Tuesday, April 03, 2007

Keterlaluan anggap sambutan Maulidur Rasul bidaah (Utusan.com.my)

Salam..

haaa.. kali ni nak kopi pes apa satu artikel yg dipetik kat ruangan bicara agama di Utusan Online.. hehe.. Utusan Online sejak kebelakangan ni ada macam2 pendapat... stgh amik dr puak2 itu, stgh dr puak2 ini.. hehe.. adakah dia cuba menjadi neutral? kalo camtu baguih la.. Tanpa membuang masa, mari kita pi stret kat artikel yg aku kopi pes nih... baca artikel ni sambil pekenak kopi ka, teh ka sedap ni... cup.gifLOZR.gif


Ketokohan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah bukan sahaja diiktiraf dan diakui oleh umat Islam. Dalam sebuah buku In The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, Michael Hart menyenaraikan baginda di kedudukan pertama senarai tersebut.

Katanya, Nabi Muhammad adalah satu-satunya manusia yang amat berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. SHARIFUL HAFIZAL menemu bual Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim bagi membicarakan sirah Rasulullah ini.

MEGA: Setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal. Apakah cara terbaik menyambut majlis ini?

DR. AHMAD ZAKI: Tarikh 12 Rabiulawal hampir disepakati oleh ilmuwan dan sejarawan Islam sebagai tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w.

Perayaan pertama dalam Islam ialah Aidilfitri dan Aidiladha di mana kita disunatkan memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.

Perayaan kedua ialah yang dibentuk dan lahir kemudian di kalangan pemimpin masyarakat. Ia mengambil sempena peristiwa penting dalam sejarah kehidupan Rasulullah. Tergolong dalam kelompok ini diwakili oleh perayaan seperti hijratur rasul dan Maulidur Rasul.

Cara terbaik menyambut Maulidur Rasul ialah menjadikan kisah sejarah baginda sebagai iktibar dan diaplikasi dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, menjadikan Rasulullah sebagai idola yang diteladani oleh setiap umatnya.

Dalam masa yang sama, kita perlu mempamerkan keindahan dan kebaikan Islam melalui aktiviti kemasyarakatan seharian dengan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Bagaimanakah bentuk kecintaan terhadap Rasulullah yang perlu dipupuk dalam setiap kali kita menyambut Maulidur Rasul?

DR. AHMAD ZAKI: Kecintaan kepada Allah dan Rasulullah adalah asas dan bukti sahnya iman seseorang dalam menegakkan Islam. Ia perlu diletakkan mengatasi cinta kepada perkara lain sama ada ibu bapa, isteri, suami mahu pun anak-anak.

Allah berfirman: Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) kerana Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (At-Taubah: 24)

Pernyataan ini menjelaskan hakikat kecintaan kepada Allah dan rasul sehingga Allah membariskan hampir semua aktiviti kita sama ada sosial dan ekonomi terikat dengan pernyataan Allah dan rasul utusan-Nya.

Cinta kepada Rasulullah mengikat keperluan menyertakan tindakan seseorang dengan kehendak Allah dan rasul. Selain itu, ia menuntut kita berjihad atau berusaha menegakkan peraturan dan hidayah Allah di alam ini.

Zaman Rasulullah terbukti zaman gemilang umat Islam. Justeru, apakah peranan umat Islam dalam mengembalikan kegemilangan tamadun Islam masa kini?

DR. AHMAD ZAKI: Adalah menjadi tanggungjawab semua orang Islam menggembleng tenaga menanam nilai tinggi dan faktor material lain untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam seperti yang terserlah pada zaman lampau.

Kegemilangan tamadun Islam pada zaman baginda bukan sekadar penguasaan faktor fizikal seperti ekonomi dan ketenteraan tetapi lebih daripada itu. Ia merangkumi sistem, nilai dan metod gantian kepada sistem yang sedang berjalan dan menguasai manusia ketika itu.

Oleh itu, kita perlu melakukan perubahan ke arah penguasaan faktor fizikal seperti ekonomi serta perubahan keperibadian dan minda. Selain itu, meyakini kebaikan sistem Islam dan menghayatinya dalam seluruh kehidupan.

Harus disedari dari perspektif al-Quran yang dianalisa dengan baik oleh Ibn Khaldun bahawa persoalan kebangkitan dan keruntuhan sesuatu tamadun terikat kepada hukum kitaran antara pelbagai komuniti masyarakat.

