Tuesday, December 30, 2008

Hayatku di bumi hari ini : 12096000 minit!

Assalamualaikum..

"Oleh kerana atmosfera bumi yang tercemar, Ultraman hanya mempunyai masa 2 minit untuk bertahan sebelum kuasanya hilang!"
Itulah yang terjadi kepada Ultraman kalau tak dapat nak musnahkan raksasa  yang menyerang dalam jangkamasa yang ditetapkan. Oleh kerana di Planet Ultra (nama tempat tinggal Ultraman, kalau tak silap laa...) atmosfera dia belum tercemar, maka Ultraman tak dapat nak sesuaikan diri dengan atmosfera bumi sebab tak biasa dengan pencemaran yang berlaku sejak lama. Sebab tu la kot Ultraman semua sihat-sihat belaka dan kuat! Boleh melawan raksasa yang membuat onar di bumi Tokyo, Nagoya, Nagasaki, Hokkaido, Sapporo dan sebagainya. Agaknya kalau atmosfera bumi sama seperti di Planet Ultra, rasanya Ultraman tak payah datang ke bumi membantu rakyat jepun melawan raksasa!

Alhamdulillah, aku dilahirkan bukan sebagai Ultraman dan sehingga hari ini masih dapat bertahan dengan atmosfera bumi ni *genap* selama 276 bulan hari ini. Kalau dikirakan dalam kiraan minit, dah lebih kurang 12096000 minit aku dapat bertahan bumi ni, melangkaui keupayaan Ultraman! Ini semua kuasa dan anugerah yang diberikan Allah SWT, tiada yang lain selain Dia. Dengan tenaga dan limpah kasih sayang-Nya jualah maka dihidupkan aku selepas matiku sehari-harian selama 23 tahun yang lampau. Dengan kuasa-Nya jualah, 23 tahun lalu aku dikeluarkan dari ruang yang sempit dan penuh kasih sayang itu ke dunia yang fana dan indah ini. Itulah harinya, buat pertama kali aku merasai udara di atmosfera bumi dan aku berjaya laluinya tanpa ada batasan 2 minit seperti Ultraman! Syukur, ibu bapaku bukan dari Planet Ultra.

Menelusuri usiaku yang sudah 2 dekad lebih ini, aku berdoa kepada Allah agar terus diberi kesihatan dan kebaikan serta dilimpahi kasih dan rahmat daripada-Nya. Mudah-mudahan dengan apa jua yang Allah berikan kepada aku ini, dapatlah aku menunaikan janjiku seperti di Loh Mahfuz dahulu, mentauhid dan mentadbir alam ini menurut perintah dan larangan Allah. Aku berdoa jua supaya aku dikembalikan dalam keadaan putih bersih seperti mana aku dikeluarkan dahulu dan supaya matiku jua nanti dalam keadaan putih bersih dan fitrah. Aku berdoa kepada Allah jua supaya dipertemukan aku dengan apa yang elok buatku dan diperjauh apa yang buruk buatku. Mudah-mudahan Allah perkenankan buatku atas permintaan-permintaan ku ini.

Insya Allah, 2 dekad yang berlalu dan melalui jalan-jalan ke dekad yang ketiga, aku berazam untuk terus berkhidmat dengan jujur dan ikhlas. Setelah sekian lama diberi bakti oleh kedua ibu bapaku, ahli-ahli keluarga, guru-guru, rakan-rakan serta kerajaan yang budiman, inilah masanya aku membalas jasa mereka semua. Mudah-mudahan Allah merahmati mereka semua dan diberi ganjaran yang sewajarnya. Jangan ditanya apa bakti negara kepadamu, tetapi tanyalah apa baktimu untuk negara. Ya, inilah masanya untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Mudah-mudahan niat dan azamku sempena kedatangan tahun yang ke 23 kelahiranku serta tahun yang ke 2009 kiraan kalendar barat jua 1430 tahun selepas hijrah Nabi, akan diperkenankan dan diberi kekuatan oleh Allah SWT. Dari dengan itu marilah sama-sama kita bermohon agar hajat dan permintaan kita semua direstui dan dikurniakan oleh Allah, dipermudahkan urusan dan dipermurahkan rezeki, dan mudah-mudahan juga diampunkan segala kemungkaran dan kesalahan serta dihapuskan dosa-dosa kita.. Amiin

SELAMAT TAHUN BARU 2009


Wassalamualaikum!

Mudah-mudahan dipertemu mata ayer yang terbaik sebagi tapak permulaan usahaku untuk berladang, insya Allah... kemudian menuai hasil yang baik dan bermutu tinggi..  Insya Allah... Amiin..