Kerana sebiji epal....

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah di-atas nikmat dan kurniaan dari-Nya, dapatlah hamba menulis lagi di blog ni... setelah hampir sebulan 'demam pilihan raya' melanda Malaysia yang akhirnya mengakibatkan apa yang disifatkan sebagai 'Tsunami Politik' apalah kiranya kita renung-renung kembali apa yang telah terjadi. Perkataan 'Tsunami' itu sendiri melambangkan bencana, jadi apakah keputusan PRU 12 yang lepas adalah bencana? Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hikmah disebaliknya...

Maka apa yang hendak hamba sampaikan kali ini tidaklah berkait secara terus dengan PRU 12 yang lepas kerana apa yang lepas, tu lepaslah... terimalah hakikat dan apa jua ketentuan Ilahi. Usahlah kita saling bermusuhan lagi, walau tidak sependapat dan hamba sendiri ingin memohon maaf sekiranya dalam masa sebulan yang lalu telah menyinggung perasaan dan sanubari saudara saudari. Harapan hamba supaya permohonan hamba ini tidak terlewat dan mudah-mudahan mendapat maghfirah daripada-Nya jua. Bercakap soal maaf, maka ada sebuah kisah yang ingin dikongsi bersama saudara/i pembaca yang budiman sekalian. Kisah ini disampaikan oleh al-ustaz di akhir kuliah beliau baru-baru ini (sebenarnya malam tadi.. hehe..). Kisah ini menceritakan bagaimana seorang alim yang tabah dan menerima takdir dan ujian Allah terhadapnya.

Menurut al-kisah yang terdapat dalam kitab (tak diberitahu pulak kitab apa... ), terdapat seorang pemuda yang dipanggil Abu Soleh. Abu Soleh adalah seorang yang taat akan perintah Allah dan suka melihat dan merenung akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Diceritakan, setiap kali selepas solat Subuh, Abu Soleh akan berada di tepian sungai sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Jika kita bayangkan, aliran air yang mengalir deras, suasanan pagi yang nyaman, kicau burung yang bersahutan dan kebangkitan matahari pagi akan menyebabkan keadaan langit seakan terlukis satu karya yang amat indah, mengisi transisi antara malam dan siang, memang patutlah beliau mengambil kesempatan ini untuk menginsafi diri akan kekuasaan dan kebesaran Allah yang telah menciptakan segala sesuatu itu.

Tatkala suatu hari, maka beliau seperti biasa berada di tepian sungai selepas subuh. Akan tetapi pada hari yang tersebut, beliau berasa teramat lapar. Dengan takdir Allah, beliau telah terlihat sebiji epal teroleng-oleng dibawa arus sungai tempat beliau menikmati keindahan alam. Akan r sebab lapar yang teramat sangat, beliau telah mengambil buah epal tersebut dan mengigitnya dengan sekali gigit. Dan dengan takdir Allah jua, beliau telah teringat seperti ini "Epal yang aku makan ini bukan milikku, aku belum minta izin dengan tuannya lagi". Maka disebabkan yang itu, maka beliau menghentikan niatnya untuk makan epal itu, dan membawa epal yang ghebeh (bahsa Kedah sket.. x paham tanya kat sbox) tu, menuruti aliran sungai sehingga berjumpa dari mana asal epal tersebut.

Pencarian Abu Soleh akhirnya berhasil. Beliau menemui sepohon epal dan berhampirannya terdapat sebuah rumah. Agak beliau, tentulah ini pohon epal kepada epal yang dijumpainya, dan rumah yang terdapat di situ tentulah rumah pemiliknya. Maka pintu diketuk dan tuan rumah itu pon keluar untuk melihat kedatangan Abu Soleh. Diceritakan bahawa tuan rumah itu merupakan seorang wali Allah.. Maka berlakulah dialog seperti berikut (dengan olahan sendiri, tanpa maksud yg lari...)

"Adakah tuan pemilik pohon epal ini?" Tanya Abu Soleh.
"Ya, itu pohon epal kepunyaanku. Kenapa kau ke mari? " balas tuan rumah tersebut.
"Sesungguhnya aku ingin memohon maaf kepadamu. Aku telah terjamah sebiji epal yang jatuh dari pohonmu ke dalam sungai." Sambil menunjukkan baki epal yang telah digigitnya itu dan menceritakan halnya mengikut aliran sungai hingga terjumpa rumah pemilik pohon epal itu.
"Benar, itu epal dari pohonku. Aku boleh maafkan engkau tetapi sebelum itu engkau akan aku kenakan denda.." Balas pemilik epal itu.
"Baiklah, aku rela apa jua denda yang engkau berikan," Balas Abu Soleh.
"Hendaklah engkau menjadi budak suruhanku dengan melakukan apa jua yang aku perintahkan selama 12 tahun.." balas pemilik itu.

Maka Abu Soleh yang telah berasa bersalah demi kerana hanya satu gigitan epal, bersetuju untuk menjadi budak suruhan pemilik tersebut. Bekerjalah dia untuk orang tua itu selama 12 tahun. Cukup tempoh 12 tahun, Abu Soleh kembali menemui pemilik itu kembali.