Ia bergantung kepada perubahan nilai dan faktor ketinggian bagi masyarakat yang ingin bangkit dengan tamadunnya ketika wujudnya faktor rendah pada masyarakat yang mengakhiri zaman kegemilangannya.

Baginda ada bersabda: “Aku tinggalkan kamu dua perkara, selagi mana kalau berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat, iaitu al-Quran dan sunahku.” Namun dalam banyak hal, umat Islam tidak merujuk kepada kedua-dua sumber ini apabila berhadapan masalah. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

DR. AHMAD ZAKI: Ini berkait dengan kelemahan iman dan kurang kesedaran tentang kewajipan menjadikan kedua-dua sumber rujukan itu sebagai panduan hidup.

Bagi mengatasinya, usaha mempertingkatkan kualiti iman masyarakat melalui pendidikan akidah yang mantap perlu dilakukan. Ia perlu disusuli dengan meningkatkan kesedaran keperluan terikat dan beriltizam dengan kedua-dua sumber tersebut serta memperluaskan kefahaman tentang al-Quran dan hadis.

Bagi maksud ini, kita perlu mendisiplinkan diri mewujudkan jadual khas untuk bersama al-Quran. Bukan setakat membacanya tetapi juga berusaha memahami kalam Allah itu. Bagi mempraktikkannya, kita boleh memasukkan aktiviti ini dalam diari harian sebagaimana kita menjadualkan aktiviti berjoging atau membaca akhbar.

Ini juga bertepatan dengan firman Allah: Maka, bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran dan dirikanlah solat...(Al-Muzammil: 20)

Dalam konteks mereka yang mengingkari sunah, Imam Syafie menegaskan bahawa mengingkari sunah bermakna mengingkari al-Quran. Dalam negara Islam, langkah tegas perlu diambil bagi membanteras perkara ini. Sebabnya, teras negara Islam sebagai mana disebutkan oleh Ibn Khaldun ialah menjaga agama dan mengurus pemerintahan berasaskan agama.

Ramai yang memberi alasan sukar mengikut sunah Nabi kerana kita adalah manusia biasa dan tidak maksum sebagai mana Rasulullah. Benarkah dakwaan ini?

DR. AHMAD ZAKI: Menjadikan alasan sebagai manusia biasa yang tidak maksum sebagaimana Rasulullah bagi mewajarkan tidak mengikut sunah adalah jahat. Ia juga adalah penghinaan kepada Rasulullah bahkan boleh menjadikan iman seseorang itu tercemar dan terbatal.

Sebenarnya, kesukaran mengikut sunah nabi tidak harus timbul. Ini kerana pengajaran Rasul bermaksud petunjuk kepada manusia. Bahkan perlakuan baginda adalah dalam ruang kemampuan manusia melakukannya.

Contohnya di dalam kesulitan seperti bermusafir terdapat kelonggaran atau rukhsah berasaskan kemudahan solat jamak dan qasar.

Konsep maksum Rasulullah bukan bermakna ajaran dan agama khusus kepada kategori manusia tertentu sahaja. Sebaliknya, maksum para rasul bermaksud pemeliharaan Allah terhadap perlakuannya agar tidak terkeluar dari landasan Allah bagi mewajarkan baginda dijadikan contoh ikutan.

Ada juga yang berpendapat mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini bidaah. Jadi, adakah kita boleh menyambutnya atau tidak?

DR. AHMAD ZAKI: Adalah kurang tepat mengkategorikan sambutan Maulidur Rasul sebagai bidaah yang tidak boleh diteruskan. Kecualilah jika sambutannya diwarnai dengan amalan yang terlarang dalam agama.

Ibnu Taimiyah sendiri ketika melihat dan mengkategorikan bentuk penyelewengan dalam masyarakat zaman hidupnya kepada dua iaitu penyelewengan bidaah dan penyelewengan maksiat. Penyelewengan bidaah ialah tasawur atau tanggapan salah mengenai sesuatu perkara berkaitan Islam.

Penyelewengan maksiat pula adalah perlanggaran seseorang kepada tuntutan dan kewajipan syariah dalam keadaan tasawur dan tanggapan mindanya mengenai perkara itu dalam Islam masih betul. Contoh, meninggalkan solat dengan tanggapan dalam mindanya sembahyang itu adalah wajib.

