajaan ntuk bersukan...suasana perlawanan berlangsung dgn penuh harmoni tanpa insiden yg x dingini..huhuhu... Dan mcm biasa, dah masuk minggu kedua nih, dah ada dah assignment...plg berat setakat ni ialah SE...kena buat summary drpd 3 artikel...huehuheue....nak kena baca byk dan paham baru bleh wat...so sok akan bermula la kot...dan yg lelain tu semua nak kena baca sebelum start plak klas isnin ni.. Ok, berbalik ke tujuan asal posting ni....Setanggi Syurga...masa memula dengaq, ingatkan 100% lagu cintan cintun...tp bila dah tgk lirik dia dan m