Surat Khabar Lama : Hubungan Mahathir - Anwar

Protege & Mentor
Salam,  

Ummi Hafilda Ali
Tadi sempat tengok video Ummi Hafilda Ali yang buat press conference, katanya nak saman Anwar, Azmin, Shamsidar, Wan Azizah, Karpal Singh dan lain-lain kerana didakwa menyembunyikan kebenaran dalam kes Anwar Ibrahim. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Anwar telah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. Kejadian ini amat mengejutkan negara pada ketika itu. Kalau tak silap aku, pada masa pemecatan Anwar tu, ramai antara kita ni tak berapa nak kenai internet lagi. Baca paper pun tak mungkin 100% faham apa yang terjadi. Hanya setahun-dua selepas itu kita disajikan dengan cerita-cerita sensasi dari pelbagai pihak setelah dunia IT mula berkembang dan ramai di antara kita mula mendapat akses berita melalui internet.



Sehari sebelum pemecatan Anwar (1 September 1998), PM ketika itu, Tun Mahathir telah membayangkan dalam satu program wawancara dengan RTM bahawa beliau bersedia menerima perletakan jawatan Anwar, sekiranya beliau memberi alasan kukuh seperti contoh sakit. Dalam kenyataan beliau :

''Jika beliau (Anwar) memberi alasan yang kukuh mengapa beliau harus meletakkan jawatan, saya akan terima.
''Jika beliau bagi alasan kesihatan, beliau tak boleh laksanakan tugasnya lagi dan sebagainya, bagaimanalah hendak saya kata supaya beliau teruskan juga tugasnya?

''Semuanya bergantung kepada sebab-sebab (yang dikemukakan oleh Anwar),'' kata Dr. Mahathir kepada pemberita selepas program Wawancara Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, di sini hari ini.

Dulu rapat.. La ni?
Jelas di dalam keratan akhbar ini, dapat kita andaikan, pada masa tersebut, Anwar Ibrahim telah pun sebenarnya diberi kata dua oleh Tun M samada letak jawatan atau bersedia untuk dipecat. Daripada kenyataan ini, kita dapat lihat Tun M pada ketika itu masih lagi memberi peluang kepada Anwar untuk melepaskan jawatan secara sukarela dan "bagi alasan kukuh" dalam erti kata, untuk tidak memalukan diri beliau sendiri. Seandainya beliau meletakkan jawatan secara sukarela dengan alasan seperti sakit atau tekanan atau lain-lain alasan pada ketika itu, sudah tentu Tun M tidak akan memecatnya dan isu mengenai mengapa beliau dipecat tidak timbul kerana ianya mengaibkan (liwat, rasuah, dll).

Hubungan Mahathir - Anwar bermula apabila Anwar mengumumkan untuk menyertai UMNO sekitar tahun 80'an. Catatan Utusan Malaysia Online pada 3 September 1998 (sehari selepas pemecatan Anwar) turut mengimbas kembali kemasukan Anwar ke dalam UMNO dan perjalanan beliau meniti jambatan ke puncak kuasa. Alkisahnya

Kronologi Anwar dalam UMNO

KUALA LUMPUR - Pada 29 Mac 1982, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik UMNO ''kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.''

''Saya memilih UMNO kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya dan saya memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan parti yang beliau pimpin.

''Kami berharap akan dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat negara ini,'' kata beliau di hadapan Dr. Mahathir di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dan, semalam di JPM juga kerjaya beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berakhir apabila dilucutkan daripada semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Sebulan selepas (April 1982) Anwar yang merupakan bekas Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membuat pengumuman itu, beliau dipilih sebagai calon pilihan raya umum dan memenangi kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Dari situlah bermulanya kerjaya politik Anwar dalam kerajaan. Pada usia 35 tahun, selepas menumpaskan calon Pas dan DAP dengan majoriti 14,352 undi Anwar diberi kepercayaan menjadi Timbalan Menteri di JPM pada tahun yang sama selama 14 bulan.

Pemuda UMNO telah mengambil keputusan penting dalam sejarah pergerakan itu pada 9 September 1982 dengan memilih orang baru dalam politik UMNO iaitu Anwar mengetuai mereka.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Pemuda seorang yang baru lima bulan menyertai parti, diberi jawatan dan kepercayaan demikian besar. Tetapi ia berlaku kepada Anwar sekalipun kemenangan itu hanya dengan 10 undi menewaskan Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Peningkatan Anwar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu, berlaku dengan begitu pantas.

Pada 2 Jun 1983, beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Pertanian 14 Julai tahun berikutnya.

Dua tahun kemudian, beliau melangkah ke Kementerian Pendidikan, portfolio yang dianggap sebagai ''petanda emas'' bagi seorang anggota kabinet terus berjaya dalam kerjaya politik.

Secara tradisi, jawatan Menteri Pendidikan disandang oleh mereka yang menjadi Perdana Menteri negara ini.
Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin. Pada 1 Disember 1993, beliau dilihat akan menggantikan Dr. Mahathir apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas menang dalam pemilihan sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding bagi menggantikan Tun Ghafar Baba.

