Skip to main content

Rakyat Didahulukan : Beras Percuma


Salam,

Utusan Malaysia 13 Oktober 2009 melaporkan,

Beras percuma setiap bulan

Sebanyak 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 di luar bandar akan diberi kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.

Lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan (bandar) dan RM1,000 (luar bandar) pula akan menerima tiga kupon subsidi masing-masing bernilai RM10 setiap enam bulan sekali.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, penerima kupon RM10 layak membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) yang berharga RM24 pada kadar RM14.

Pemberian kupon akan disalurkan menerusi semua anggota Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.

Sebanyak 54,000 peruncit dan 1,200 pemborong di seluruh negara akan diberi surat arahan menerima garis panduan berhubung perkara itu.

Pemberian kupon itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang November ini.


KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, pemberian kupon itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Pekan, Pahang pertengahan November ini.

“Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

“Saya nak tegaskan di sini, skim baru ini bukan bermakna harga beras naik, tetapi ia hanya kerana kerajaan menarik balik subsidi beras yang selama ini diberikan kepada pemborong dan peruncit,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) kepada para pegawai kerajaan serta anggota Parlimen di sini.

Beliau berkata, menerusi program subsidi itu kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan manakala lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.

Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara, katanya.

Noh berkata, penerima kupon RM10 melayakkan pemegangnya membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) bagi 10 kilogram yang berharga RM24 pada harga RM14 dan jika mahu membeli beras yang lebih mahal, mereka hanya membayar perbezaan harga beras itu sahaja.

Mengenai pengagihan kupon, Noh berkata, ia akan disalurkan menerusi semua anggota parlimen termasuk daripada parti pembangkang yang kemudiannya akan menyerahkan kepada penerima mengikut senarai yang dikeluarkan portal Pembasmian Kemiskinan ‘e-Kasih‘ Jabatan Perdana Menteri.

Noh berkata, bagi tujuan pelaksanaan sebanyak 54,000 peruncit dan 1,200 pemborong beras di seluruh negara akan diberi surat arahan menerima garis panduan daripada kerajaan mengenai sistem pembelian melalui kupon ini.

“Kupon ini sama seperti wang tunai. Jadi tidak ada sebab kenapa ia tidak diterima (oleh peruncit) dan untuk mendapatkan wang tunai peruncit hanya perlu menyerahkan kupon kepada pemborong dan mereka akan diberikan wang tunai,” katanya.

Beliau berkata, jika ada peruncit yang enggan menerima kupon yang dikemukakan kerajaan akan menarik balik lesen peruncit terbabit.

Katanya, sistem baru itu akan dapat memastikan matlamat kerajaan membantu golongan miskin mendapat bekalan beras mencukupi tercapai.

“Selama ini pengilang dan pemborong mengaut keuntungan besar terutama apabila kerajaan membahagikan beras kepada tiga katagori iaitu ST15 (15 peratus hancur), ST10 (10 peratus hancur) dan ST5 (lima peratus hancur).

“Apa yang berlaku sekarang, beras ST15 sukar didapati di pasaran kerana pemborong membungkus semula beras ST15 kepada ST10 atau ST5 yang harganya jauh lebih mahal,” katanya.

Ditanya kemungkinan akan berlaku penipuan kualiti, Noh berkata, selepas ini kerajaan membenarkan beras ST15 dan ST5 dijual di pasaran terbuka manakala ST10 akan dimansuhkan. – BERNAMA

Pada pendapat aku :
  1. Alhamdulillah, kerajaan nampaknya mula menampakkan konsep "Rakyat Didahulukan" dalam pelaksanaan dasar-dasar ekonomi untuk membantu rakyat termiskin.
  2. Dari apa yang difahami, pemberian kupon ini boleh dilakukan dengan kerajaan menarik balik subsidi kepada pengilang dan kos subsidi tersebut akhirnya diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan (rakyat termiskin, miskin tegar).
  3. Terdapat 2 kategori penerima, penerima bandar dan luar bandar. Bagi setiap kategori pula, yang layak menerima dibahagi lagi kepada mereka yang mendapat pendapatan yang berlainan.
  4. Dalam pembahagian tersebut, yang termiskin antara termiskin (pendapatan RM450 ke bawah) akan menerima beras 30kg setiap bulan (melalui kupon).
  5. Manakala bagi mereka yang berpendapatan RM 1500 ke bawah (bandar) dan RM 1000 (luar bandar) layak untuk mendapat 3 kupon sebanyak RM 10 (RM 30) setiap 6 bulan. Mereka dengan ini layak membeli beras gred ST 15 yang berharga RM 24 pada harga cuma RM 14.
  6. Bagi 15,000 keluarga masyarakat Orang Asli, mereka juga akan dibekalkan beras percuma setiap bulan.
  7. Kenapa kupon diberi dan bukan dalam wang tunai? Ini untuk mengelakkan mereka yang menerima bantuan ini menyalahgunakan wang tunai yang diberikan untuk benda yang lain sedangkan peruntukan adalah untuk pembelian beras.
  8. Yang menarik juga ialah kupon-kupon bakal diagihkan oleh ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti, samada dari kerajaan mahupun pembangkang. Di sini, kita dapat melihat sejauh mana prestasi seseorang ahli parlimen itu dalam menjalankan tugas.
  9. Pembahagian ini dilihat adil, sama seperti konsep yang diterangkan pada posting yang lepas. Adil tak semestinya sama rata. Dengan pemberian seperti ini, maka lebih ramai dapat dibantu dengan penekanan kepada yang lebih memerlukan diutamakan.
  10. Ada yang bimbang sekiranya pemberian kupon ini akan menyebabkan ianya diberikan hanya kepada kroni-kroni dan keluarga sahaja. Dari dengan itu, seharusnya ada mekanisme yang boleh membantu ahli-ahli parlimen untuk mengenalpasti mereka yang benar-benar layak untuk menerima bantuan. Selain itu, dari sini kita dapat melihat sejauh mana kejujuran, amanah dan tanggungjawab ahli parlimen tersebut dalam berlaku adil kepada rakyat di bawah parlimennya.
  11. Apa yang aku fahami, dengan pemberian ini juga, maka subsidi kerajaan kepada pengilang beras akan ditarik balik. Ini mungkin menyebabkan sesetengah harga beras terutamanya beras dengan gred-gred berkaitan mungkin kembali ke harga asal (harga lebih dari harga subsidi).
  12. Oleh yang demikian, janganlah kita tekejut kiranya kita mendapati harga beras yang selalu kita gunakan akan menjadi "lebih dari biasa". Ingatlah kepada mereka yang lebih memerlukan. Memberikan sekelumit apa yang kita terima selama ini seumpama segunung harapan kepada mereka ini. Redha dan terimalah dan anggaplah kita turut bersedekah kepada mereka.
  13. Akhir kata, tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Keprihatinan kerajaan kepada golongan yang kurang upaya ini amatlah dihargai. Kesungguhan kerajaan dalam memastikan program ini tercapai amatlah diharapkan.