"Tempoh 12 tahun sebagai denda telah ku lalui. Maka maafkanlah aku atas kesalahan ku yang lalu itu," kata Abu Soleh
"Tak boleh... tak boleh, kau akan aku denda lagi sebelum ku maafkan.." balas pemilik epal itu.
"Baiklah, jika itu kemahuanmu, aku turuti jua. Beritahulah aku, apa dendanya kali ini," balas Abu Soleh.
"Kau mesti mengahwini anakku yang rupanya hitam legam, kudung tangannya, kudung kakinya, buta matanya, bisu mulutnya, pekak telinganya.." kata pemilik epal itu.

Mendengar kata-kata orang tua itu, maka Abu Soleh memikirkan di dalam hatinya akan balasan yang diterimanya hanya semata-mata makan sesuatu tanpa meminta kepada tuannya terlebih dahulu. Bagi Abu Soleh, inilah ujian dan takdir yang ditentukan oleh Allah terhadap hamba-Nya untuk menguji tahap keimanan dan ketaqwaan mereka kepada-Nya. Maka, Abu Soleh pon menerimalah dendanya dan dikahwinkan beliau dengan anak perempuan pemilik epal tersebut sebagai syarat untuk dimaafkan kesalahan beliau. Setelah berkahwin, beliau amat terkejut dengan keadaan isterinya. Diceritakan, bahawa isterinya itu tidaklah hitam, tidak pekak, bisu, buta mahupun kudung kaki tangannya. Malah kulitnya putih melepak, sempurna pula sifat fizikal lainnya.

Maka Abu Soleh kembali kepada orang tua itu dan bertanya "Kenapakah engkau mengatakan bahawa anakmu hitam legam sedangkan tidak? Kenapa kau katakan kudung kaki tangannya, buta matanya, bisu mulutnya dan pekak telinganya sedangkan tidak sedemikian?"

Maka jawab ayah mertuanya itu "Ku katakan rupanya hitam legam kerana selama ini, beliau selalu berselubung di sebalik kelubungnya yang berwarna hitam, menutup aurat daripada dilihat oleh manusia lain yang bukan mahramnya. Ku katakan kudung tangan dan kakinya kerana tangannya terpelihara daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan tidak pula pernah dia gunakan kakinya untuk menjejak ke tempat-tempat maksiat. Ku katakan buta matanya kerana tidak pernah dia melihat sesuatu yang maksiat. Bisu pula mulutnya adalah kerana tidak pernah dia berkata-kata perkataan yang tidak baik dan maksiat. Pekaknya adalah tidak dia mahu mendengar perkara yang sia-sia dan maksiat seperti fitnah dan umpatan.."

Maka bersyukurlah Abu Soleh akan mendengar perkataan-perkataan tersebut. Rupa-rupanya, disebalik pahit getir yang menimpa beliau, rupa-rupanya di hujung jalan ada rahmat dan kasih sayang Allah yang dizahirkan padanya melalui cara yang telah kita ceritakan seperti di atas..

Saudara/i, banyak pengajaran yang dapat kita ambil iktibar melalui kisah di atas. Dalam banyak-banyak hal, yang paling penting kita pegang adalah keimanan dan iktikad kita bahawa Allah itu Maha Berkuasa ke-atas sesuatu. Dialah yang satu, tunggal, tiada duanya, tiada tiganya. Allah itu Maha Esa dan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. JIka hari ini kita menerima ujian, tidak bermakna selamanya ujian melanda, kerana di hujung jalan pasti ada nikmat. JIka pun, tidak mendapat nikmat sebagaimana ujian yang kita terima di dunia ini, nikmat tersebut disimpan untuk hari akhirat kelak. Pokok pangkalnya, adalah keyakinan dan sikap kita dalam bersangka baik terhadap Allah SWT. Sesungguhnya Allah tidak akan membebankan seseorang itu dengan apa yang tidak dapat orang itu tanggung.

Fikir-fikirkanlah saudara kisah Abu Soleh ini... banyak petanda, alamat, pengajaran dan 1001 rahsia yang boleh kita kutip daripadanya. Walaupun cerita ini tidak dapat hamba perturunkan sumbernya scara tepat lagi 'detail' dan telah pula hamba olah dialog-dialognya (tapi tidak lari dari maksud) supaya mudah untuk dinukilkan di sini, apalah salahnya sekiranya kita jadikan iktibar. Jika dongeng timur, mahupon barat dapat kita terima teladan yang baik darinya, salahkah cerita-cerita seperti ini untuk mendekatkan kita kepada Allah? Sesungguhnya apa yang baik itu hanyalah dari Allah, dan yang buruk itu kelemahan manusia sendiri... Wallahualam.....

Nota : Kalau tak silap hamba la kan, ada satu kisah macam ni jugak, pon hamba dengaq dari sorg ustaz.. sama.. makan epal dalam sungai, lepas tu kena denda kawin dengan anak tuan epal, tapi takdak pulak cerita pasai hitam-legam, bisu semua tu. Kalau tak silap watak 'Abu Soleh' tu pon seorang Wali Allah. Cerita ni lagi panjang tapi ada la part epal ni... Wallahualam, detail-detail dia hamba tak ingat...

Wassalam...
Selamat berjuang dalam final exam bagi individu yang terlibat... :)

Comments

Popular posts from this blog

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Sudah jauh daku mencari...

Another Year.... 2017