Persuratan SMS oleh Dewan Bahasa & Pustaka

Assalamualaikum
Slm, awk nk g mn 2?

Rasanya, semua yang membaca ayat di atas tu faham akan maksudnya. Kalau tak faham, maksudnya ialah "Assalamualaikum, awak hendak ke mana tu?". Selalunya, ayat-ayat sedemikian kita gunakan dalam perbualan seharian melalui penggunaan Khidmat Pesanan Ringkas atau SMS dan juga semasa perbualan menggunakan aplikasi 'chatting'. Semakin hari, penggunaan bahasa sedemikian semakin meluas dan sudah dapat diterima oleh masyarakat sebagai bahasa harian yang penting.

Tetapi, lain pula halnya bagi para penggiat bahasa. Walaupun sesetengah daripada perkataan singkatan tersebut sudah berasimilasi dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu, tetapi penggunaan yang tidak seragam bakal menimbulan masalah kepada para pengguna. Sebagai pengguna, kita mempunyai interpretasi yang pelbagai terhadap satu-satu singkatan. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan singkatan 'msh' ia boleh dianggap samada 'musuh' ataupun 'masih'. Begitu juga dengan singkatan 'mrh', boleh jadi 'murah', 'merah' mahupun 'marah'. Oleh yang demikian, satu panduang lengkap yang piawai harus diadakan demi untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku.

Berikut merupakan sebahagian daripada beberapa panduan yang dikutip dari "Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu" terbitan Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka.


II. SINGKATAN SMS

2.1 Pendahuluan
Singkatan SMS ialah singkatan yang digunakan dalam penulisan SMS. Lazimnya, dalam komunikasi tidak rasmi, singkatan yang digunakan ialah singkatan yang dibuat sesuka hati bergantung pada kehendak atau keinginan pengguna SMS. Singkatan yang digunakan juga biasanya akan dibuat sesingkat mungkin untuk disesuaikan dengan ruangan mesej, iaitu sebanyak 160 aksara.

Walau bagaimanapun, dalam situasi rasmi, pengguna bahasa sepatutnya menggunakan singkatan SMS yang baku, iaitu singkatan yang menurut kaedah pembentukan singkatan kata bahasa Melayu (antaranya seperti yang dipaparkan dalam perkara 2.2.1, 2.2.2, dan
2.2.3), dengan sedikit perbezaan, iaitu tanda titik boleh tidak digunakan untuk menghemat ruangan dan menghindar daripada terlalu banyak menggunakan tanda titik (dalam setiap kata). Tanda titik hanya perlu digunakan untuk singkatan tertentu yang mengelirukan makna (kata kepanjangan), seperti bil. (bilangan), hal. (halaman), dan per. (perkara).

Selain itu, kaedah-kaedah atau cara-cara pembentukan singkatan SMS akan dijelaskan dalam bab yang selanjutnya.

2.2 Jenis Singkatan SMS
Dalam risalah ini, singkatan SMS dibahagikan kepada tiga kelompok utama, iaitu singkatan nama khas, singkatan umum, dan singkatan
kata serapan daripada bahasa Arab (yang biasa digunakan dalam SMS).

2.2.1 Singkatan Nama Khas

Untuk singkatan nama khas, ada enam cara atau kaedah penulisannya, iaitu:

i. Mengambil huruf pertama sahaja, contohnya:
Masihi - M
Hijrah - H
Bersara - B (Jeneral (B) Mohamad Syafuan)
Pulau - P (P Pinang)
Raja - R (R Ismail)
Tengku - T (T Iskandar)
Syed - S (S Osman Kelantan)

ii. Mengambil huruf pertama daripada setiap kata yang membentuk frasa nama khas, contohnya:
Kuala Lumpur - KL
Sebelum Masihi - SM
Ringgit Malaysia - RM
Yang Berhormat - YB
Yang Amat Berhormat - YAB
Ketua Setiausaha Negara - KSN
Tenaga Nasional Berhad - TNB

iii. Mengambil dua hingga empat huruf pertama, contohnya:
Encik - En (En Hazmi)
Februari - Feb
Abdul - Abd (Abd Jalil)
Mejar - Mej (Mej Azri)
Kapten - Kapt (Kapt Syazwan)
Profesor - Prof (Prof Hamid)
Institut - Inst (Inst. Aminudin Baki)

