Manusia....

Salam

Tadi masa lepas sembahyang jumaat, aku terpandang seseorang. Seseorang ini suatu masa dahulu gah. Beliau pada ketika itu dikelilingi ramai si pemakai baju hitam yang berambut pendek dan berbadan tegap. Ramai yang akan berebut-rebut menemuinya, berjabat tangan malah mencium tangannya. Hingga kadang-kadang sesak dan berasak-asak. Maklumlah, orang besar. Tetapi si baju-baju hitam tadilah yang akan mengawal keadaan.

Tapi kini semua ini hanya tinggal kenangan. Tiada si pemakai baju hitam. Yang ada cuma 2-3 orang berbaju biasa, berdiri menunggu beliau menyelesaikan solat ba'diah jumaat. Sesekali para jemaah berbangsa asing yang berjalan melaluinya memandang beliau dan hanya berbisik sesama sendiri. Selesai solat, beliau berjalan keluar tanpa halangan dan kesesakan.

Aku yang memerhati dari sebelah sisi sejak tadi menunggu di pintu. Aku menunggu di muka pintu. Tiba beliau melangkah dari pintu aku merapatinya lalu berjabat tangan dengannya. Mudah, cukup mudah. Tiada asakan dari sesiapa pun. Para jemaah lain yang lalu seolah-olah tidak menyedari kehadiran beliau. Ada yang memandang beliau dengan sekali pandang dan buat endah tak endah sahaja.

Berjalanlah beliau ke pintu utama masjid. Dihadapannya segerombolan jemaah, masing-masing berjalan keluar dari masjid, untuk menjalankan urusan masing-masing. Yang berniaga akan pasti kembali ke gedung menyambung perniagaan. Yang bekerja makan gaji sudah pasti balik ke pejabat menyambung urusan yang belum selesai. Yang sedang melancong sudah pasti akan menuju destinasi seterusnya. Yang ber'blog', mungkin sekali akan menambah bahan dalam blog beliau. Tetapi tak seorang pun menyedari di belakang mereka adalah seorang yang pernah berkuasa dahulu. Ada yang sedar pun hanya tersengih sahaja sambil terus melangkah ke tempat yang akan dituju.

Tetapi ke manakah arah tuju orang tua yang dulunya gah itu? Mungkin kembali ke rumah, berehat bersama isteri dan bermain bersama cucu. Atau mungkin pergi menziarahi rakan-rakan lama disamping mengenang kisah-kisah yang lalu. Atau mungkin juga, duduk berehat-rehat sambil menyesali atau berbangga dengan perkara-perkara yang lepas. Sungguh siapa pun tidak akan tahu melainkan orang tua itu sahaja.

Aku melangkah ke pejabat sambil memikirkan hal ini. Semasa beliau masih di atas, maka ramai manusia suka padanya. Tangan beliau dicium, kehadirannya di nanti. Beliau disorak di atas persada, gah bagai seorang bendahara terbilang. Tapi kini selepas semuanya menjadi sejarah, jadilah ia seperti di atas. Endah tak endah. Sungguh inilah manusia. Hanya dipuji, dipuja, dighairahi, disanjung bila berkuasa. Selepas semuanya hilang, tinggallah seorang bak pohon yang reput menunggu mati.

Oh, aku juga manusia!

Wassalam..

p/s: Orang itu ialah... cuba teka siapa dia. Aku bagi hint, PM-5 ;P

Comments