Dalam sudut lain, pembudayaan ibadat qiamullail yang dilakukan oleh pemimpin umat dan pergerakan Islam semasa secara berjemaah mungkin juga termasuk dalam bidaah. Sebabnya, konsep ibadat malam mengikut sunah baginda adalah dilakukan secara bersendirian ketika orang lain nyenyak diulit mimpi.

Bahkan dalam satu pernyataan, Rasulullah menuntut ibadat itu sebagai amalan hidup keluarga mengungkapkan mendapat rahmat lelaki yang bangun malam kemudian berwuduk dan solat. Akhirnya mengejutkan isterinya, jika tidak bangun maka percikkan air ke mukanya (isteri).

Pada waktu ini, pergerakan Islam merencanakan ibadat ini secara berjemaah dengan maksud mengembalikan amalan ini dalam kehidupan masyarakat.

Dengan maksud sebeginilah perencanaan Maulidur Rasul dilakukan supaya menghidupkan kesedaran umat serta menghayati kecintaan kepada Rasulullah. Oleh itu, adalah sedikit keterlaluan meletakkannya sebagai bidaah.

Bukan semua amalan yang tidak terdapat pada zaman nabi adalah bidaah terlarang. Orang yang menganjurkan sesuatu program yang baik itu akan mendapat pahala berasas kuantiti pihak yang memperoleh manfaat daripadanya. Begitulah sebaliknya.

Sumber : Utusan Online
Haa... lihatlah kengkawan... di akhir artikel di sentuh bab bidaah ni... spt apa yg ustaz ni jawap, tujuan dia adalah untuk mengembalikan kesedaran umat Islam kepada Rasulullah... adakah itupun satu bidaah yg sesat? Pengalaman aku pi majlis sambutan maulud, x dak satu pon yg buleh menyebabkan majlis itu tercemar... aktiviti yg ada : perbarisan (kawad) sambil selawat nabi, ceramah khas mengenai sirah Rasulullah S.A.W, persembahan puisi mengenai kehidupan Rasulullah, Nasyid yg memberi nasihat mengenai sifat2 kebaikan, memuji2 Rasulullah.. itu saja.. kemudian ada la sket makan2.. x kan makan2 tu dikira sbg satu yg bertentangan dgn Islam dlm sambutan Maulud nih?

Kalao kita tgk kat awai2 artikel plak, disebut mengenai kewajipan umat Islam untuk menegakkan kalimah Allah dan peraturan yg telah ditetapkan oleh Allah.. ya, inilah kewajipan kita... menegakkan Islam.. tatkala umat Islam dihina lemah dr segala aspek, baik ekonomi, kekuatan fizikal mahupun keruntuhan akhlak, maka disinilah tanggungjawab kita... Umat Islam harus kembali menjadi kuat spt mana yg pernah kita kecapi pada zaman2 terdahulu... Iman kita pada masa kini amat tipis.. senang saja terhakis dgn dakyah2 musuh... kita terlampau mengikut budaya barat tanpa menapis apa yg tidak baik...

Kita lupa akan pesan2 Rasulullah S.A.W.. Aduhai... laki pompuan bukan muhrim, pegang tangan sana sini, peluk2, cium2... isk isk.. yg peliknya pompuan tu bertudung lak tu.. ini kah muda mudi Islam yg diharap utk membina negara? Fikir-fikirkan.. sejauh mana kita telah melanggari batas2 dlm menjalani kehidupan sbg umat Islam... jagalah Iman kita itu, jgn sampai terbatal... berpesan2lah sesama kita supaya kita sama2 dapat membetulkan kesilapan dan kealpaan kita sesama sendiri... sbg penutup, mai kita tgk bagaimana mereka yg berjaya memelihara hidayah Allah di bumi ini, mereka yg meneruskan usaha dakwah Rasulullah hingga membuahkan hasil spt yg dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya..



Allahu Akbar! Bila mana org barat mula menerima Islam, mengapa kita mahu menjauhi dari hidayah Allah ini?


Sekian dulu utk kali ini.. nak stadi lak..

Wassalam...

p/s: hurmm...

1 comment:

Mama Diary said...

"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat."
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, jld. 1, m.s. 288).