iv. Mengambil huruf pertama daripada setiap suku kata, contohnya:
Haji - Hj (Hj Ismail)
Tanjung - Tj (Tj Bunga)
Jawa - Jw
Jakarta - Jkt
Belanda - Bld


v. Mengambil huruf pertama daripada setiap suku kata dan juga huruf akhir kata, contohnya:
Berhad - Bhd (Syarikat Maju Jaya Sdn Bhd)
Hajah - Hjh (Hjh Zaiton)
Bukit - Bkt (Bkt Merah)
Batang - Btg (Btg Kali)
Lorong - Lrg (Lrg Haji Taib)

vi. Mengambil huruf pertama dan akhir sesuatu kata, contohnya:
Kampung - Kg (Kg Baru)
Tuan - Tn (Tn Haji Ramli)
Puan - Pn (Pn Ramlah)
Doktor - Dr (Dr Azril)


2.2.2 Singkatan Umum
Ada sebelas cara atau kaedah penulisan singkatan umum, iaitu:

i. Mengambil huruf pertama sahaja, contohnya:
di - d (d sana)
bin - b (Zaidi b Ismail)
tan - t (5 t)
jam - j (6 km/j)
meter - m (7 m)
Bentuk ini hanya digunakan untuk kata yang ekasuku (satu suku kata) dan unit ukuran.

ii. Mengambil huruf pertama dalam setiap kata yang membentuk frasa, contohnya:
salinan kepada - sk
bagi pihak - bp
terima kasih - tk
sastera lama - sl
anak lelaki - al


iii. Mengambil huruf pertama dalam setiap kata yang membentuk kata majmuk (kata majmuk yang disatukan ejaannya), contohnya:
tandatangan - tt
jawatankuasa - jk
setiausaha - s.u (Tanda titik boleh digunakan untuk menghindarkan kekeliruan makna.)

iv. Mengambil dua hingga empat huruf pertama, contohnya:
nombor - no.
halaman - hal.
bilangan - bil.
telefon - tel
rujukan - ruj
sambungan - samb
tingkat - ting
faksimile - faks
Untuk singkatan no., hal. dan bil., tanda titik boleh digunakan untuk menghindarkan kekeliruan makna.

v. Mengambil huruf pertama daripada setiap suku kata, contohnya:
batu - bt
pada - pd
bahasa - bhs
halaman - hlm
seperti - spt
saudara - sdr

vi. Mengambil huruf pertama daripada setiap suku kata dan juga huruf akhir kata, contohnya:
dalam - dlm
jalan - jln
kawan - kwn
depan - dpn
dapat - dpt
tidak - tdk

vii. Mengambil huruf pertama daripada suku kata pertama dan suku kata ketiga, contohnya:
televisyen - tv
millimeter - mm
kilometer - km
kilogram - kg
megabait - mb
gigabait - gb

viii. Mengambil huruf pertama dan akhir kata, contohnya:
yang - yg
gram - gm
kampung - kg

ix. Mengambil huruf pertama dan suku kata akhir, contohnya:
jumpa - jpa
pergi - pgi
nanti - nti
sampai - spai

x. Mengambil huruf pertama dan bahagian akhir kata terutamanya untuk perkataan yang panjang, contohnya:
antarabangsa - a.bangsa
suruhanjaya - s.jaya
walaupun - w.pun
tanggungjawab - t.jawab atau t.jwb
kakitangan - k.tangan atau k.tgn

xi. Mengambil bahagian akhir kata sahaja, contohnya:
emak - mak
nenek - nek
bapak - pak
kakak - kak
encik - cik
sudah - dah

2.2.3 Singkatan Kata Serapan daripada Bahasa Arab
Beberapa singkatan kata serapan daripada bahasa Arab turut dimasukkan dalam panduan ini kerana singkatan tersebut sering digunakan dalam penulisan SMS. Untuk kata tersebut, ada dua jenis singkatan. Pertama, singkatan yang telah mantap dan lazim digunakan; dan kedua, singkatan yang belum mantap tetapi boleh digunakan dalam
penulisan SMS.

i. Singkatan yang telah mantap dan lazim digunakan, contohnya:

Sallallahualaihiwasallam - SAW

Subhanahuwataala - SWT

ii. Singkatan yang belum mantap dan boleh digunakan dalam penulisan SMS, contohnya:

assalamualaikum - askm

wassalam - wslm

waalaikummussalam - w.salam atau w.slm

Allahyarham - A.yarham atau A.yhm

Allahyarhamah - A.yarhamah atau A.yhmh

Pembentukan singkatan askm untuk kata assalamualaikum adalah berdasarkan huruf pertama dalam suku kata pertama dan kedua, serta suku kata akhir dan huruf akhir kata. Pembentukan singkatan wslm untuk kata wassalam pula adalah berdasarkan huruf pertama dalam setiap suku kata serta huruf akhir kata. Sementara pembentukan singkatan w.salam, A.yarham, dan A.yarhamah untuk kata waalaikummussalam, Allahyarham, dan Allahyarhamah adalah berdasarkan huruf pertama dan bahagian akhir
kata. Walau bagaimanapun, sekiranya singkatan w.salam, A.yarham, dan A.yarhamah masih lagi dianggap panjang, singkatan tersebut (untuk bahagian akhir kata) masih lagi boleh disingkatkan menjadi w.slm, A.yhm, dan A.yhmh.

2.3 Simbol
Simbol juga boleh digunakan dalam penulisan SMS, contohnya:
@ - atau = - sama dengan
/ - atau, atau per
√ - ya, betul atau setuju
$ - wang atau duit
> - lebih
& - dan

< - kurang

% - peratus

>< - lebih kurang

- - tolak

? - pertanyaan

+ - campur atau tambah

! - terkejut atau hairan

x - tidak atau kali

2 - penanda kata ganda (sama2)

÷ - bagi atau bahagi

2.4 Emotikon

Selain singkatan dan simbol, emotikon juga turut digunakan dalam SMS. Emotikon ini digunakan untuk menunjukkan memek muka atau perasaan pengirim SMS, contohnya:
:-) - gembira
:-( - sedih
:-d - ketawa
:-|| - marah
;-) - bergurau atau kenyit mata
:-v - menjerit
:-* - ciuman
|-o - menguap
:-o - terkejut
:-q - saya tidak faham
:-c - amat sedih
:-& - lidah kelu
:-x - bibir terkunci
:-p - mengejek
:’-( - menangis
:-/ - ragu-ragu
:- | - bosan atau tidak peduli
:-y - komen sampingan

2.5 Aspek Semantik
Sebagaimana kata yang ditulis penuh, dalam singkatan atau bahasa SMS juga terdapat aspek semantik, seperti homograf, sinonim, dan polisemi.

2.5.1 Homograf
Homograf dalam singkatan atau bahasa SMS ialah singkatan yang sama ejaannya dengan singkatan lain tetapi berbeza makna atau kepanjangannya, seperti bt (binti atau batu), kg (kampung atau kilogram), dan pd (pada atau padu). Singkatan ini akan dapat ditentukan maknanya yang sebenar apabila digunakan dalam ayat atau teks SMS.

2.5.2 Sinonim
Sinonim dalam singkatan atau bahasa SMS ialah singkatan atau simbol yang berlainan tetapi maksud atau maknanya sama, seperti / dan @ membawa maksud atau.

2.5.3 Polisemi
Selain homograf dan sinonim, dalam singkatan atau bahasa SMS juga terdapat singkatan dan simbol yang polisemi. Simbol yang polisemi ialah simbol yang mempunyai lebih daripada satu maksud atau makna yang bertalian rapat antara satu sama lain, seperti simbol $ yang bermaksud wang atau duit; √ yang bermaksud ya, betul, atau setuju; dan / yang bermaksud atau atau per. Simbol ini akan dapat ditentukan maknanya apabila digunakan dalam ayat.

Nah, kalian baca dan renungilah sendiri. Pakar-pakar bahasa kita telah sediakan satu panduan yang cantik dan elok untuk kita ikuti. Rugi andainya jika kita biarkan saja kerosakan yang bakal terjadi kepada bahasa kita sekiranya perkataan yang kita gunakan tidak betul dan boleh membawa maksud yang berlainan. Rujukan penuh dan lengkap boleh dimuat turun di :  http://www.15888.my/Portals/76/khidmatsms.pdf 

Itu sahajalah yang hendak dikongsi bersama dengan saudara-saudari, teman-teman sekalian. Cintailah bahasa kita kerana bahasa menunjukkan bangsa.

Sekian, Wassalamualaikum..

p/s : Slmt hr lhr ke 23 ;)

Comments