Mudah-mudahan, usaha kerajaan ini akan diberkati dan dirahmati Allah. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Syukur kepada Allah, Alhamdulillah, terima kasih kerajaan!

Wassalamualaikum.

Comments

Popular posts from this blog

Sollu 'ala Rasulillah habibil Mustofa..... Maulidur Rasul S.A.W

Assalamualaikum... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi, wasohbihi wabarik 'alaih.. 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah, lahirlah penghulu kita Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.... Kita sebagai ummat beliau seharusnya mencuba untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti beliau sebanyak mana yang kita mampu..... Hari ini 12 Rabi'ul Awwal 1433 Hijrah, kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai bukti kita kasih dan cintakan beliau.... Dan untuk mencapai maksud kecintaan itu, kita hidupkanlah sunnah Rasulullah S.A.W sebanyak mana termampu dan yang boleh kita lakukan... Berselawatlah kepada  beliau, mudah-mudahan urusan kita dipermudahkan dunia dan akhirat... The Chosen One In a time of darkness and greed It is your light that we need You came to teach us how to live Muhammad Ya Rasool Allah You were so caring and kind Your soul was full of light You are the best of mankind Muhammad Khaira Khalqillah Sallu ‘ala Rasulillah, Hab

Lagu nie... hehee...

Salam... Minggu lepaih aku tgk citer apa tah nama dia kat tv1 tu.... alaa.. yg citer Minang tu... Nun disana cintaku kot tajuk dia.. (amboi tajuk..huhu..) hehee... menarik jugak cerita ni sbb depa cakap bahasa Minang... seb baik ada subtitle, paham la jugak kan... yg aku suka sket kt cerita ni adalah lagu tema dia.. hehe.. cam best saja dengaq walau aku x tau makna dia yg tersurat dan tersirat camtu... nih aku jumpa kat tenet lagu dia.. ada lirik asai dan transliterasi ke bahasa Melayu, tapi aku still x dpt tangkap makna tersirat dia... hehee.. meh kita dengaq sepam lagu ni... Mudiak Arau (Edited pada 1 Disember 2009 -- Link yang lama dah rosak.. hehe..) Anak urang sabuak andaleh yo mamak oi singgah ka rumah Si sutan mudo.. si sutan mudo Singgah ka rumah.. hai si sutan mudo.. si sutan mudo Bia habih hai bialah tandeh yo kanduang oi Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Hati den kanai.. hai kaba'a juo.. kaba'a juo Indak dapek hai musim manyiang, ya tuan hai.. Musi

Asal Bangsa Melayu?

Salam... Semalam, kita telah dikhabarkan bahawa istilah Bahasa Malaysia akan digunakan bagi menggantikan Bahasa Melayu... Alasan yang diberikan oleh kabinet kerajaan Malaysia ialah untuk menguatmantapkan (hahaha.. istilah baru ke nih? sori aku mereka-reka sket.. lol) hubungan antara kaum dan integrasi antara rakyat berbilang kaum. Kalau tak silap aku la kan, dulu isu ni pernah panas dengan bantahan dari beberapa pihak yg risau akan bahasa Melayu ini akan hilang identitinya. Ada berpendapat Bahasa Melayu perlu dibiarkan seperti mana yang dituturkan dan bukan dibakukan tanpa usul periksa hingga menjadi pelik perkataan-perkataan itu. Kadangkala, sebutan Melayu itu hilang Melayu nya bila ia ditutur tanpa intonasi dan lenggok yg mencerminkan bahasa melayu... ini terjadi bila ia ditutur dgn cara yang 'dull', straight, plain dan tiada jiwa di dalamnya... Bahasa Melayu ditutur dgn lenggok Cina dan India.. dimana lagi Melayunya? Oleh itu agak tepat jugaklah langkah kerajaan menggantikan