Beliau yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk penggal kedua pada 1996, telah diberi kepercayaan untuk memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan sejak 19 Mei 1997.
Anwar tidak begitu dikenali sebelum 1974. Peristiwa mogok lapar dan tunjuk perasaan di Baling, Kedah pada November tahun itu serta-merta menjulang namanya.

Anwar yang ketika itu merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya dan ABIM memperjuangkan kemelaratan hidup penduduk di kampung di utara Semenanjung itu. Bagaimanapun kelantangannya itu menyebabkan beliau dan beberapa rakan pelajarnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Apabila anak kelahiran Cerok To'kun, Bukit Mertajam itu mengumumkan komitmennya kepada UMNO, arena politik tanah air mengalami semacam kejutan. Ini kerana Anwar sebelum ini sering dikaitkan dengan perjuangan Pas dan mengkritik kerajaan.

Mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa keputusannya menyertai UMNO itu merupakan satu political suicide, beliau berkata, ''biarlah masyarakat yang menentukan''.

''Dan hanya Tuhan sahaja yang tahu mengenai niat dan tujuan saya menyertai UMNO,'' kata beliau pada sidang akhbar ketika mengumumkan keputusannya menjadi anggota UMNO pada 29 Mac 1982.
Selepas memenangi pilihan raya umum pada April 1982, beliau dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh empat bulan kemudian. Beliau memimpin Pergerakan Pemuda UMNO sehingga 23 April 1987.

Pada 24 April 1987, Anwar dipilih sebagai Naib Presiden UMNO selepas beberapa kali menolak desas-desus bahawa beliau akan merebut jawatan itu.

Beberapa bulan kemudian, Anwar menolak dakwaan bahawa hubungannya dengan Ghafar yang merupakan Timbalan Presiden ketika itu renggang. Enam tahun kemudian beliau yang beberapa kali menafikan akan mencabar Ghafar untuk jawatan timbalan presiden, akhirnya mengubah pendirian atas alasan desakan para penyokong parti.

Sejak 17 Julai 1987 dan sehingga kini, beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Anwar ketika menjelaskan falsafah perjuangan politik pada 1982, pernah juga berkata: ''Kalau kita hendak membuat sesuatu, adalah menjadi kenyataan yang kita perlukan kedudukan tertentu.

''Sekalipun kita mempunyai idea yang baik tetapi kerana kita tidak mempunyai kedudukan tertentu, sukar bagi kita untuk melaksanakan idea tersebut,'' katanya.

Kepimpinan Anwar dalam pergerakan belia tahun 1970-an, sebelum menyertai politik telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ini termasuklah pelantikan pada tahun 1973 sebagai anggota jawatankuasa penasihat hal ehwal belia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pada tahun 1976 mewakili rantau Asia Pasifik di Perhimpunan Belia Sedunia (WAMY).

Semasa di Universiti Malaya, beliau cuba membawa perubahan dalam corak kehidupan kampus dengan menerap nilai-nilai Islam dan peradaban timur. Ini dilakukannya semasa menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia mulai tahun 1968. Anwar mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang melahirkan ramai pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan.

Dari universiti, beliau kemudian menjadi Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tahun 1970 dan dua tahun selepas itu, menjadi presidennya.

Malah, Anwar juga pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia antara 1972 dan 1976 dan Presiden Persidangan UNESCO (1987-89). Pada masa sekarang beliau juga adalah Presiden Universiti Islam Malaysia.

Antara tempoh 1979 dan 1997, beliau telah menerima 18 anugerah termasuk Pingat Allama Iqbal Centenary, Pakistan, Malaysia Of The Year pada 1982, Reader of The Year (1988), Top Finance Ministers of the Year, majalah Euromoney (1993) dan Knight Grand Cross of Rizal (Sir) pada 1996.

Sebagai Menteri Kewangan sejak Mac 1991, Anwar juga dilihat sebagai anggota kabinet yang memperkenalkan perkataan-perkataan dan istilah-istilah baru ketika menyampaikan ucapan belanjawan.
Beliau juga ada menulis buku berjudul Menangani Perubahan pada 1989 dan The Asian Renaissance tahun lalu.

Sepanjang 16 tahun dan empat bulan dalam kerajaan, Anwar yang beristerikan, seorang doktor mata, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan mempunyai enam orang anak, menjadi perhatian kerana sering diselubungi pelbagai desas-desus khususnya sejak Julai lalu apabila negara dilanda kegawatan ekonomi.

Disebalik warna warni Anwar bersama UMNO yang telah memberi banyak faedah kepada beliau, rupa-rupanya tidak semua yang mengenali Anwar benar-benar mengenali Anwar, terutama sekali rakyat. Dengan imej mahasiswa pro-Islam pada semasa menjadi pelajar, kemudian diterima masuk UMNO oleh PM sendiri pada ketika itu dan diberikan jawatan penting, siapalah sangka orang yang sama ini sebenarnya 'tak sebulu' dengan bos beliau sendiri. Hal ini sekali lagi diungkap Utusan Online, pada tarikh yang sama seperti di atas :

* 20 September 1995 - Dr. Mahathir menjelaskan tidak wujud perselisihan faham di antara beliau dengan Anwar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

* 6 Ogos 1996 - Dr. Mahathir berkata akibat terlalu banyak teori konspirasi mengenai hubungannya dengan Anwar, telah timbul pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan dalam UMNO.

