Saturday, May 10, 2008

Berbuat Baik kepada Ibu Bapa

Assalamualaikum...

Marilah sama-sama kita melihat satu lagi topik yang perlum diambil berat oleh setiap muslimin dan muslimat... mudah-mudahan dengan apa yang dipaparkan disini dapat memberi kesedaran dan pemahaman dalam mematuhi perintah Allah.

Di dalam Al-Quran, terdapat ayat-ayat berkaitan yang menyuruh umat Islam menunaikan hak masing-masing terhadap ibu bapa. Antara intipati suruhan tersebut dirangkumkan dalam rangkaian ayat-ayat Quran di bawah...

Berbuat baik kepada ibu bapa

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.



Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri


Dan tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun).


Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

Dan banyak lagi ayat-ayat yang membincangkan hal-hal berkaitan suruhan dan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa. Seperti mana hadis yang mahsyur, berbuat baik kepada ibu itu sepatutnya dilebihkan sedikit daripada bapa, seperti mana diisyaratkan dalam hadis berikut..

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah. Pada siapakah aku mesti berbuat baik? Jawab Rasulullah, ibumu, kemudian ibumu , kemudian ibumu, kemudian bapamu" (Sunan Abu Dawud: hadis 2438.)

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita perhatikan kembali akan dosa-dosa kita terhadap kedua ibu bapa dan marilah sama-sama memohon ampun jika ada salah dan silap.. jika selama ini kita terlupa akan tanggungjawab kita terhadap mereka, marilah sama-sama kita jalankannya..

Wassalamualaikum..

No comments: