Sepetang di Telok Kemang..

Salam..

Kali ni nak cerita pasal aku pi Port Dickson (PD) buat pertama kali dalam hidup aku. Sebelum ni aku tak pernah sampai pun. Tapi hari ni entah macam mana, tanpa perancangan pun, tiba-tiba saja rasa nak pegi jalan-jalan. Mungkin disebabkan oleh tekanan yang aku hadapi sejak kebelakangan ini. Stress yang melanda di jiwa membuatkan perasaan tidak senang dan resah. Jadi 'makan angin' mungkin boleh membantu meredakan ketegangan yang melanda dan boleh membuatkan aku kurang memikirkan perkara-perkara yang mengganggu fikiran dan jiwa ini. Pantai yang kami singgah di PD kali ini ialah di Pantai Telok Kemang.

Bergerak selewat jam 6 petang, aku yang ditemani Miji, sampai 45 minit kemudian. Keadaan pada masa tu agak meriah dan mendamaikan. Kedatangan kami bagaikan disambut oleh penari-penari yang sedang berlatih tarian zapin. Kelihatan anak-anak disamping ibu bapa bersiar-siar mengambil angin yang sedang garang meniup. Anak-anak muda beserta rakan-rakan bergembira dan menikmati suasana yang indah itu. Ada yang berlari-lari riang di gigi air, ada pula yang bergembira dan mandi-manda. Dan sudah tentu, ada juga yang tidak melepaskan peluang bergambar kenang-kenangan setelah menikmati bayu Selat Melaka yang meniup menyebabkan ombak memukul ke pantai.

Suasana indah sedemikian sudah tentulah amat menyeronokkan. Setidak-tidaknya, dengan menikmati suasana tersebut, kita dapat mengalihkan tumpuan daripada masalah kepada sesuatu yang menggambarkan keindahan dalam kehidupan. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri, bagaimanakah kita mahu meneruskan kehidupan ini. Adakah kita mahu terus bersedih dan bermuram durja? Atau kita atasi perasaan tersebut dengan sesuatu yang boleh membuatkan kita rasa gembira dan teruja? Sebagai manusia, kita dikurniakan akal yang sempurna dalam memilih mana yang baik, mana yang buruk.

Selesai solat maghrib kami teruskan lagi mengambil angin di tepi pantai. Kata P Ramlee, nak ubatkan tuan puteri yang sakit angau, kena ambil angin di taman selepas pukul 11 malam, tapi bagi aku, cukuplah pergi ke tepi laut, tak kira la bila. Deruan angin yang memukul ke muka seakan-akan membawa semangat baru ke dalam diri ini. Tatkala ini, dapat disaksikan kedai-kedai makan yang menghadap ke laut mula ditutup, kerusi-kerusi mula disusun dan dikemas. Anak-anak muda mula naik ke pantai, bersiap-siap, samada untuk pulang ke rumah, menunaikan solat mahupun menuju ke tempat makan Bagi yang berkhemah, unggun api mula dinyalakan mungkin untuk aktiviti barbekiu pada malam nanti.

Bertolak pulang selepas Isyak, aku mendapati lawatan singkat ini agak mendamaikan. Sekurang-kurangnya, stress yang aku alami berkurangan. Seandainya perjalanan ini dirancang dengan lebih awal dan teratur, mungkin hasilnya akan lebih memberangsangkan. Seandainya lebih ramai yang mengikut, tentu lebih meriah dan lebih menyeronokkan. Sebelum pulang, kami melalui sebuah dataran. Terdapat kumpulan kesenian yang sedang memainkan lagu tradisional Negeri Sembilan. Menarik dan unik sekali. Teringat pula keseronokan yang lebih kurang sama di Padang Kota, Pulau Pinang. Sesuai untuk riadah bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Konklusi yang aku buat ialah : Makan angin boleh merehatkan minda dan mengurangkan stress. Maka tidak syak lagi seruan kerajaan yang menggalakkan pelancongan domestik kerana seungguhnya Malaysia ini sungguh indah dan kaya dengan keindahan alam dan kemesraan para penguninya. Jadi, bagi yang ingin membebaskan diri dari belenggu perasaan dan jiwa yang kurang sihat, pergilah bercuti. Sayangilah negara kita, cuti-cuti Malaysia! Sebagai penutup, aku paparkan keindahan langit senja yang memukau di pantai Telok Kemang, PD.

Sebelum Maghrib..




Lepas Maghrib..
(Patut keadaan lebih gelap, tapi kamera aku ni nampak cerah pulak...)




Wassalam..

P/S : Thanks Miji! Next destination? huhu...


Comments

Popular posts from this blog

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Sudah jauh daku mencari...

Another Year.... 2017