* 20 November 1996 - Bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggotai semula UMNO menyatakan beliau tidak mempunyai rancangan untuk mencabar Anwar selaku Timbalan Presiden UMNO.

* 22 November 1996 - Dr. Mahathir menyatakan sokongan penuh kepada Anwar sebagai penggantinya.

* 24 November 1996 - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pertikaian mengenai siapa yang akan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak harus timbul, jika pemimpin dan ahli UMNO menghormati hierarki dalam parti.

* 25 November 1996 - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Pemuda memberi amaran kepada kembiri termasuk media asing supaya tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baik Dr. Mahathir dan Anwar.

* 19 Mei 1997 - Anwar memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan mulai hari ini kerana Dr. Mahathir bercuti.

* 25 Ogos 1997 - Dr. Mahathir berkata, dakwaan kononnya Anwar terbabit dalam skandal seks merupakan fitnah yang bermotifkan politik.

* 26 Ogos 1997 - Anwar mendedahkan bahawa beberapa surat tohmahan terhadapnya diedarkan kebelakangan ini dalam usaha yang terancang, teratur dan teliti bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.

* 7 September 1997 - Pada Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir menangkis segala tohmahan yang bertujuan merosakkan imej Anwar yang bakal menggantikannya.

* 17 Jun 1998 - Anwar memperoleh perintah injunksi interim terhadap penulis buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

* 18 Jun 1998 - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan pergerakan itu mendesak unsur nepotisme dan kronisme dalam kerajaan dihapuskan.

* 20 dan 21 Jun 1998 - Senarai nama syarikat dan individu yang mendapat saham dan projek kerajaan diedarkan kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO.

* 21 Jun 1998 - Dr. Mahathir dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan itu menegaskan, tiada amalan nepotisme wujud sebagaimana didakwa dan secara terbuka menyebut nama Ahmad Zahid antara mereka yang terdapat dalam senarai tersebut.

* 7 Ogos 1998 - Anwar menyifatkan spekulasi kononnya beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan sebagai 'tidak berasas'. Katanya, beliau masih bertanggungjawab penuh di Kementerian Kewangan.

* 22 Ogos 1998 - Dr. Mahathir menyatakan di Kota Bharu bahawa terdapat usaha pihak asing untuk menumbangkan kerajaan dengan menggantikannya dengan Timbalannya, Anwar tetapi 'beliau bernasib baik kerana cubaan itu gagal'.

* 24 Ogos 1998 - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya mengekalkan perpaduan dengan berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti hanya mempunyai seorang 'jeneral'.

* 25 Ogos 1998 - Anwar mendedahkan beberapa surat tohmahan terhadapnya sebagai usaha yang 'terancang, teratur dan teliti' bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.

 * 31 Ogos 1998 - Anwar menafikan khabar angin buat kali ketiga dalam tempoh sebulan kononnya beliau mengemukakan surat peletakan jawatan.

* 1 September 1998 - Dr. Mahathir berkata beliau akan menerima peletakan jawatan Anwar jika Anwar mengemukakan alasan yang kukuh.

* 2 September 1998 - Anwar dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Reformasi? Motif?
Inilah manusia bernama Anwar Ibrahim dengan mentornya, Dr. Mahathir Mohamad. Siapa sangka mereka ini yang nampak begitu akrab sebelum ini, akhirnya masih berseteru hingga ke hari ini. Seandainya Anwar Ibrahim mendengar nasihat mentornya pada 1 September 1998, mungkin negara kita tidak akan melalui peristiwa hitam demonstrasi jalanan  yang telah merosakkan industri pelancongan serta harta benda awam. Dr Mahathir pada ketika itu nampaknya sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan Anwar dan percaya kununnya Anwar difitnah. Tetapi akhirnya, kebenaran muncul jual kepada beliau, dan keputusan memecat Anwar sama sekali telah mengubah landskap politik negara . Retorik Anwar yang kununnya membawa agenda "reformasi", mungkin sekali ingin mengheret rakyat untuk masuk ke dalam krisis politik beliau dengan Tun M.

Mudah-mudahan kita semua mendapat gambaran yang lebih jelas mengapa anwar dilucutkan jawatan Timbalan Pedana Menteri dan Menteri Kabinet yang lain serta mengapa beliau dipecat dari UMNO.

Wassalam..

p.s : paper lama banyak gunanya.....

Comments

Missqistina said…
thank you..
Great article :)
Tini Hashim said…
mohon share saudara..buat renungan sahabat2 saya...mekasih utk kedua2nya..post ini dan kebenaran ini.